Awas Warga Emas, Kayap Nampak Ringan Tapi Boleh Cetus Masalah Jantung Tanpa Amaran!
Bagi warga emas, kayap bukan sekadar ruam yang menyakitkan. Jangkitan ini boleh memberi kesan lebih besar kepada kesihatan, terutamanya jika seseorang sudah mempunyai penyakit kardiovaskular.

Keradangan yang berlaku semasa episod kayap boleh meningkat secara mendadak. Ia sekaligus memberi tekanan tambahan kepada jantung dan mencetuskan komplikasi serius yang sering tidak disedari.
Artikel ini menerangkan bagaimana kayap memberi kesan kepada jantung, mengapa risiko meningkat seiring usia dan cara pencegahan untuk melindungi diri.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Jantung, klik di sini.
Kayap pada warga emas: Lebih daripada sekadar sakit kulit
Apabila umur meningkat, kemampuan tubuh melawan jangkitan menurun, menyebabkan virus Varicella-Zoster lebih mudah aktif semula. 1,2
Keradangan yang tercetus semasa proses ini boleh memberi tekanan tambahan kepada sistem kardiovaskular, terutama bagi warga emas yang mempunyai sejarah masalah jantung.
Keadaan ini turut berkait rapat dengan penyebab penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, keradangan berpanjangan dan perubahan fungsi salur darah akibat usia, yang menjadikan tubuh lebih mudah terjejas apabila virus kayap kembali aktif.
Malah pengaktifan virus ini bukan sahaja menyebabkan ruam atau sakit saraf, tetapi turut dikaitkan dengan peningkatan risiko komplikasi berkaitan jantung.
Penyelidikan menunjukkan bahawa pesakit yang mempunyai penyakit kardiovaskular bukan sahaja lebih berisiko mendapat kayap lebih tinggi.3 Malah berdasarkan analisis, terdapat 34% peningkatan risiko komplikasi kayap pada pesakit dengan masalah jantung.3*

Kayap beri tekanan tambahan pada jantung
Semasa jangkitan kayap, tubuh mengalami peningkatan keradangan yang memberi kesan kepada salur darah dan jantung.
Bagi warga emas, keadaan ini memberi tekanan fisiologi yang lebih besar, lebih-lebih lagi jika mereka sudah menghidap penyakit kardiovaskular.
Keradangan akibat kayap boleh menyebabkan masalah seperti 4,5,6
- Meningkatkan tekanan darah dan hormon stres
- Menyempitkan salur darah dan mengurangkan aliran oksigen
- Meningkatkan risiko serangan jantung atau strok dalam tempoh masa singkat
Warga emas yang mempunyai hipertensi atau masalah jantung berkemungkinan mengalami gejala lebih teruk dan proses pemulihan yang lebih perlahan kerana sistem kardiovaskular mereka sudah bekerja keras sebelum jangkitan berlaku.
Situasi ini juga saling berkaitan dengan faktor risiko penyakit kardiovaskular lain seperti paras kolesterol tinggi, obesiti dan tekanan emosi.
Kayap kembali aktif: Ini kesannya pada jantung
Tahukah anda bahawa kira-kira 99.5% individu berusia 50 tahun ke atas sebenarnya membawa virus Varicella-Zoster dalam tubuh sejak zaman kanak-kanak? 1,7
Ini kerana selepas seseorang sembuh daripada cacar air, virus tersebut tidak hilang sepenuhnya. Sebaliknya ia hanya berada dalam keadaan tidak aktif.
Apabila tubuh mengalami tekanan, usia meningkat atau wujud masalah kesihatan lain, virus Varicella-Zoster ini boleh “bangun” semula dan menyebabkan kayap.
- Ruam melepuh yang menyakitkan
- Sakit saraf berpanjangan (postherpetic neuralgia)
- Keradangan jangka pendek yang meningkatkan risiko strok atau serangan jantung
Malah, risiko strok kekal tinggi hingga 3 bulan selepas episod kayap. 4,5 Pada tempoh inilah pesakit penyakit kardiovaskular berada pada tahap risiko yang paling kritikal.

Jantung sihat, kurangkan risiko kayap
Walaupun punca utama kayap adalah pengaktifan semula virus, namun keadaan kesihatan jantung turut memainkan peranan. Warga emas yang menghidap penyakit kardiovaskular menghadapi risiko lebih tinggi kerana 4,5,6
- Peredaran darah yang lemah menyukarkan tubuh pulih
- Keradangan kronik meningkatkan peluang jangkitan aktif semula
- Sesetengah ubat jantung memberi tekanan tambahan kepada tubuh
Justeru, menjaga kesihatan jantung adalah sebahagian besar daripada cara mencegah penyakit kardiovaskular dan juga mengurangkan risiko komplikasi kayap pada tubuh.
Apabila jantung berada dalam keadaan baik, tubuh lebih stabil dan mampu menangani tekanan keradangan dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan risiko episod kayap yang lebih teruk.
Jangan tunggu sakit: Lindungi diri sebelum terlambat
Langkah-langkah di bawah boleh membantu warga emas, terutamanya mereka yang menghidap penyakit kardiovaskular, mengurangkan risiko komplikasi akibat kayap. 8,9,10
1. Dapatkan rawatan awal
Jika anda mengalami sensasi menyucuk, panas atau berdenyut sebelum ruam muncul, segera berjumpa doktor. Rawatan awal boleh mengurangkan kesakitan dan risiko komplikasi jangka panjang.
2. Kawal kesihatan jantung secara konsisten
Pemantauan tekanan darah, kolesterol dan gejala awal seperti sesak nafas atau sakit dada dapat mencegah keadaan menjadi lebih serius.8

Infografik ini adalah hak milik Hello Doktor.
Rujukan: Mayo Clinic. (2023). Strategies to prevent heart disease.https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-disease/in-depth/heart-disease-prevention/art-20046502.
3. Amalkan rutin harian yang sihat
Cukup tidur, bersenam ringan dan pengurusan stres membantu mengurangkan keradangan tubuh yang boleh memburukkan kayap dan masalah jantung.9
4. Kekalkan gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang
Ini adalah sebahagian penting dalam cara mencegah penyakit kardiovaskular dan pada masa sama membantu tubuh pulih lebih cepat jika terkena jangkitan.10
Berbincang dengan doktor anda di klinik dan hospital terdekat anda sekarang sebagai langkah pencegahan awal!
*Meta-analisis 88 kajian (peserta berumur 3 bulan hingga 104 tahun) menunjukkan pesakit dengan penyakit kardiovaskular mempunyai peningkatan risiko 34% untuk mendapat kayap.
*Semua kandungan dihasilkan oleh Hello Doktor

Program pendidikan ini dibawakan kepada anda oleh GSK.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi doktor anda.
GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd 195801000141(3277-U)
©2026 syarikat kumpulan GSK atau pemegang lesennya.
NP-MY-HZU-WCNT-250005 02/26