Pelajar Tercicir Pelajaran, Kenapa Boleh Berlaku?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Isu pelajar ponteng kelas atau tidak hadir ke sekolah merupakan satu masalah yang sudah lama berlaku. Malahan, masalah ini terjadi sehingga boleh menyebabkan berlakunya isu pelajar keciciran pelajaran. Tetapi mengapakah ia boleh berlaku?

Angka mengejutkan 

Dalam satu laporan, seramai 12,281 pelajar di negeri Selangor tidak meneruskan persekolahan disebabkan faktor seperti tiada minat belajar, masalah keluarga, sudah berkahwin, takut untuk hadir ke sekolah, faktor kemiskinan dan minat bekerja. Mengejutkan, bukan?

Namun hakikatnya adalah, jumlah pelajar yang keciciran pelajaran ini berlaku di sebuah negeri yang boleh dianggap membangun. Bagaimana pula di negeri-negeri lain? Sudah tentu angkanya hampir lebih kurang sama atau lebih banyak daripada itu. Situasi ini amat membimbangkan!

Sebenarnya, berdasarkan pengalaman penulis sendiri, punca utama yang menyebabkan wujudnya isu keciciran pelajaran adalah kerana MALAS belajar. Jika sudah tertanam dalam diri rasa malas, apa pun yang ingin dilakukan tidak akan menjadi.

Tetapi mengapa wujud rasa malas untuk belajar ini?

Punca wujud rasa malas

Pelbagai faktor boleh menjadi punca kepada timbulnya rasa malas untuk hadir ke sekolah. Berikut disenaraikan beberapa punca utama yang menjadi penyebab anak-anak tidak ke sekolah:

Kerja rumah

Bebanan tugasan sekolah yang terlalu banyak serta tidak difahami boleh menyebabkan anak tidak dapat menyiapkannya. Keadaan ini akhirnya membuatkan anak rasa takut untuk ke sekolah kerana tidak mahu dimarahi guru.

Subjek atau pelajaran

Terdapat subjek atau pelajaran yang tidak disukai. Atau mungkin guru yang mengajar subjek tersebut tidak disukai oleh anak anda. Ini merupakan satu masalah yang serius, kerana anak tidak boleh dibiasakan untuk hanya memilih apa yang disukai sahaja. 

Gangguan fizikal

Masalah yang melibatkan penglihatan atau pendengaran boleh menjadi punca wujudnya rasa malas apabila anak sukar untuk belajar, sekali gus menyebabkan keciciran pelajaran. Menjadi mangsa buli juga mungkin membuatkan anak malas ke sekolah kerana tidak mahu terus dibuli. 

Tiada contoh teladan

Ketiadaan contoh teladan juga mungkin boleh menyebabkan rasa malas pada anak yang masih belum dapat memahami apa itu yang dimaksudkan dengan rajin. Jadi, beri dan jadilah contoh yang terbaik kepada anak anda. 

Cara membantu anak

Jika anak anda mempunyai masalah malas untuk belajar, berikut adalah cara yang boleh anda lakukan untuk membantunya mengatasi masalah ini.

Berikan galakan

Cuba untuk luangkan masa dengan anak ketika dia melakukan tugasan kerja sekolahnya. Bersabar jika mereka banyak bertanya dan elakkan daripada selalu menghadap atau bermain telefon di depan mereka. 

Ganjaran dan hadiah

Berikan hadiah sebagai tanda galakan atas sebarang pencapaian yang diperolehi anak anda. Lebihkan membeli buku berbanding mainan. Wujudkan tabiat membaca dalam diri anak. 

Hadkan masa

Jika masa anak lebih diluangkan kepada bermain permainan video, bermain atau menonton televisyen, cuba hadkan masanya. Berikan syarat kepadanya bahawa dia perlu menyiapkan terlebih dahulu tugasan sekolah dengan betul dan bukan sekadar atas alasan mahu cepat bermain atau menonton tv

Meremehkan anak

Mungkin niat anda sekadar bergurau atau untuk menjadikan anak lebih bersemangat. Tetapi jika perkataan atau ayat yang digunakan seakan meremehkan kemampuan anak, ia mungkin akan menyebabkan anak menjadi malas dan hilang semangat serta keyakinan diri. Setiap ibu bapa harus sedar, kata-kata yang dilafazkan anak ibarat doa, jadi berwaspada dalam bertutur, okay?

Akhir kata

Terdapat banyak lagi faktor yang boleh menjadi punca mengapa anak-anak menjadi malas untuk ke sekolah dan akhirnya mengakibatkan berlakunya keciciran pelajaran. Jadi sebagai ibu bapa, anda perlu memainkan peranan penting untuk mengatasi isu ini. 

Jangan pernah mengabaikan permasalahan ini, kerana ia adalah berkaitan dengan masa depan anak-anak anda. Lakukan perubahan sekarang, demi masa depan anak-anak yang lebih terjamin!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.