Cara Membuatkan Anak Angkat Berasa Disayangi

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Mengambil anak angkat merupakan antara pilihan terbaik bagi pasangan yang tidak dikurniakan rezeki untuk memperoleh zuriat sendiri. Tetapi bagaimana caranya untuk membuatkan si anak berasa diterima dan disayangi?

Pengambilan anak angkat

Mengambil anak angkat merupakan satu tindakan yang amat digalakkan, lebih-lebih lagi jika si anak itu merupakan anak yatim. Ini pastinya dapat membela kehidupan si anak ke arah yang lebih baik dan terjamin. 

Namun tidak dinafikan, jika anak tersebut merupakan kanak-kanak yang sudah besar, berkemungkinan mereka akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan keluarga angkatnya. 

Pelbagai cara telah dicuba dan dilakukan, tetapi masih tidak berjaya membuat si anak berasa diterima dalam rumah dan keluarga angkatnya. Lebih merungsingkan hati ibu bapa angkat, jika si anak hanya berdiam dan sentiasa mengasingkan diri.

Penerimaan keluarga baru

Mengambil bayi yang baru lahir sebagai anak angkat semestinya satu situasi berbeza dengan membawa seorang kanak-kanak yang sudah boleh bercakap, berfikir dan membuat keputusan sendiri, pulang ke rumah anda sebagai anak. 

Apabila seorang kanak-kanak dibawa ke tempat baharu, sebuah rumah yang bakal menjadi kediamannya, sudah tentu ia boleh menjadi satu pengalaman yang menakutkan dan luar biasa untuk dirinya. Apatah lagi jika mereka mungkin mempunyai pengalaman yang sukar dan pahit sebelumnya seperti didera atau dibiarkan tanpa penjagaan.

Kanak-kanak yang dibawa ke rumah keluarga angkat, pastinya akan terlintas difikirkan mereka, adakah dia akan selamat di sini atau akan didera kembali. Jika anda mempunyai anak sendiri, keadaan tersebut mungkin akan menimbulkan kebimbangan seandainya kehadirannya tidak diterima adik-beradik angkat yang lain.

Perkara ini tidak semudah dengan membawa seorang kanak-kanak pulang ke rumah anda dan menyatakan ia adalah tempat tinggalnya yang baru dan anda semua akan hidup bahagia sebagai sebuah keluarga. 

Hakikatnya ia adalah satu cabaran buat anda, keluarga (jika mempunyai anak kandung sendiri) dan anak tersebut. Walau bagaimanapun, cabaran tersebut boleh diselesaikan dengan kerjasama semua pihak.

Tip menjalinkan hubungan

Setiap masalah sudah tentu ada jalan penyelesaiannya. Jadi berikut dikongsikan beberapa tip dan cara yang boleh membantu mengurangkan kejanggalan antara anak dan keluarga angkatnya.

Hadirkan kemesraan

Ketika mengalukan-alukan kedatangan si anak di rumah anda, pastikan nada suara yang digunakan lembut dengan senyuman yang ikhlas. Sebaiknya elakkan daripada melakukan sebarang sentuhan secara berlebihan. Ini untuk menghindari si anak daripada terfikir yang anda mungkin cuba melakukan sesuatu yang tidak elok kepadanya. 

Jangan terus memaksa anak memanggil anda sebagai mama papa, mummy daddy, ibu ayah, umi walid atau apa sahaja panggilan yang anda mahukan. Sebaliknya perkenalkan diri anda dengan nama anda, seperti Cik Afie, Cik Qin atau sekadar pakcik dan makcik sahaja.

Berikan si anak pilihan, katakan padanya bahawa dia boleh memanggil anda sebagai mama, sekiranya dia sudah bersedia. Jika tidak, dia boleh memanggil anda dengan gelaran makcik. Berikan mereka masa untuk menerima kenyataan bahawa anda kini adalah ibu bapa angkatnya.

Jika anda mempunyai anak kandung sendiri, berikan peluang kepada dirinya dan juga anak-anak anda untuk memperkenalkan diri. Mereka tidak perlu dipaksa untuk menggunakan panggilan adik, abang atau kakak. Sebaliknya, sebagai permulaan menggunakan nama sendiri sudah cukup baik. 

Persekitaran

Perkenalkan anak angkat dengan persekitaran rumah seperti dapur, ruang tamu, bilik anda dan pasangan, bilik adik-beradiknya lain (jika ada) dan termasuklah bilik baharunya. Tetapi pastikan bilik baharunya dalam keadaan kemas dan bersih. Jika berkemampuan, sediakan perabot baharu seperti katil, almari pakaian dan meja belajar.

Jika ada kelapangan, adakan satu majlis untuk mengumpulkan semua ahli keluarga dan sahabat rapat anda bagi memperkenalkan mereka kepada keluarga dan sahabat anda. Ia pastinya dapat meningkatkan lagi rasa penerimaan si anak di dalam keluarga baharunya. 

Peraturan rumah

Setiap rumah sudah tentu mempunyai peraturan yang tersendiri bukan, dan peraturan ini terpakai kepada semua termasuklah anak angkat anda. Untuk memperkenalkan segala peraturan di dalam rumah, ia perlu dilakukan dengan baik dan lemah-lembut.

Mungkin ada antara anda terfikir masih terlalu awal untuk memperkenalkan peraturan rumah tetapi sebenarnya ia adalah satu perkara penting dan tindakan yang terbaik. Ini kerana mereka perlu sedia maklum mengenai peraturan di rumah, mereka tahu apa yang patut dan tidak patut mereka lakukan. 

Walau bagaimanapun, elakkan daripada memberikan peraturan rumah yang terlalu panjang. Cukup sekadar memberitahu peraturan utama. Jika tidak, ia mungkin akan menyebabkan wujudnya tekanan kepada si anak. Berikan peluang kepada mereka jika terdapat sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada anda. Tujuan utamanya adalah untuk membina kepercayaan antara anak dan anda sebagai ibu bapa dan keluarga angkatnya.

Harapan si anak

Setiap anak pastinya mengharapkan sesuatu daripada ibu bapa dan keluarganya. Begitu juga dengan anak-anak yang bergelar anak angkat. Berikut adalah beberapa perkara utama yang diharap oleh anak kepada keluarga angkatnya.

Selamat 

Anak yang diambil oleh keluarga angkat sudah pastinya ingin berasa dirinya selamat. Ini kerana anak-anak ini datangnya daripada pelbagai latar belakang, mungkin ada antara mereka sentiasa diselubungi rasa takut dan bimbang.

Jadi anda harus memainkan peranan penting untuk mewujudkan rasa selamat dalam diri anak tersebut. Hadirkan satu perasaan dalam diri si anak yang membuatkan mereka berasa anda dan keluarga adalah tempat paling selamat buat mereka.

Kasih sayang

Melafazkan kata sayang adalah tidak semudah melakukannya. Kasih sayang melibatkan perbuatan. Mereka mungkin tidak menunjukkannya tetapi percayalah,  anak-anak yang diambil oleh keluarga angkat ini amat dahagakan kasih sayang.

Jangan sekadar melafazkannya bahawa anda sayangkan mereka, tetapi anda harus membuktikannya. Wujudkan kepercayaan antara si anak dan anda sebagai keluarga angkatnya. Biarkan mereka melihat bahawa kasih sayang di rumah anda bukan sekadar dibuat-buat, tetapi hadir seikhlasnya untuk mereka.

Persefahaman

Jika anak yang anda ambil adalah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketahuilah bahawa mereka mungkin telah melalui pengalaman yang sukar dan menakutkan. Jadi anda harus bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan kerana anda mungkin akan berdepan dengan situasi dan tingkah laku yang mungkin tidak pernah anda duga. 

Dalam situasi ini, ia memerlukan kesefahaman dan kesabaran yang tinggi daripada pihak anda sebagai ibu bapa angkat. Pastikan anda mencurahkan rasa kasih sayang tanpa berbelah bagi kepadanya.

Konklusi

Anak angkat adalah sama seperti anak-anak yang lain yang mahukan diri mereka disayangi dan dikasihi. Jadi pastikan anda melayan mereka sama seperti ahli keluarga anda yang lain dan elakkan daripada mengabaikan mereka. Berikan mereka peluang merasai hidup dalam sebuah keluarga yang bahagia. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 31, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 31, 2020