backup og meta

Sering Migrain? Ini 5 Jenis Rawatan Migrain Berkesan Yang Anda Perlu Cuba

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/06/2023

    Sering Migrain? Ini 5 Jenis Rawatan Migrain Berkesan Yang Anda Perlu Cuba

    Apabila bercakap mengenai rawatan migrain, ia sama ada bagi menghilangkan atau mencegah migrain daripada berlaku.

    Rawatan yang sering dipreskripsikan berbeza mengikut tahap keterukan dan kekerapan berlakunya serangan migrain.

    Sama ada ia dalam bentuk terapi 1 ubat atau gabungan banyak ubat, tujuannya adalah untuk melegakan simptom.

    Berikut merupakan kaedah rawatan migrain yang popular bagi meredakan serangan migrain.

    Rawatan untuk menghentikan serangan migrain

    Bagi mereka yang mengalami serangan migrain pada peringkat awal, rawatan boleh diambil untuk menghentikannya.

    Ubat yang sering digunakan boleh diambil melalui oral, suntikan, pelekat atau semburan hidung.

    Ia sangat berkesan untuk merawat simptom yang berkait dengan simptom migrain seperti loya dan muntah.

    Antara ubat yang popular termasuklah triptans dan ditans.

    Kedua-duanya mempunyai struktur dan fungsi yang lebih kurang sama. 

    Ia berupaya untuk merangsang neurotransmiter yang dikenali sebagai serotonin.

    Rembesan bahan kimia tersebut akan menurunkan tahap keradangan yang berlaku dalam salur darah.

    Ekoran kesan fisiologikal tersebut, serangan migrain akan berhenti.

    rawatan migrain

    Namun, tidak seperti ubat lain, rawatan migrain ini khusus untuk simptom sakit kepala. 

    Penggunaannya tidak meluas untuk merawat masalah lain seperti sakit sendi atau senggugut.

    Ubat lain seperti aspirin, ibuprofen dan kafein juga boleh digunakan untuk melegakan serangan migrain.

    Sementara itu, penggunaan ubat yang berasaskan ubat bius, barbiturat (ubat penenang) dan narkotik tidak digalakkan walaupun ia juga mampu bertindak sebagai rawatan migrain.

    Ia boleh menyebabkan masalah ketagihan dan tidak spesifik kepada migrain.

    Oleh itu, anda cuma perlu mengambil ubat yang tersenarai sekiranya ia dipreskripsikan. Jangan guna ubat tersebut tanpa pengetahuan doktor.

    Rawatan migrain untuk cegah serangan migrain

    Sekiranya anda kerap mendapat serangan migrain (lebih daripada sekali seminggu), terdapat ubat yang boleh mencegah ia daripada berlaku.

    Berbeza dengan ubat untuk melegakan migrain, ubat cegah migrain perlu diambil setiap hari.

    Antara ubat yang berkesan untuk cegah migrain adalah seperti berikut:

    1. Beta blocker (penghalang beta)
    2. Calcium channel blocker (penghalang saluran kalsium)
    3. Ubat anti-murung
    4. Ubat sawan
    5. Suntikan botoks
    6. Calcitonin gene-related peptide inhibitors (penghalang peptide gen-terkait kalsitonin)

    Baca juga:

    Jika anda tidak mahu mengambil sebarang ubat, terdapat peranti yang anda boleh gunakan sebagai rawatan migrain.

    Sebagai contoh, satu peranti khas yang menyerupai cekak kepala (headband). 

    Ia boleh mengeluarkan gelombang elektrik yang akan merangsang saraf berkaitan dengan serangan migrain.

    Perkara ini mampu melegakan serangan migrain.

    Penggunaan magnesium untuk rawat simptom migrain

    Jika anda mengalami aura migrain atau sakit kepala ketika haid, pengambilan magnesium boleh mengurangkan kekerapan serangan migrain daripada berlaku.

    Magnesium adalah mineral asas yang diperlukan oleh badan bagi berfungsi dengan sebaiknya. 

    Ia mampu memberikan pelbagai jenis kebaikan fisiologi seperti:

    1. Kesihatan tulang
    2. Mengawal tekanan darah
    3. Memastikan ritma jantung stabil
    4. Penting untuk fungsi saraf normal

    Mereka yang kekurangan magnesium, boleh mengalami masalah kesihatan seperti:

    1. Kelesuan
    2. Kurang selera makan
    3. Loya
    4. Kram otot
    5. Sakit kepala
    6. Migrain

    Walau bagaimanapun, nutrisi mikro ini tidak dapat diserap oleh badan dengan sebaiknya.

    Bagi memastikan keberkesanan rawatan migrain, elemen magnesium akan digabungkan dengan molekul lain seperti asid amino.

    Bagi serangan migrain, terdapat dua bentuk rawatan yang popular:

    1. Magnesium oksida (pil)
    2. Magnesium sulfat (cecair intravena)

    Jika anda ingin mengambil suplemen magnesium, pastikan anda merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

    Ini berikutan pengambilan magnesium juga boleh memberikan kesan sampingan.

    Penggunaan vitamin B bagi melegakan serangan migrain

    rawatan migrain

    Riboflavin (vitamin B2) mempunyai keupayaan untuk menurunkan tahap keterukan dan kekerapan berlaku serangan migrain.

    Ujian klinikal sedang dijalankan ketika ini bagi mengkaji keberkesanan dan profil keselamatannya.

    Namun begitu, kajian terdahulu yang telah diterbitkan di Jurnal Antarabangsa Bagi Kajian Nutrisi dan Vitamin telah mendapat keputusan yang memberangsangkan.

    Penggunaan riboflavin boleh memberikan kesan fisiologi yang signifikan tanpa kesan sampingan.

    Anda mungkin berminat:

    Menurut Mark W Green, profesor neurologi di Sekolah Perubatan Icahn, Mount Sinai, perkara ini mungkin disebabkan oleh sifat vitamin itu sendiri.

    Vitamin B larut dalam air dan ia akan dikumuhkan melalui air kencing.

    Oleh sebab ia dikeluarkan pada kadar yang cepat, risiko untuk pengambilan secara berlebihan itu berada pada tahap yang rendah.

    Walau bagaimanapun, anda disarankan untuk memberitahu doktor sebelum mengambil suplemen tersebut.

    Bagaimana pula dengan penggunaan herba dalam rawatan migrain?

    migrain

    Walaupun banyak produk yang tidak terbukti keberkesanannya untuk merawat migrain, beberapa jenis herba berkesan untuk melegakan kesakitan semasa serangan.

    Sebagai contoh, herba yang dikenali sebagai butterbur berkesan dan sering digunakan untuk melegakan sakit migrain dan sakit perut.

    Suplemen feverfew yang berasal daripada bunga daisi juga berkesan dalam merawat serangan migrain dan sakit kepala.

    Namun, penggunaannya perlu dipantau memandangkan ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang memudaratkan.

    Walau apa jua rawatan migrain pilihan, anda perlu faham bahawa ia tidak akan memberikan kelegaan sekelip mata.

    Terdapat ubat yang digunakan untuk cegah migrain perlu diambil setiap hari sebelum ia menunjukkan kesan positif. 

    Jika terdapat sebarang pertanyaan berkenaan dengan ubat migrain, rujuk doktor anda untuk khidmat nasihat kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 20/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan