backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Adakah HIV Masih Lagi Satu Epidemik Global?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/02/2020

    Adakah HIV Masih Lagi Satu Epidemik Global?

    1 Disember 2019 menandakan ulang tahun ke 31 bagi Hari AIDS Sedunia sejak ia diperkenalkan pertama kalinya pada tahun 1988. Ia adalah satu hari yang disambut bagi memberikan kesedaran kepada manusia sejagat berkenaan jangkitan HIV dan epidemik AIDS yang berlaku. 

    Bagi anda yang mungkin masih tidak mengetahui berkenaan fakta ini, dianggarkan sekitar 37 juta manusia hidup di dunia ini dengan mempunyai jangkitan HIV, dan 22 juta daripada mereka bertindak dengan mendapatkan rawatan yang sepatutnya. 

    Epidemik jangkitan HIV global

    jangkitan HIV

    Pada tahun 2018, dianggarkan sekitar 1.7 juta manusia di seluruh dunia dijangkiti virus HIV. Dianggarkan 1.6 juta daripada mereka yang dijangkiti HIV adalah mereka yang berumur 15 tahun keatas manakala sekitar 160,000 yang lain pula adalah kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 14 tahun.

    Sekitar 79% individu yang dijangkiti dengan HIV mula mengetahui status mereka pada tahun 2018, manakala 21% yang lain pula (sekitar 8.1 juta individu) masih tidak membuat sebarang pemeriksaan bagi mengetahui status semasa mereka.

    Perlu diketahui bahawa, melalui pemeriksaan atau pengujian HIV ini, ia adalah satu langkah terbaik bagi mengelakkan jangkitan HIV, mendapatkan rawatan yang sepatutnya, selain mendapatkan perkhidmatan sokongan bagi mereka yang terjejas dengan jangkitan ini.

    Akses terhadap rawatan HIV

    Pada tahun 2018, 23.3 juta individu yang mempunyai jangkitan HIV telah mendapatkan akses terhadap terapi antiretroviral (ART) di seluruh dunia, yang mana angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 1.6 juta sejak tahun 2017.

    Terapi antiretroviral adalah satu kaedah terapi ubat-ubatan yang menghalang aktiviti-aktiviti retrovirus seperti jangkitan HIV dalam tubuh. Akses terhadap terapi seperti ini adalah merupakan sebahagian daripada usaha secara bersama di peringkat global bagi menamatkan epidemik AIDS sebagai salah satu daripada cabaran kesihatan awam dunia.

    Bagi individu yang mengetahui mengenai status semasa jangkitan HIV yang dialami dan mengambil terapi antiretroviral setiap hari, mereka sebenarnya boleh menikmati kehidupan mereka dengan lebih lama dan sihat seperti individu lain.

    Pemindahan jangkitan HIV dari ibu kepada bayi

    Ya, HIV bukan sahaja berpindah melalui aktiviti seks berisiko dan perkongsian jarum suntikan semata-mata, tetapi ia juga boleh berpindah daripada seorang ibu yang mempunyai jangkitan HIV kepada bayinya sendiri.

    Pada tahun 2018, 92% daripada wanita hamil yang mempunyai jangkitan HIV telah menjalani terapi antiretroviral bagi mengelakkan perpindahan virus HIV kepada bayi mereka yang akan dilahirkan kelak selain melindungi kesihatan mereka sendiri.

    Jumlah ini menunjukkan peningkatan daripada segi kesedaran dan penyertaan memandangkan hanya 49% daripada mereka berbuat sedemikian pada tahun 2010.

    Penggunaan kondom bagi mengurangkan jangkitan

    jangkitan HIV

    Walaupun kondom merupakan satu alat yang mudah dan kelihatan remeh untuk digunakan, masih ramai yang tidak memakainya apabila ia melibatkan perlakuan seks rambang atau berisiko. Kondom adalah satu alat pencegahan jangkitan HIV yang amat berkesan. Kebanyakan generasi baharu kini tidak begitu sedar mengenai kepentingan penggunaan kondom bagi mengurangkan jangkitan HIV.

    Kematian berkaitan AIDS

    Untuk pengetahuan semua, kematian yang disebabkan oleh AIDS telah berkurangan dengan lebih daripada 55% sejak kemuncak bilangan kematian yang direkodkan pada tahun 2004.

    Pada tahun 2018, sekitar 770,000 individu meninggal dunia disebabkan oleh penyakit-penyakit yang berkaitan AIDS di seluruh dunia, berbanding seramai 1.2 juta individu pada tahun 2010 dan 1.7 juta pada tahun kemuncaknya iaitu 2004.

    Bolehkah AIDS ditamatkan pada tahun 2030?

    jangkitan HIV

    Ramai yang pasti tahu bahawa virus HIV bukanlah sejenis virus yang boleh dimatikan dengan mudah. Hampir satu juta individu meninggal dunia setiap tahun disebabkan oleh virus HIV ini memandangkan mereka tidak mengetahui status semasa mereka dan tidak memulakan terapi atau rawatan yang sepatutnya dengan cepat.

    Pada tahun 2017, 1.8 juta individu di seluruh dunia disahkan dijangkiti virus HIV. Walaupun dunia memberi sasaran bahawa AIDS perlu ditamatkan pada tahun 2030, jumlah penurunan kematian yang disebabkan oleh AIDS masih lagi tidak menunjukkan kemajuan yang pesat agar ia sepatutnya boleh ditamatkan seperti yang disasarkan. 

    Antara sebab mengapa masih ramai yang tidak melakukan pemeriksaan awal dan menjalani terapi antiretroviral ini adalah disebabkan oleh tanggapan dan stigma yang masih menebal.

    Stigma atau tanggapan negatif masih dianggap sebagai penghalang utama dalam melawan penularan jangkitan HIV, dimana mereka yang mempunyai HIV dipandang keji atau jijik oleh anggota masyarakat dengan anggapan bahawa mereka akan pasti menemui kematian lebih awal.

    Untuk pengetahuan anda, di luar kawasan sub-sahara Afrika, 75% daripada jangkitan baharu HIV ini adalah golongan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki, golongan yang melibatkan diri dalam suntikan dadah, mereka yang berada di penjara, pekerja-pekerja seks, individu transgender, atau pasangan seksual bagi golongan-golongan ini.

    Kurangnya kesedaran, pendidikan dan stigma terhadap mereka yang positif jangkitan HIV telah menyebabkan usaha merawat HIV ini menjadi agak perlahan dan sedikit sukar, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/02/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan