backup og meta

Adakah Anda Makan Atau Buang Kulit Timun? Rupanya Ia Bagus Untuk Kecantikan Kulit Anda!

Adakah Anda Makan Atau Buang Kulit Timun? Rupanya Ia Bagus Untuk Kecantikan Kulit Anda!

Setiap kali berbicara mengenai sayur timun, pasti kita akan tertanya-tanya tentang satu perkara ini. Persoalannya adalah kulitnya perlu dimakan atau dibuang?

Timun adalah sejenis sayuran yang sangat biasa. Ia boleh ditemui dalam pelbagai jenis masakan terutamanya masakan asli negara kita. Sebagai contoh, lihat sahaja menu bergoreng kita yang menggunakan nasi, mi, bihun dan lain-lain. Sudah pasti makanan-makanan ini akan memasukkan sayur ini di dalamnya, bukan?

Namun begitu, masih ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak menyukai sayuran ini atau lebih teruk lagi, langsung tidak menggemari sayur-sayuran. Ia adalah satu keputusan atau tabiat yang sangat merugikan kerana mereka akan kehilangan khasiat dan nutrisi yang hanya ada dalam sayur-sayuran.

Walaupun biasa kita dengar bahawa buah-buahan dapat menggantikan manfaat sayur-sayuran, ia masih lagi tidak sama. Jadi, apa alasan anda untuk tidak mahu makan sayur? Timun terutamanya, mempunyai pelbagai manfaat buat kesihatan dan kecantikan anda! Sila ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. 

Apa itu timun?

Sebelum itu, kita perlu tahu sedikit sebanyak terlebih dahulu mengenai sayur yang juga dikenali dengan nama mentimun ini.

Timun atau nama saintifiknya iaitu Cucumis sativus merupakan sejenis tumbuhan yang dimakan sebagai sayuran dan ditanam sebagai makanan sejak kira-kira lebih daripada 3,000 tahun dahulu. Ia boleh dimakan secara mentah begitu sahaja atau dimasak bersama masakan.

Ia merupakan sejenis pokok memanjat dan sesuai untuk ditanam pada pagar. Ia boleh membiak daripada biji benih. Ia juga banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ia terletak dalam keluarga yang sama dengan tembikai dan labu.

Ia adalah berasal daripada keluarga cucurbitacear, buah squash dan beberapa jenis melon yang lain. Ia sangat tinggi dengan air namun rendah dengan kalori, lemak, kolesterol dan sodium.

Ia juga mempunyai rasa yang sangat menyegarkan ekoran kandungan airnya yang sangat tinggi. Oleh itu, ia sangat sesuai dimakan ketika cuaca panas dan mengekalkan hidrasi. Ia juga adalah salah satu daripada makanan yang boleh dimakan begitu sahaja.

Timun merupakan sayuran yang menakjubkan. Rasa dan baunya adalah sangat menyegarkan. Ia boleh menjadi pelengkap yang hebat kepada mana-mana hidangan. Ia juga adalah sangat rendah dalam kiraan kalorinya. Jadi, anda boleh menikmatinya tanpa merosakkan perancangan diet anda.

Paling penting, anda perlu tahu bahawa ia juga membawa 1001 nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan anda untuk kekal sihat. Ia mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan 2.2 karbohidrat. Selain itu, timun juga mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2 dan vitamin C.

Jenis-jenis timun

  • Timun Armenia – Ia lebih panjang dan mungkin agak bengkok. Kulitnya pula lebih gelap dengan tompok yang agak pucat. Ia sering digunakan untuk membuat jeruk.
  • Timun Jepun – Ia lebih nipis berbanding timun biasa. Kulitnya juga lebih kurus dan kesemua bahagiannya boleh dimakan. 
  • Timun kirby – Ia mempunyai biji yang sangat kecil dan selalu digunakan sebagai jeruk
  • Timun lemon – Ia mempunyai saiz sebesar lemau dengan kulit yang agak pucat. Rasanya lebih manis dan sedap.
  • Timun parsi – Ia lebih pendek dan gemuk berbanding timun yang biasa. Teksturnya juga lebih keras.
  • Timun liar –  Ia turut dikenali sebagai echinocystis lobata, adalah berasal daripada Amerika Utara. Ia adalah tidak boleh dimakan.

Bergantung kepada jenisnya, sayuran ini boleh dipotong dan dimasukkan ke dalam salad atau dimakan begitu sahaja. Selain itu, kulitnya juga boleh dimakan atau dibuang bergantung kepada individu. Pun begitu, terdapat sesuatu yang anda mungkin akan rugi jika tidak makan kulit timun. Baca artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui mengenainya.

zakar

Fakta menarik mengenai timun

Selain daripada sangat mendatangkan manfaat buat kesihatan dan kecantikan, ia juga mempunyai pelbagai fakta yang menarik untuk kita tahu. Berikut merupakan fakta menarik mengenai timun:

  • Ia adalah terdiri daripada air
  • Ia boleh digunakan untuk merawat selaran matahari
  • Ia mengandungi lignan, yang mampu melawan penyakit kardiovaskular
  • Ia adalah makanan yang sangat versatil dan boleh dicampurkan ke dalam pelbagai jenis makanan
  • Kajian awal menunjukkan bahawa terdapat bahagian dalamnya yang boleh melawan kanser

Timun sebagai ubatan tradisional

Ia mula digunakan di India sebagai makanan dan perubatan sejak zaman dahulu lagi. Mereka telah menggunakan ia sebagai makanan atau tradisional untuk merawat pelbagai jenis penyakit terutamanya sakit pada kulit badan.

Timun sememangnya sangat terkenal dalam dunia perubatan tradisional. Ia sangat membantu dalam mengawal tekanan darah dan mengelakkan individu daripada mengalami hipertensi atau hipotensi.

Sebiji timun seberat 50 gram mengandungi 80 gram kalium yang sangat baik untuk melancarkan perjalanan darah anda. Kalium adalah berfungsi untuk melebarkan pembuluh darah anda. 

Jika disimpulkan, sayuran ini sebenarnya boleh dianggap sebagai ubatan untuk mengawal perjalanan darah anda secara optimum.

Selain itu juga, kandungan vitamin K yang sangat tinggi dalam sayuran ini juga sangat berkait rapat dengan kesihatan tulang. Jika diambil dalam jumlah yang sepatutnya, ia mampu membantu menguatkan tulang anda. Kandungan cucurbita dalam timun juga mampu memberikan pelbagai manfaat untuk kesihatan anda seperti membantu mengawal kandungan gula dalam darah serta mencegah aterosklerosis dan kanser.

Manfaat timun terhadap kesihatan

#1. Ia tinggi dengan nutrisi

Sayuran ini sangat rendah kalori tetapi tinggi dengan pelbagai kandungan vitamin dan mineral yang penting.

Sebiji timun seberat 11 auns adalah mengandungi:

  • Kalori: 45
  • Lemak: 0 gram
  • Karbohidrat: 11 gram
  • Protein: 2 gram
  • Serat: 2 gram
  • Vitamin C: 14% RDI
  • Vitamin K: 62% RDI
  • Magnesium: 10% RDI
  • Potasium: 10% RDI
  • Mangan: 12% RDI

Sebagai tambahan, sayuran ini mempunyai kandungan air yang sangat tinggi. Secara nombornya, ia sebenarnya mengandungi sehingga 92% air.

Walaupun begitu, saiz yang paling ideal untuk menghidangkan sayuran ini adalah makan satu per tiga daripadanya sahaja. Untuk memaksimumkan nutrien yang akan kita dapat melalui sayuran ini, keseluruhan timun perlu dimakan untuk mendapatkan serat, vitamin dan mineral yang sangat penting untuk kita.

#2. Ia mengandungi antioksidan

Antioksidan adalah molekul yang akan menghalang proses radikal bebas dalam tubuh badan manusia. Proses ini adalah sangat berbahaya dan boleh menyebabkan beberapa jenis penyakit yang kronik seperti sakit jantung, radang paru-paru, penyakit autoimun serta kanser.

Sayur-sayuran dan buah-buahan termasuklah timun, adalah sangat kaya dengan antioksidan yang mampu mengurangkan risiko-risiko ini.

Satu kajian pernah membuktikan bahawa sayuran ini sememangnya mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi. Kajian ini dilakukan dengan memberikan 30 individu dewasa serbuk timun. Pada akhir 30 hari kajian ini, serbuk sayuran ini telah menyebabkan peningkatan yang signifikan terhadap aktiviti dan status antioksidan dalam tubuh badan mereka.

Selain itu, ada juga kajian lain yang mengkaji apa yang ada di dalam sayuran ini menunjukkan bahawa ia sememangnya mengandungi flavonoids dan tannins, yang berfungsi untuk menghalang radikal bebas yang berbahaya.

#3. Ia membantu anda kekal berhidrasi

Seperti yang diketahui umum, air adalah sangat penting untuk tubuh badan kita. Oleh itu, kita perlu sentiasa kekal berhidrasi bagi memastikan sistem metabolisma, sistem penghadaman dan sistem suhu tubuh badan kita kekal berfungsi dengan baik.

Secara logiknya, kita boleh mencapai hidrasi dengan minum air secukupnya. Tapi, tahukah anda bahawa 40% daripada air yang juga boleh didapati melalui makanan? Untuk lebih terperinci, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sumber air melalui makanan yang sangat bagus untuk anda.

Dalam satu kajian yang dilakukan terhadap 442 kanak-kanak, mereka mendapati bahawa pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih banyak telah meningkatkan status hidrasi mereka.

Ini kerana sayuran ini sendiri terdiri daripada 96% air dan sudah tentu ia berupaya membuatkan individu yang memakannya kekal berhidrasi.

#4. Ia membantu anda mengurangkan berat badan

Sayuran ini sebenarnya mampu membantu anda menurunkan berat badan anda dalam pelbagai cara. Pertama sekali, ia adalah sangat rendah kalori. Setiap hidangan 104 gram sayuran ini hanya akan mendatangkan 16 kalori sementara hidangan 11 auns pula hanya akan mendatangkan 45 kalori.

Ini bermakna anda boleh makan sayuran ini tanpa risau berat badan anda akan naik secara mendadak.

Ia juga adalah sangat sesuai untuk dicampurkan ke dalam salad, sandwic atau sebagai apa-apa hidangan sampingan yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada makanan berkalori tinggi.

Menurut satu kajian terhadap 3,628 individu, mereka yang makan makanan yang tinggi kandungan air seperti timun mampu untuk menurunkan berat badan mereka dengan cepat dan selamat.

#5. Ia membantu mengawal kandungan gula dalam darah

Beberapa kajian yang melibatkan haiwan dan pengambilan pelbagai sayur-sayuran telah membuktikan bahawa timun mampu mengurangkan kandungan gula dalam darah sekali gus membantu mengelakkan diabetes.

Sebagai tambahan, satu kajian lagi telah menunjukkan bahawa timun adalah sangat berkesan dalam mengurangkan tekanan oksidatif sekali gus juga mampu mengelak masalah berkaitan diabetes.

Pun begitu, ia hanyalah kajian yang melibatkan haiwan sahaja. Kajian selanjutnya perlu dijalankan dengan menggunakan manusia sebagai subjek.

#6. Ia membantu melancarkan sistem penghadaman

Kekal berhidrasi adalah kunci utama kepada penyelesaian masalah sembelit. Sayuran ini perlu anda ambil kerana ia adalah sangat tinggi dengan kandungan air dan serat yang akan membantu melancarkan pergerakan usus dalam perut.

Pectin, iaitu sejenis serat yang ditemui dalam timun mampu membantu melancarkan pergerakan usus. Menurut satu kajian yang melibatkan 80 individu dan pectin, didapati bahawa ia akan melancarkan pergerakan otot usus dan membantu bakteria baik di dalam perut sekali gus membuat sistem penghadaman anda lebih sihat.

#7. Ia mudah dicampurkan di dalam diet anda

Secara umumnya, sayuran ini sangat mudah untuk dicampurkan ke dalam salad atau sandwic. Ia juga boleh dimakan begitu sahaja kerana ia adalah sangat rendah kalori atau dicampurkan dengan hummus, garam atau minyak zaitun untuk mendapatkan lebih rasa. Jadi, sila gunakan kreativiti anda untuk menghidangkan timun ini.

5-practical-tips-glowing-skin

Manfaat timun terhadap kecantikan

Dari segi kecantikan pula, timun banyak digunakan untuk tujuan menyegarkan kulit yang sedang mengalami iritasi ekoran sifat sayuran itu sendiri yang antiradang. Bijinya yang mengandungi anthelmintic pula sangat bagus dalam memastikan kulit terutamanya kulit muka untuk lebih lembut dan segar sentiasa.

Selain itu, ia juga adalah sangat bagus untuk menghilangkan kesan hitam pada bawah mata. Caranya, hanya letakkan hirisan sayuran ini di atas mata dan berehat di kamar tidur anda. Selain menghilangkan lingkaran gelap pada bawah mata, ia juga sudah tentu akan menyegarkan mata dan kulit wajah anda.

benefits-drinking-cucumber-juice

Adakah kulit timun perlu dihiris atau dimakan?

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anda memperolehi timun, satu soalan akan berlegar dalam fikiran anda. Adakah saya perlu untuk mengupas kulitnya atau memakannya terus?

Dalam kebanyakan masa, orang akan mengupas sayuran ini kerana kulit luarannya yang kasar dan menganggap ia boleh menyukarkan kerja sistem penghadaman tubuh. Walau bagaimanapun, ramai melakukannya kerana mereka tidak sedar akan nilai nutrisi yang ada dalam kulit tersebut.

Serat

Kulit sayuran ini kaya dengan serat tidak larut. Hal ini membantu pergerakan usus anda dengan lebih mudah dan melegakan sembelit. Bahagian dalaman sayuran ini memberikan serat larut yang juga bermanfaat untuk saluran penghadaman.

Vitamin K

Selain kandungan seratnya yang banyak, kulit sayuran ini turut mengandungi vitamin K yang bertanggungjawab dalam pengaktifan protein. Hal ini membantu tubuh badan mengekalkan tulang yang sihat, pertumbuhan sel dan membentuk darah beku. Walaupun isi sayuran ini turut mempunyai vitamin K, kulitnya adalah tempat vitamin K wujud paling tinggi kepekatannya. Satu cawan sayuran ini yang tidak dikupas mempunyai 49 microgram vitamin K, sementara sayuran ini yang telah dikupas hanya mempunyai 9 microgram.

Magnesium

Kulit sayuran ini merupakan sumber yang hebat bagi magnesium. Ia memainkan peranan penting dalam penyelenggaraan sistem muskuloskeletal. Magnesium turut menyumbang kepada penghasilan tenaga. Anda akan terkejut jika mengetahui berapa banyak sayuran ini yang tidak dikupas membantu anda menjalani sepanjang hari. Satu cawan sayuran ini yang tidak dikupas mengandungi 14 milligram of magnesium, menyumbang kepada 4% pengambilan yang disyorkan bagi wanita dan 3% pengambilan yang disyorkan bagi lelaki.

Vitamin C

Timun yang tidak dikupas boleh bertindak sebagai tambahan hebat bagi vitamin C dalam diet anda. Penyediaan 1 cawan sayuran ini yang telah dikupas memberikan 2.9 milligram vitamin C. Vitamin C sangat penting untuk penghasilan kolagen. Tanpa kolagen, tisu anda tidak boleh untuk melekat bersama. Vitamin C juga berkesan dalam melawan radikal bebas dan mencegah penuaan.

Vitamin A

Adakah penglihatan anda bermasalah akhir-akhir ini? Inilah masanya untuk mendapatkan beberapa sayuran ini yang tidak dikupas! Kulit sayuran ini dibekalkan dengan beta-karoten, sejenis vitamin A. Beta-karoten mempunyai banyak kesan positif kepada kesihatan mata seseorang dan penglihatan. Seorang wanita memerlukan 2,310 IU vitamin A dan seorang lelaki memerlukan 3,000 IU vitamin A sehari untuk kekal sihat. Penyediaan setengah cawan sayuran ini yang tidak dikupas memberikan 55 IU jumlah vitamin A, sebahagiannya adalah beta-karoten.

Kesan sampingan timun

Ya, walaupun ia mendatangkan pelbagai manfaat terhadap kesihatan dan kecantikan, sayuran ini masih akan mendatangkan kesan sampingannya meskipun ia tidak begitu berbahaya. Berikut merupakan antara kemungkinan kesan sampingan pengambilan sayuran ini:

  • Pedih ulu hati
  • Sering sendawa
  • Ketidakseimbangan elektronik dalam tubuh badan

Pun begitu, anda perlu tahu bahawa ini adalah bergantung kepada individu dan tidak semua individu akan mengalami kesan yang sama. Selain itu, mungkin juga ada individu yang akan mengalami kesan yang lain. Jadi, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan berkenaan pengambilan sayuran ini.

Konklusi

Konklusinya, sayuran ini adalah sangat sesuai untuk dimakan oleh individu yang menjaga kesihatan dan kecantikan. Jika anda seorang yang tidak gemarkan sayur-sayuran, cuba latih diri anda untuk makan sayur. Cuba lakukannya dengan sayuran ini. Pasti anda tidak akan menyesal dengan rasa dan manfaat yang anda akan terima melalui sayuran ini.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

 

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Timun. https://ms.wikipedia.org/wiki/Timun. Accessed on June 28, 2019.

 

How To Get The Health Benefits Of Cucumber. https://www.medicalnewstoday.com/articles/283006.php. Accessed on June 28, 2019.

 

Nutrient Facts for an Unpeeled Cucumber. http://healthyeating.sfgate.com/nutrient-unpeeled-cucumber-5229.html. Accessed on June 28, 2019.

 

Cucumber Peel Benefits. http://www.livestrong.com/article/467346-cucumber-peel-benefits/. Accessed on June 28, 2019.

 

7 Health Benefits of Eating Cucumber. https://www.healthline.com/nutrition/7-health-benefits-of-cucumber#section8. Accessed on June 28, 2019.

Versi Terbaru

28/08/2020

Ditulis oleh Nur Hadirah Mustafa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Betulkah Biji Chia Berkhasiat? Ini 7 Kebaikan Chia Seed Untuk Kesihatan

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nur Hadirah Mustafa · Disemak pada 28/08/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan