Kajian mendapati banyak insiden penyakit berjangkit seperti influenza, penyakit bawaan pneumococcal dan juga virus herpes zoster adalah paling tinggi dalam kalangan orang tua. Ko-morbiditi dan faktor penuaan sistem imun (immunosenescence) memainkan peranan penting dalam keterjadian insiden ini. Bukan sahaja ia memudahkan lagi seseorang warga emas itu untuk dijangkiti, jangkitan-jangkitan ini kemudiannya berupaya untuk menerukkan lagi morbiditi sedia ada, mempercepatkan penurunan fungsi kognitif dan juga kematian.
Beban jangkitan boleh dicegah ini dilihat semakin meningkat dalam golongan berusia akibat daripada keberkesanan vaksin dalam kalangan kanak-kanak. Di kawasan yang mempunyai liputan vaksin dalam kanak-kanak yang baik (seperti di negara – negara Eropah), jangkitan tetanus dan difteria adalah paling tinggi dalam kalangan orang tua yang tidak divaksinkan.
Menurut Profesor Dr David E. Bloom, Pakar Ekonomi dan Demografik daripada Harvard University, pemberian vaksin perlu dimasukkan dalam strategi pencegahan penyakit kronik dan penyakit penuaan. 3 vaksin utama yang boleh mula diterapkan dalam polisi kesihatan semasa adalah vaksin influenza, pneumococcal dan juga herpes zoster.
“Dalam memantapkan penjagaan geriatrik, selari dengan misi penuaan yang sihat, kerajaan perlu mengubah pendekatan lama yang lebih kepada penjagaan dan rawatan penyembuhan (untuk warga emas), kepada langkah-langkah pencegahan yang mampan (seperti penggunaan vaksin),” kata Profesor Dr David Bloom ketika ditemui di ibu pejabat Sanofi Malaysia.
Dengan penuaan populasi yang sedang melanda negara kita, anjakan polisi ini dilihat perlu dan tepat pada masanya. Persis peribahasa popular dalam bidang kesihatan awam, “An ounce of prevention is worth more than a pound of cure“. Sama-sama kita mendokong usaha ke arah penuaan yang sihat.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen