“Sharenting”, Budaya Kongsi Gambar Anak di Media Sosial Yang Sangat Bahaya!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anak merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Tidak hairanlah sekiranya kebanyakan ibu bapa kini sangat gemar kongsi gambar anak mereka kepada masyarakat. Perbuatan ini dikenali sebagai “sharenting”.

Seiring dengan era teknologi yang sangat pesat berlaku pada ketika ini, ibu bapa kini lebih mudah untuk berkongsi gambar anak mereka menerusi pelbagai platform media sosial.

Namun begitu, wujud pelbagai persoalan berkaitan perkara ini. Adakah berkongsi gambar anak di media sosial akan mengundang bahaya kepada mereka atau kepada anda?

Persoalan ini menjadi satu tanda tanya yang perlu diambil perhatian yang lebih oleh ibu bapa demi memastikan kesejahteraan hidup anda dan keluarga!

Apakah bahaya kongsi gambar anak di media sosial?

anak

Ya, berkongsi gambar anak di media sosial sememangnya akan mengundang bahaya kepada mereka. Ini akan mendatangkan pelbagai kesan negatif dan yang paling penting antaranya adalah salahguna gambar terbabit.

Gambar si manja anda mungkin akan dicuri dan disimpan oleh golongan pedofilia dan pemangsa atas talian. Selain itu, ia juga berpotensi dicuri dan disunting oleh individu tidak bertanggungjawab untuk tujuan peribadi.

Oleh itu, anda perlu lebih prihatin dan tidak memandang enteng perkara yang mungkin diambil mudah oleh kebanyakan ibu bapa kini.

Situasi yang jadi punca bahaya kongsi gambar anak di media sosial

gambar anak

Sebenarnya, berkongsi gambar anak anda di media sosial untuk tujuan disimpan dan ditunjuk kepada mereka apabila dewasa kelak tidak salah.

Anda boleh guna akaun yang mempunyai mod peribadi untuk lebih selamat. Pun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu anda tahu sebelum memuat naik gambar tersebut ke media sosial berkaitan situasi gambar terbabit.

Sebagai ibu bapa anda perlu sentiasa berhati-hati dan berfikir tentang setiap kemungkinan yang bakal berlaku sebelum memuat naik gambar anak anda ke media sosial.

Berikut merupakan beberapa situasi gambar yang anda tidak perlu kongsikan ke dalam media sosial:

#1. Gambar yang menampakkan anak individu lain

Sekiranya anda hendak memuat naik gambar anak anda yang turut menampakkan anak individu lain, berhubung terlebih dahulu dengan ibu bapa mereka.

Walaupun pada hemat anda gambar tersebut tidak mempunyai apa-apa masalah, pandangan ibu bapa lain kadangkala berbeza. Jika ibu bapa lain tidak selesa dengan cadangan anda, jangan lakukannya dan padam gambar tersebut daripada koleksi anda.

#2. Gambar si manja anda sedang mandi atau tidur

Gambar ketika anak anda sedang mandi merupakan gambar yang tidak sepatutnya dimuat naik ke media sosial anda. Ini kerana ketika sedang mandi atau tidur, anak anda mungkin akan berada dalam keadaan bogel atau separuh bogel.

Begitu juga dengan gambar anak anda ketika sedang tidur. Gambar ini mungkin tampak comel di mata anda tetapi golongan pedofilia dan pemangsa atas talian tidak akan berfikir sedemikian dan akan menggunakan gambar-gambar ini untuk tujuan peribadi.

#3. Gambar lokasi si manja anda selalu berada

Jangan sesekali mendedahkan lokasi anak anda selalu berada menerusi gambar di media sosial. Sebagai contoh, lokasi rumah, sekolah, taska, taman permainan atau lain-lain lagi lokasi anak anda selalu berada.

Ini untuk mengelakkan bahaya penghendap atau penculik yang selalu mencuba mencari peluang untuk mengapa-apakan anak anda.

#4. Gambar yang tidak disukai oleh si manja anda

Sebelum memuat naik sebarang gambar anak anda ke media sosial, pastikan anda berbincang terlebih dahulu dengan mereka sama ada mereka suka atau tidak gambar tersebut.

Jika mereka masih terlalu kecil, fikirkan sejenak akan perasaan mereka pada masa hadapan kelak sekiranya melihat gambar itu.

Gambar yang pada pandangan mata anda comel, mungkin tidak pada mereka dan akan mendatangkan aib pada mereka dewasa kelak. Oleh itu, hormati keputusan dan pertimbangan mereka.

Jangan sesuka hati kongsi gambar si manja

Konklusinya, perbuatan ini adalah sangat tidak selamat. Jadi, sila tegah diri dari berkongsi gambar anak anda di mana-mana platform media sosial. Ketahuilah bahawa banyak pemangsa atas talian di luar sana sedang memerhati!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Disember 18, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mac 13, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut