Trend Mengadu di Media Sosial Konflik Rumah Tangga, Bagus Ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Baru-baru ini tular kisah konflik rumah tangga seorang artis, Lutfyah Sheikh Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Lufya dengan suaminya yang merupakan seorang doktor iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum.

Kemelut rumah tangga pasangan ini menjadi perhatian warganet apabila Lufya berkongsi di laman Instagramnya mengenai sikap suaminya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Paling terbaru mengenai kisah penceraian mereka melalui aplikasi WhatsApp.

Dalam masa yang sama, satu lagi kisah rumah tangga artis, Nadya Syahera dan suaminya yang merupakan seorang usahawan, Fizul Nawi turut menjadi topik ‘membawang’ warganet apabila Nadya pernah membuat pendedahan mengenai kecurangan suaminya.

Konflik rumah tangga pasangan ini semakin hangat diperkatakan apabila suami Nadya meminta pandangan netizen berkaitan perihal rumah tangga mereka melalui kaedah undian menerusi media sosial, Instastory.

Tumpuan individu sekeliling

Itu baru kisah pasal artis, individu yang dikenali umum, ‘public figure’ tentulah menjadi perhatian ramai. Tapi bagaimana pula kalau perihal kisah ‘orang-orang’ biasa seperti kita yang berkongsi masalah di media sosial? Masih ada ke individu lain yang berminat untuk ambil tahu?

“Weh, dia ada ‘problem’ dengan ‘husband’ dia ke? Kenapa kau tanya? Hari tu aku ada baca ‘post’ dia dekat Facebook.” Itu pastinya antara situasi yang pernah anda hadapi. Atau anda sendiri jenis kaki ‘stalker’ profile kawan-kawan anda untuk mengetahui ‘isu-isu semasa’ berkaitan mereka? Tapi bagus ke kalau kongsi perkara-perkara macam tu?

Tidak dinafikan, kebelakangan ini, ramai di antara kita lebih memilih untuk menyatakan atau berkongsi masalah secara terbuka di media sosial. Tetapi tanpa kita sedar, perkongsian atau tabiat kita yang suka mengadu di media sosial adakalanya lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan, terutamanya bagi mereka yang beragama Islam.

Tetapi kenapa tak elok mengadu di media sosial? Teruskan membaca perkongsian artikel ini. 

Kesan mengadu di media sosial

Seperti pepatah ‘bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan’, begitu jugalah dengan alam perkahwinan. Tiada perkahwinan yang dapat lari daripada cabaran dan dugaan yang datang dari pelbagai cabang. Malahan tidak dinafikan, ada juga ‘pengacau’ yang hanya menunggu masa untuk meruntuhkan sesebuah rumah tangga itu. Jadi anda rasa, wajarkah untuk mengadu konflik rumah tangga di media sosial?

Percaya tak kalau sesebuah perkahwinan itu boleh musnah hanya melalui hujung jari? Itulah ‘kuasa’ keyboard warrior yang mungkin ramai tidak sedari. 

Pendapat yang mengelirukan

Keburukan paling utama apabila berkongsi masalah di media sosial adalah ia membuka ruang yang luas untuk menerima pendapat dan pandangan yang salah. Lebih membahayakan apabila anda yang sedang dalam kekeliruan disogokkan dengan pendapat mengelirukan. Keadaan ini akhirnya boleh membuatkan anda dan pasangan lebih cenderung menggunakan emosi dalam pertimbangan hal berkaitan rumah tangga berbanding akal yang waras. 

Sering kali pendapat diberikan di media sosial ini adalah daripada individu yang turut pernah melalui pengalaman sama. Jadi sedikit sebanyak boleh menyebabkan apa yang dikatakan individu itu lebih menjurus kepada emosi. 

Sebaiknya jika perasaan, emosi dan fikiran anda sedang bercelaru, elakkan daripada berkongsi masalah secara terbuka. Ini adalah perkara yang perlu anda lakukan sekiranya anda masih mahu mencuba untuk memperbaiki keadaan dan hubungan dengan pasangan.

Menimbulkan salah faham

Di dalam kitaran media sosial anda, pastinya terdapat ahli keluarga anda sendiri, bukan? Jadi apabila anda mengadu masalah yang dihadapi, ia secara tidak langsung akan menimbulkan keaiban kepada pasangan dan menjadikannya topik perbualan individu di sekeliling anda. 

Selain mendatangkan keaiban, perbuatan mengadu di media sosial ini juga boleh menyebabkan salah faham dan buruk sangka apabila ada yang menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Tidak mustahil untuk konflik rumah tangga yang dilalui menjadi lebih kronik kerana ‘cakap-cakap’ individu di sekitar anda. 

Kemelut semakin kronik

Kita tidak boleh membaca fikiran individu lain. Mungkin ada antara rakan anda yang tampak sangat prihatin mengenai masalah yang anda hadapi. Tetapi pada dasarnya dia mempunyai niat lain. Jadi boleh anda bayangkan apa yang mungkin akan berlaku?

Tak boleh bayangkan? Beginilah, dalam keadaan anda sedang beremosi dan menerima tekanan daripada pelbagai pihak, kebiasaannya anda tidak akan boleh berfikir dengan waras. Jadi apabila dalam masa sama, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menghasut anda untuk membuat keputusan yang mungkin akan anda sesali, ia secara tidak langsung hanya menjadikan konflik rumah tangga anda lebih buruk.  Elok-elok rumah tangga anda masih boleh diselamatkan, terus hancur berkecai, haaa…kan naya tu?

Tip mengendalikan konflik rumah tangga

Jadi bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikan masalah rumah tangga yang timbul? 

  • Berkomunikasi secara berhadapan, tidak kira sama ada anda mempunyai masalah ataupun tidak. Ramai pasangan tidak menyedari, kurang berkomunikasi boleh menjadi punca utama konflik. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang lebih banyak menghadap gajet. 
  • Elakkan bergantung kepada komunikasi atas talian semata-mata bagi mengelakkan kekusutan menjadi lebih serius. Adakalanya memilih untuk berkomunikasi atas talian lebih mengusutkan keadaan.
  • Jangan melarikan diri apabila berdepan dengan sebarang isu atau masalah. Hindari daripada menggunakan ‘orang tengah’ untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Jika masih memerlukan bantuan ‘orang tengah’, pilihlah individu yang anda percayai bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Saluran yang betul

Sebenarnya tidak salah untuk anda berkongsi atau meluahkan apa yang anda alami. Perbuatan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan dan mengurangkan tekanan yang anda lalui saban hari. 

Tetapi sebaik-baiknya, berkongsi atau luahkanlah kepada individu yang anda percayai seperti rakan baik atau ahli keluarga. Atau jika anda malu dengan rakan atau keluarga anda, pilihlah untuk berkongsi dengan pakar kaunseling yang bertauliah. ‘At least’ mereka boleh memberikan pandangan dan nasihat yang lebih berkualiti dalam membantu anda mengharungi masalah rumah tangga anda.

Malahan dalam Islam sendiri menganjurkan setiap masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh diluahkan kepada individu yang layak untuk membantu menyelesaikannya seperti kaunselor, ustaz atau ustazah, peguam mahupun kawan rapat serta hakim ketika berada di dalam kamar mahkamah. 

Hentikanlah berkongsi dekat media sosial ye? Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: September 23, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut