Prediabetes: Satu Amaran!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Prediabetes adalah keadaan di mana kadar glukosa di dalam darah anda lebih tinggi daripada normal, tetapi tidak sampai tahap diabetes. Adakah ia signifikan? Sudah tentu. Anda sebenarnya selangkah sahaja ingin menuju diabetes!

Bagaimana prediabetes boleh dikesan?

Ujian yang dilakukan untuk mengesan keadaan ini adalah sama seperti yang dilakukan bagi ujian biasa diabetes. Darah akan diambil untuk mengukur kadar glukosa di dalam darah.

Ia boleh dilakukan melalui beberapa ujian berbeza. Jika diukur selepas berpuasa sekurang-kurangnya 8 jam, kadar glukosa yang tinggi akan disebut sebagai Gangguan Glukosa Puasa (IFG). Jika ukuran glukosa tinggi selepas Ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT), ia disebut sebagai Gangguan Toleransi Glukosa (IGT).

Satu lagi ujian yang boleh dijalankan adalah dengan mengukur HbA1C, iaitu sejenis hemoglobin di dalam darah. Ujian ini memberikan maklumat tentang keadaan gula dalam tempoh 3 bulan yang lalu.

Kesemuanya boleh mengesahkan keadaan prediabetes.

Adakah semua prediabetes akan menjadi diabetes?

Menurut kajian, hampir 40% daripada kalangan mereka yang mengalami prediabetes akan menghidap diabetes dalam tempoh 4 tahun jika tidak dirawat. Ia adalah tempoh yang sangat singkat!

Oleh itu, intervensi harus dilakukan untuk mengelakkan risiko mengalami kencing manis. Golongan ini juga lebih berisiko tinggi mengalami serangan jantung atau strok.

Mencegah diabetes

Prediabetes boleh diubah menjadi normal. Caranya adalah gaya hidup sihat dan komitmen. Tanpa kedua-duanya, hasilnya susah dicapai.

Apakah gaya hidup sihat yang boleh diamalkan?

1. Pemakanan sihat

Pemahaman terhadap piramid makanan adalah penting dalam menyusun atur pemakanan anda setiap hari.

Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan lemak, minyak dan gula. Makanan kaya serat membuatkan anda cepat kenyang, seterusnya membantu mengurangkan jumlah makanan yang diambil.

2. Kawal berat badan

Mereka yang mengalami prediabetes kebiasaannya mempunyai berat badan berlebihan. Mengurangkan berat badan sebanyak 5% hingga 10% sahaja sudah boleh membawa perubahan yang signifikan.

3. Aktiviti fizikal

Anda perlu membakar lemak berlebihan yang ada di dalam badan. Cuba sedaya upaya mencari masa untuk melakukan aktiviti fizikal pada intensiti sederhana selama 30 minit, sekurang-kurangnya 3-4 hari seminggu. Anda boleh cuba berjalan laju, berbasikal, berenang atau joging.

Dalam sesetengah kes, ubat mungkin diperlukan jika gaya hidup semata-mata tidak dapat mengawal kadar glukosa di dalam darah.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut