Apa itu Kecederaan Kepala?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Kecederaan Kepala?

Kecederaan kepala adalah sejenis kecederaan pada otak, tengkorak, atau kulit kepala anda. Ini mungkin terdiri daripada benjolan ringan atau lebam hinggalah kepada kecederaan otak traumatik. Antara kecederaan kepala biasa termasuklah konkusi, keretakan tengkorak, dan luka kulit kepala. Akibatnya dan rawatannya adalah berbeza-beza, bergantung kepada apa yang menyebabkan kecederaan kepala anda dan betapa teruknya keadaan itu.

Kecederaan kepala boleh berlaku sama ada tertutup atau terbuka. Kecederaan kepala tertutup adalah sebarang kecederaan yang tidak memecahkan tengkorak anda. Kecederaan yang terbuka, atau menembusi, adalah apabila sesuatu didapati memecahkan tengkorak dan memasuki otak anda.

Ia boleh jadi sukar untuk menilai betapa seriusnya kecederaan kepala hanya dengan penglihatan kasar. Sesetengah kecederaan kepala yang kecil boleh berdarah dengan banyak, sementara beberapa kecederaan utama pula boleh tidak berdarah sama sekali. Adalah penting untuk merawat semua jenis kecederaan kepala dengan serius dan pastikan ia dinilai oleh doktor.

Apakah kebarangkalian Kecederaan Kepala?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Kecederaan Kepala?

Antara tanda-tanda umum bagi kecederaan kepala yang kecil adalah:

  • Sakit kepala
  • Pening kepala
  • Rasa berputar
  • Kekeliruan yang ringan
  • Loya
  • Bunyi deringan sementara di telinga

Simptom bagi kecederaan kepala yang teruk turut meliputi banyak simptom bagi kecederaan kepala yang kecil. Di samping itu, beberapa simptom lain juga boleh berlaku seperti:

  • Hilang kesedaran
  • Sawan
  • Muntah-muntah
  • Masalah keseimbangan atau koordinasi
  • Disorientasi yang serius
  • Ketidakupayaan untuk menumpukan mata
  • Pergerakan mata yang tidak normal
  • Kehilangan kawalan otot
  • Sakit kepala yang berterusan atau bertambah buruk
  • Hilang ingatan
  • Perubahan mood
  • Lelehan cecair jernih dari telinga atau hidung

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Kecederaan Kepala?

Secara umum, kecederaan kepala boleh dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan apa yang puncanya. Ia boleh jadi kecederaan kepala akibat pukulan atau kecederaan kepala akibat gegaran (konkusi).

Kecederaan kepala yang disebabkan oleh gegaran adalah perkara biasa pada bayi dan kanak-kanak kecil, tetapi ia masih boleh berlaku apabila anda mengalami gegaran yang kuat.

Kecederaan kepala yang disebabkan oleh pukulan biasanya dikaitkan dengan:

  • Kemalangan kenderaan bermotor
  • Terjatuh
  • Serangan fizikal
  • Kemalangan yang berkaitan dengan sukan

Dalam kebanyakan kes, tengkorak anda akan melindungi otak dari sebarang ancaman yang serius. Namun begitu, kecederaan yang cukup serius untuk menyebabkan kecederaan kepala juga boleh dikaitkan dengan kecederaan pada tulang belakang.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kecederaan Kepala?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Kecederaan Kepala didiagnosis?

Salah satu cara pertama doktor anda akan menilai kecederaan kepala adalah dengan Glasgow Coma Scale (GCS). GCS adalah ujian 15 markah yang menilai status mental anda. Skor GCS yang tinggi menunjukkan kecederaan yang kurang teruk.

Doktor anda perlu mengetahui keadaan kecederaan anda. Selalunya jika anda mengalami kecederaan kepala, anda tidak akan ingat butiran kemalangan itu. Sekiranya mungkin, anda harus membawa bersama anda seseorang yang menyaksikan kemalangan itu. Adalah penting untuk doktor anda menentukan jika anda telah hilang kesedaran dan berapa lama jika ia berlaku.

Doktor juga akan memeriksa anda untuk mencari sebarang tanda trauma, termasuklah lebam dan bengkak. Anda juga mungkin akan menjalani pemeriksaan neurologi, di mana doktor akan menilai fungsi saraf anda dengan menilai kawalan dan kekuatan otot, pergerakan mata, dan deria sentuhan antara lainnya.

Ujian pengimejan juga biasanya digunakan untuk mendiagnosis kecederaan kepala. Imbasan CT akan membantu doktor anda mencari sebarang keretakan tulang, bukti pendarahan dan pembekuan, pembengkakan otak, dan apa-apa kerosakan struktur lain. Imbasan CT adalah cepat dan tepat, jadi ia biasanya adalah ujian pertama yang akan dilaksanakan. Anda juga boleh menjalani imbasan MRI, yang menawarkan pandangan yang lebih terperinci pada otak. Imbasan MRI biasanya hanya akan dibuat apabila anda berada dalam keadaan stabil.

Bagaimana pesakit Kecederaan Kepala dirawat?

Rawatan untuk kecederaan kepala akan bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan.

Dengan kecederaan kepala yang kecil, selalunya tiada simptom selain sakit di kawasan kecederaan. Dalam kes ini, anda mungkin diberitahu untuk mengambil acetaminophen (Tylenol) bagi kesakitan. Anda tidak boleh mengambil ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), seperti ibuprofen (Advil) atau aspirin (Bufferin), kerana ia boleh membuatkan pendarahan menjadi lebih teruk. Jika anda mempunyai luka potongan yang terbuka, doktor anda mungkin akan menggunakan jahitan atau pengokot untuk menutupnya. Mereka kemudian akan menutupnya dengan pembalut kain.

Walaupun jika kecederaan anda kelihatan kecil, anda masih harus berhati-hati untuk memastikan ia tidak menjadi lebih teruk. Dakwaan bahawa anda tidak boleh tidur selepas kepala anda tercedera adalah tidak benar, namun anda masih harus bangun setiap dua jam atau lebih untuk memeriksa sebarang simptom baru. Anda perlu kembali kepada doktor jika anda mengalami simptom yang baru atau lebih buruk.

Anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital jika anda mengalami kecederaan kepala yang serius. Rawatan yang anda terima di hospital akan bergantung kepada diagnosis anda.

Rawatan untuk kecederaan kepala teruk boleh meliputi:

Ubat-ubatan

Sekiranya anda mengalami kecederaan otak yang teruk, anda mungkin akan diberi ubat anti-sawan. Anda berisiko untuk mengalami sawan dalam minggu selepas kemalangan anda.

Anda juga boleh diberi ubat diuretik jika kecederaan anda menyebabkan tekanan dalam otak. Diuretik akan menyebabkan anda mengeluarkan lebih banyak cecair. Ini dapat membantu melegakan beberapa tekanan.

Sekiranya kecederaan anda sangat serius, anda mungkin akan diberi ubat untuk meletakkan anda pada koma yang dicetuskan. Ini mungkin rawatan yang sewajarnya jika saluran darah anda didapati telah rosak. Apabila anda mengalami koma, otak anda tidak memerlukan banyak oksigen dan nutrien seperti biasa.

Pembedahan

Pembedahan kecemasan mungkin diperlukan untuk mengelakkan kerosakan selanjutnya pada otak anda. Sebagai contoh, doktor anda mungkin perlu mengendalikan pengeluaran hematoma, membaiki tengkorak anda, atau melegakan tekanan pada tengkorak anda.

Pemulihan

Sekiranya anda mengalami kecederaan otak yang serius, anda mungkin memerlukan terapi pemulihan untuk mendapatkan semula fungsi otak sepenuhnya. Jenis pemulihan yang anda dapat bergantung kepada fungsi apa yang telah hilang akibat daripada kecederaan. Orang yang mengalami kecederaan otak selalunya memerlukan bantuan untuk mendapatkan semula kebolehan bergerak dan bertutur.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kecederaan Kepala?

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 27, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 31, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.