Anda dan ahli keluarga suka makan kentang? Tahukah anda, kentang merupakan makanan yang sangat berkhasiat? Ia juga boleh tahan lebih dari 2 bulan sekiranya cara simpan kentang betul. Sebab itulah, semua orang perlu tahu cara menyimpan kentang agar tahan lama.
Jom, baca artikel kami di bawah untuk ketahui lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Kentang, makanan sihat yang sering terlepas pandang
Fakta menarik mengenai kentang:
- Kentang merupakan makanan pertama yang ditanam di angkasa!
- Ubi keledek sebenarnya bukanlah sejenis kentang.
- Kentang pertama kali ditanam secara komersial di Amerika Selatan.
- Sebiji kentang mengandungi 80% air dan 20% pepejal.
- Kentang boleh tahan lama asalkan anda tahu cara simpan kentang yang betul.
Sebenarnya, kentang merupakan makanan yang sangat sihat.
Apa yang membuatkannya tidak sihat ialah penggunaan garam serta minyak yang berlebihan dan toppings seperti keju, daging dan sebagainya yang dapat meningkatkan jumlah kalorinya.
Selain kandungan kanji yang tinggi, kentang juga mengandungi pelbagai vitamin, mineral dan serat.
Kentang kaya dengan vitamin C. Pada zaman dahulu, kentang telah menyelamatkan banyak nyawa manusia daripada penyakit skurvi disebabkan kandungan vitamin C yang tinggi.
Sebiji kentang russet bersaiz sederhana berserta kulit mempunyai 129 kalori, 4.6 gram protein, tiada lemak, 37 gram karbohidrat dan 4 gram serat.
Ia juga mengandungi 14.4 miligram vitamin C. Seorang manusia perlu mengambil 75-90 miligram vitamin C setiap hari. Jadi, 1/5 keperluan vitamin C dapat dipenuhi hanya dengan sebiji kentang.
Selain itu, kentang juga mengandungi potassium, sejenis elektrolit yang membantu fungsi jantung, otot dan sistem saraf. Kulit kentang pula mengandungi serat yang baik untuk sistem pencernaan manusia.
Jenis kentang yang berbeza mempunyai nutrisi yang berbeza. Secara amnya, semakin gelap warna kentang tersebut, semakin tinggilah kandungan antioksidannya.
Baca juga:
- Tiada Idea Nak Bagi Anak Makan Apa? Ibu Ayah, Jom Cuba Resepi Mashed Potato!
- Kentang, Kategori Buah Atau Sayuran? Ini 9 Manfaatnya Tak Ramai Orang Tahu!
Bertukar warna hijau, boleh makan ataupun tidak?
Jika kentang telah bertukar warna, buangkannya serta-merta.
Kentang yang terdedah kepada cahaya matahari akan berwarna hijau disebabkan pigmen klorofil.
Klorofil tidak berbahaya terhadap kesihatan, namun ia akan meningkatkan tahap sejenis toksin dalam kentang yang dikenali sebagai glikoalkaloid.
Kentang kaya dengan dua jenis glikoalkaloid – solanin dan cakonin (chaconine). Kedua-dua jenis kompaun ini dapat ditemui dalam pelbagai lagi makanan lain termasuklah terung dan tomato.
Dalam jumlah yang kecil, glikoalkaloid dapat membawa manfaat terhadap kesihatan. Ia mempunyai keupayaan untuk menurunkan kolesterol badan dan mengawal kadar gula dalam darah.
Namun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh menjadi toksik untuk badan. Sebab itulah, cara penyimpanan kentang penting dan tidak boleh dipandang enteng!
Kentang yang sudah bertunas mengandungi glikoalkaloid yang tinggi. Dalam dos yang rendah, pengambilan glikoalkaloid boleh menyebabkan simptom seperti muntah-muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Jadi, elakkan makan kentang yang telah bertukar hijau ya! Di bawah, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai cara simpan kentang agar ia kekal selamat untuk dimakan.
Cara simpan kentang agar tahan lama
Kali ini, kami akan terangkan cara simpan kentang agar tahan lama.
Kentang dapat bertahan selama 2 bulan sekiranya disimpan dengan cara yang betul. Antara tip atau cara menyimpan kentang agar tahan lama adalah:
- Pastikan kentang betul-betul kering sebelum simpan. Lap semua air dan pastikan tempat simpanan juga tidak basah.
- Simpan kentang di tempat yang gelap, sejuk dan kering untuk elakkannya bertunas. Selain itu, pastikan juga pengudaraannya baik. Anda boleh simpan di dalam kotak atau bekas pilihan anda.
- Elakkan simpan di bawah dapur gas. Suhu yang panas dan lembap boleh menggalakkan kentang bertunas.
- Jangan simpan dalam peti ais. Persekitaran yang terlalu sejuk akan menyebabkan kanji bertukar menjadi gula. Kentang yang sejuk akan juga bertukar warna menjadi coklat selepas dimasak. Kandungan gulanya juga lebih tinggi daripada kentang biasa.
- Jika ada kawasan kentang yang berwarna hijau, potong bahagian tersebut dan buang. Bahagian lain yang masih kuning selamat untuk dimakan.
- Jangan simpan kentang bersama epal, bawang atau buah pisang. Gas yang dihasilkan oleh kedua-dua makanan ini boleh mempercepatkan pertunasan kentang.
- Jika ada kentang yang sudah buruk, asing dan buangkannya secepat mungkin.
- Sekiranya anda tidak mempunyai tempat yang gelap, ada cara simpan kentang yang berbeza tapi mudah untuk dipraktikkan. Anda cuma perlu letak kentang dalam bakul dan tutup dengan kain yang berwarna gelap.
Tip: Tahukah anda, kulit kentang mengandungi nutrisi yang padat? Sekiranya anda kupas kulit kentang untuk dibuang, cuba goreng dan jadikan ia snek.
[embed-health-tool-bmr]