backup og meta

Kurma: Bagaimana Kurma Mempengaruhi Kesihatan Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 19/06/2020

    Kurma: Bagaimana Kurma Mempengaruhi Kesihatan Anda

    Ianya merupakan buah yang tidak asing lagi dengan penganut agama islam di Malaysia dan juga seluruh dunia khususnya ketika menjelmanya bulan mulia, bulan Ramadan. Menurut ajaran agama Islam, adalah disunatkan untuk berbuka puasa dengan memakan buah kurma terlebih dahulu sebelum menjamah makanan yang lain. Lantaran itu, populariti buah kurma ini melonjak ke paras yang luar biasa apabila bulan puasa menjelang tiba. Namun yang demikian, pengambilan buah ini bukan unik atau eksklusif untuk penganut agama Islam atau penghuni tanah Arab sahaja, buah ini juga turut dinikmati oleh warga dunia yang lain kerana rasanya yang manis di samping manfaat kesihatan yang dibekalkan oleh buah ini.

    Kenali buah kurma dengan lebih lanjut

    Ianya turut dikenali dengan nama buah tamar. Namun, nama saintifiknya adalah Phoenix dactylifera, dan ianya merupakan salah satu spesis tumbuh-tumbuhan dalam keluarga sawit atau palma (Arecaceae). Pohonnya mampu mencapai ketinggian sehingga 21 hingga 23 meter (dalam lingkungan 69 sehingga 75 kaki). Buah ini mempunyai bentuk yang mirip gabungan bentuk bujur dan bentuk silinder. Ianya mempunyai panjang sekitar 3 hingga 7 cm dan ukur lilit sekitar 2.5cm. Buah ini mempunyai julat warna yang luas dan jenis yang berbeza akan mempunyai warna yang berbeza – ianya boleh wujud dalam warna merah terang sehinggalah ke warna kuning terang. Buah ini juga mempunyai rasa yang manis dan apabila ia dikeringkan, 75 peratus daripada kandungannya adalah gula. Dari susunan genus, P. dactylifera tergolong dalam genus Phoenix yang terdiri daripada 12 hingga 19 spesies liar. 

    Buah ini berupaya untuk membekalkan pelbagai jenis nutrisi penting dan ia juga merupakan sumber potasium dalam makanan yang baik. Apabila masak dan ranum, 80% daripada kandungannya adalah gula manakala pecahan yang lain terdiri daripada protein, serat dan juga saki baki elemen dan mineral seperti magnesium, zink, fluorin, kobalt dan juga boron. Indeks glisemik (indeks relatif yang menandakan keupayaan sesuatu sumber karbohidrat itu untuk meningkatkan bacaan gula dalam darah selepas ianya diambil) untuk buah ini bergantung kepada jenis buah kurma yang diambil – 35.5 (khalas), 49.7 (barhi), dan 30.5 (bo ma’an). Warna perang buah ini ditentukan oleh kandungan sejenis kompaun yang dikenali sebagai dactylifric acid.

    Spesies tumbuh-tumbuhan ini ditanam dengan meluas merentasi Afrika Timur, Timur Tengah dan Asia Timur. Selain itu, ianya juga ditanam sebagai tumbuh-tumbuhan asli di banyak kawasan tropika dan subtropika seluruh dunia. Jumlah penghasilan keseluruhan buah ini adalah sekitar 8.5 juta tan metrik setiap tahun, dengan pengeluar terbesar adalah daripada rantau Timur Tengah dan juga Afrika Timur. Di Malaysia, terdapat beberapa jenis buah ini yang dijual dan popular dalam kalangan pengguna. Antaranya ialah:

    1. Ajwa
    2. Mabroom
    3. Safawi
    4. Sayer
    5. Mazafati
    6. Piarom
    7. Kabkab
    8. Zahidii
    9. Medjool

    Sejarah kurma

    Walaupun asal pohonnya tidak diketahui atau dikenal pasti dengan tepat, terdapat kemungkinan besar bahawa ianya berasal daripada kawasan subur di antara Mesir Purba dan juga kerajaan kuno Mesopotamia, atau lebih tepat lagi, tanah negara Iraq masa kini. Menurut catatan fosil, pokok kurma dikatakan telahpun mula wujud sekurang-kuranganya 50 juta tahun yang lampau. Ianya telah menjadi makanan ruji di kawasan Timur Tengah dan juga Lembah Indus buat ribuan tahun. Terdapat juga penemuan arkeologi yang menunjukkan penanaman pohon kurma di Semenanjung Arab semenjak alaf ke-6 BCE. Terdapat juga penemuan bukti arkeologi yang lain yang menunjukkan bahawa pohon buah ini telahpun ditanam di Mehrgarh sekitar 7000 BCE, zaman Neolitik di kawasan Pakistan masa kini. 

    Dalam tamadun Rom purba pula, pohon-pohon Phoenix dactylifera merupakan tanaman yang popular di dalam kawasan taman-taman sekitar kerajaan Rom walaupun kemungkinan besar, ianya tidak mampu menghasilkan buah akibat daripada iklim di negara Itali. Ianya mula diperkenalkan kepada Mexico dan juga kawasan sekitar California masa kini oleh penakluk dan peneroka Sepanyol sekitar tahun 1765. Pada tahun 2017, negara Mesir mendahului pengeluaran pada tahun tersebut dengan hasil mereka sebanyak 1,590,414 tan diikuti oleh Iran (1,185,165), Algeria (1,058,559), Arab Saudi (754,761), dan juga Iraq (618,818).

    Manfaat kesihatan daripada pengambilan kurma

    Melihat kepada betapa meluasnya penanaman pohon kurma ini, pengaruhnya dalam dunia kulinari dan juga peranan yang dimainkannya dalam pemakanan di sebahagian besar dunia Arab dan juga benua Afrika, sudah tentu ramai yang akan terfikir dan tertanya-tanya tentang apakah manfaat kesihatan yang terdapat dalam buah istimewa ini. Bagi mereka yang kerap mengikuti rancangan memasak dan juga selalu membaca laman web kesihatan, tentunya anda pernah mendengar antara kebaikan dan juga kelebihan yang boleh anda dapati daripada pengambilan buah ini dalam diet harian anda. Bagi yang belum tahu, jangan risau, mari kita lihat apakah khasiat yang anda boleh dapati.

    1. Pembekalan tenaga segera

    Seperti yang diceritakan dalam bahagian awal artikel ini, buah ini mengandungi kandungan gula yang tinggi, mewakili 80 peratus daripada keseluruhan komposisi buah apabila sudah masak, dan membentuk 75 peratus daripada keseluruhan buah apabila ianya dikeringkan. Oleh yang demikian, pengambilan buah ini dapat memberikan tenaga daripada karbohidrat/ gula yang terdapat di dalamnya dengan cepat, mudah dan lazat. Atas sebab ini jugalah, ianya cukup popular sebagai makanan permulaan apabila sudah tiba waktu untuk berbuka puasa. Mereka yang inginkan tenaga sebelum memulakan rutin harian juga boleh menjadikan ianya sebagai sarapan. Buah ini boleh diambil begitu sahaja atau boleh juga disediakan dalam bentuk jus untuk dinikmati.

    2. Membekalkan mineral dan vitamin yang penting untuk badan

    Selain kaya dengan kandungan gula mudah untuk membekalkan tenaga, terdapat juga mineral-mineral penting yang terkandung di dalam buah kurma. Mineral-mineral ini termasuklah potasium, kalsium, magnesium, zat besi (iron) dan juga sodium. Selain mineral juga, buah ini turut mengandungi beberapa mineral penting dalam kandungan yang tinggi seperti vitamin B3 (Niacin), asid folik, vitamin K, vitamin B6 dan juga vitamin A. Kesemua mineral dan vitamin ini adalah penting untuk kesempurnaan fungsi badan seperti kelancaran aktiviti saraf, pelepasan tenaga daripada karbohidrat dalam makanan, kesejahteraan sel-sel badan, untuk membantu aktiviti enzim dan metabolisma badan, dan juga untuk pembentukan sel darah merah.

    3. Sumber serat

    Serat secara definisinya adalah komponen karbohidrat tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dipecahkan dan diserap oleh badan manusia. Ini kerana fisiologi badan kita tidak mempunyai enzim yang mampu untuk memisahkan ikatan antara rantaian karbohidrat tumbuhan. Peranan serat makanan dapat dibahagikan kepada tiga aspek penting iaitu penggemburan (bulking), kepekatan (viscosity) dan juga aspek penapaian (fermentation). Serat berupaya untuk meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori. Ini membolehkan serat untuk menghasilkan rasa kenyang yang sama dengan pengambilan kalori yang lebih banyak, sekali gus mendorong seseorang itu untuk berasa kenyang dengan lebih lama dengan kalori yang lebih rendah. Kesan ini berupaya untuk mencegah penyakit berkaitan dengan pengambilan kalori yang tinggi seperti berat badan berlebihan, obesiti dan juga kencing manis. Selain itu, penggemburan tinja hasil daripada pengambilan serat juga memberikan kesan perlindungan kepada usus besar dan dubur. Pengambilan serat yang sedikit menyebabkan seseorang itu berisiko untuk menghidap penyakit seperti buasir dan juga anal fissure. Kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan serat yang konsisten mengurangkan risiko seseorang untuk menghidap penyakit kanser usus. Akibat daripada pemekatan yang dilakukan serat, ianya menyebabkan lebih sukar untuk enzim memecahkan karbohidrat, sekali gus mengawal paras gula dalam darah khususnya selepas makan. Selain itu, serat yang boleh larut akan mengikat kepada asid hempedu dalam usus kecil, mengurangkan kemungkinan untuk ianya diserap semula ke dalam badan serta mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Kolesterol yang rendah dalam darah adalah faktor pelindung daripada penyakit-penyakit berkaitan salur darah seperti penyakit jantung dan angin ahmar (strok). Orang dewasa disyorkan untuk mengambil serat antara 30-37 gram sehari. Jika selama ini anda hanya mengenal sayur dan buah-buahan sebagai sumber serat, maka kurma boleh menjadi alternatif atau tambahan kepada sumber serat anda. Secawan buah kurma mengandungi 11.8 gram serat. Ini sudah hampir mencukupi separuh daripada keseluruhan keperluan serat harian anda yang dicadangkan.

    4. Mengandungi antioksidan yang berupaya untuk mencegah penyakit seperti kanser

    Antioksidan adalah suatu unsur yang menyahaktifkan radikal bebas di dalam badan (free radicals). Radikal bebas ini terhasil oleh beberapa laluan metabolisma badan dan ianya akibat ciri-cirinya yang tidak stabil, ia berupaya untuk mencederakan sel, tisu badan dan juga salur darah. Dalam jangka masa yang lama, kecederaan berulang ini boleh membawa kepada pelbagai penyakit seperti penyakit neurodegeneratif, penyakit kronik dan juga kanser. Antioksidan seperti vitamin E, asid fenolik (phenolic acid) dan juga vitamin A yang terdapat dalam buah tamar mampu untuk menyahaktifkan radikal bebas ini dengan memberikan elektron bebas untuk menstabilkannya. Satu kajian mendapati bahawa kurma jenis Khalas dikira sebagai jenis yang premium dan mengandungi kandungan antioksidan yang lebih tinggi berbanding yang lain. Sungguhpun begitu, keupayaan ini akan sedikit berkurangan jika buah tersebut dijemur di bawah matahari.

    5. Mempunyai kesan antiradang

    Apabila berlakunya keradangan di dalam badan, terdapat dua jenis enzim yang akan memainkan peranan iaitu enzim COX-1 dan juga enzim COX-2. Enzim COX-2 ini berkait rapat dengan penghasilan bahan keradangan (inflammatory mediators) dan juga mengambil bahagian dalam sesetengah ekspresi gen (gene expression) yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit kronik dalam jangka masa yang panjang. Selain itu, ekspresi COX-2 secara berlebihan dalam sel tumor (enzyme overexpression) juga boleh menyumbang kepada pembesaran sel tumor tersebut. Untuk tujuan itu, keupayaan untuk menekan enzim COX-2 ini adalah sangat diinginkan. Menurut kajian yang melihat keupayaan ekstrak metanolik (methanolic extract) di dalam pelbagai jenis buah kurma, mereka mendapati bahawa kesemua jenis kurma yang dikaji mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kesan antiradang yang sangat diingini ini dengan menekan aktiviti enzim COX-2. 

    Kesan sampingan kurma

    Setelah membaca bab yang sebelumnya, tentu sekali anda akan tidak sabar untuk memulakan pengambilan kurma dalam diet harian anda. Namun yang demikian, setiap perkara itu bukan semuanya baik dan bergantung kepada cara pengambilan, kuantiti dan juga faktor-faktor persekitaran yang lain, ianya juga boleh menjadi sesuatu yang mendatangkan mudarat atau kesan sampingan yang tidak diingini. Untuk tujuan itu, bab ini akan melihat aspek kesan sampingan yang boleh berlaku dengan pengambilan buah ini. 

    Tinggi dalam kandungan karbohidrat dan gula

    Karbohidrat merupakan polimer bagi nutrisi asas glukosa. Apabila lebih dari satu glukosa bergabung dan membentuk rantaian yang panjang dan bercabang, ianya membentuk struktur yang kita kenali sebagai karbohidrat. Pengambilan karbohidrat yang banyak mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ianya digunakan. Oleh sebab itu, atlet profesional mengambil karbohidrat yang banyak bagi membekalkan badan mereka dengan jumlah tenaga yang tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga harian mereka. Walaupun karbohidrat merupakan salah satu zat penting yang digunakan badan sebagai sumber tenaga utama, tetapi anda mungkin perlu berfikir semula jika ingin menjadikan buah kurma sebagai sumber karbohidrat utama untuk memenuhi pengambilan karbohidrat anda. Ini kerana secawan kurma mempunyai kandungan karbohidrat sebanyak 110 gram manakala keperluan karbohidrat anda hanya berkisar antara 300-400 gram sehari. Dalam 100 gram buah ini sahaja, terkandung gula sebanyak 66 gram. Ini melebihi had pengambilan gula yang dianjurkan iaitu 4 sudu makan setiap hari atau bersamaan dengan 50 gram. Dengan mengambil satu cawan sahaja buah ini, anda sudahpun memenuhi kira-kira 30% keperluan karbohidrat anda dalam sehari.

    Ini menjadikan buah ini kurang selamat untuk mereka yang menghidap kencing manis dan juga untuk mereka yang berisiko untuk menghidap kencing manis. Rakyat Malaysia rata-ratanya mengamalkan gaya hidup sedentar walaupun mereka mengambil jumlah karbohidrat yang tinggi. Tanpa aktiviti yang memerlukan kalori yang tinggi, gula berlebihan ini akan disimpan di dalam hati dalam bentuk glycogen. Pertambahan glukosa susulan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi dan dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil. Selain itu, ianya juga boleh menyebabkan rintangan insulin. Susulan daripada pengambilan gula berlebihan dan rintangan insulin ini adalah penyakit kencing manis. Selain itu, lebihan gula dalam badan juga boleh melalui proses di mana ianya akan ditukarkan menjadi lemak. Pengumpulan lemak berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit obesiti. Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini juga dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung. Alternatif lain adalah dengan mengambil buah kurma yang telah dijemur di bawah matahari (sundried dates) kerana ianya mengandungi kandungan gula yang lebih rendah berbanding buah biasa.

    Sebagai konklusi, buah kurma mempunyai pelbagai khasiat dan sifat yang baik untuk kesihatan kita. Dari pembekalan tenaga yang cepat, sumber serat dan mineral yang bagus, sehinggalah keupayaannya untuk memberikan kesan antiradang dan perlindungan daripada radikal bebas, buah ini sejujurnya adalah buah yang patut menjadi sebahagian daripada diet harian anda. Namun begitu, seperti perkara lain, perhatikan kuantiti yang anda ambil kerana berlebihan dalam sesuatu itu akan membawa mudarat. Bertanyalah kepada pakar pemakanan jika anda ada soalan tertentu berkaitan dengan pilihan diet yang sihat untuk diri anda. 

    Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 19/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan