Parents, Sila Ambil Perhatian! 9 Tip TIDAK Tertinggal Anak Dalam Kereta

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Tiada ibu bapa yang sengaja meninggalkan anak di dalam kereta. Namun, adakala akibat kepenatan dalam melakukan tugasan harian, kita alpa. Bagaimana untuk elakkan daripada terlupa anak dalam kereta?

Terlupa anak dalam kereta

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi berusia 9 bulan dalam kereta milik bapanya yang diletakkan di tempat letak kereta sebuah premis. Nasib malang menimpa bayi tersebut kerana bapa terlupa bahawa mangsa masih berada di dalam kenderaan.

Kejadian hanya disedari bapa mangsa apabila dia hendak keluar dari pejabat untuk makan lebih kurang jam 1 tengah hari. Mangsa sepatutnya dihantar ke pusat jagaan bayi terlebih dahulu sebelum bapanya pergi ke tempat kerja.

Penulis percaya pasti akan ada netizen yang akan menuding jari kepada bapa mangsa. Menyalahkan itu dan ini kepadanya seperti “Perkara seperti itu pun boleh lupa ke? Anak kot” atau “Takkan tak perasan anak dalam kereta” dan sebagainya.

Boleh berlaku kepada sesiapa

Ya, betul anda boleh mengatakan apa sahaja yang anda mahu. Kalau penulis belum mempunyai anak, mungkin penulis juga akan katakan sebegitu. Kita boleh berkata apa sahaja selagi kita tidak berada di tempat individu tersebut.

Bukan penulis mahu menyebelahi si bapa atau mana-mana pihak. Namun hakikatnya perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Percayalah sesiapa sahaja boleh mengalaminya.

Tanyalah kepada mana-mana ibu bapa yang menyayangi anak-anaknya, adakah mereka sanggup untuk membiarkan anak mereka secara sengaja di dalam kereta? Pastinya tidak akan ada seorang pun ibu atau bapa yang sangggup.

Namun, ada masa, kepenatan yang dilalui membuatkan kita terlupa tentang perkara penting. Takkan anda tidak pernah terlupa mengenai sesuatu perkara apabila anda dalam keadaan kelesuan dan tidak cukup rehat?

Memang betul, kita sedang bercakap mengenai nyawa seorang anak. Tetapi siapa kita untuk menidakkan ketentuan takdir Tuhan? Yang pastinya di sini, tiada ibu bapa yang kasihkan anak-anaknya sanggup menyeksa mereka.

9-tip-tidak-terlupa-tentang-anak-dalam-kereta

9 tip untuk sentiasa ingat anak dalam kereta

Yang sudah pergi, tetap akan pergi. Manakala kita yang masih ada di muka bumi ini harus sentiasa saling mengingati. Usah menuding jari, menyalahkan mana-mana pihak, ia takkan mampu mengubah takdir. 

Mencegah sesuatu itu pastinya lebih baik, bukan? Jadi penulis ingin kongsikan 9 tip untuk mengelakkan sebarang kejadian terlupakan anak dalam kereta daripada berlaku kepada sesiapa pun:

  1. Peka dengan perubahan rutin

Apabila kita sudah terbiasa dengan sesuatu rutin, kita selalu terlupa jika terdapat perkara lain yang perlu dilakukan. Ia merupakan antara punca utama mengapa kejadian tertinggal anak dalam kenderaan sering berlaku.

Maka di sini, ibu bapa atau penjaga perlu lebih peka dengan sebarang perubahan rutin. Lebih-lebih lagi jika tanggungjawab menghantar anak ke pusat asuhan digalas oleh pasangan anda. 

  1. Letakkan barang anak

Jika anda menempatkan anak di kerusi keselamatan pada tempat duduk penumpang belakang, maka anda amat disarankan untuk meletakkan sesuatu barangan milik anak, seperti beg pakaian, mainan atau apa sahaja kepunyaan anak di tempat duduk penumpang hadapan.

Ia adalah untuk membuatkan anda mengingati bahawa anak anda berada bersama anda. Jadi walaupun anda terlupa menghantarnya ke tempat asuhan, pastinya sebelum keluar kereta anda akan terpandang barangan milik anak anda. 

  1. Tinggalkan barangan yang ada

Salah satu tip lain yang boleh membantu anda untuk tidak terlupa mengenai si kecil di tempat duduk penumpang belakang, letakkan barangan kepunyaan anda seperti beg duit atau beg tangan di bahagian belakang.

Jadi apabila anda ingin mengambil kembali barangan anda, sudah tentu anda akan ternampak si kecil yang masih berada di tempat duduknya. 

  1. Kedudukan kerusi keselamatan anak 

Kalau sebelum ini anda meletakkan posisi kerusi keselamatan anak pada bahagian belakang pemandu, anda boleh mengubah kedudukannya. Letakkan pada bahagian tengah di mana anda akan lebih mudah melihatnya.

Jika kereta tersebut hanya dipandu oleh anda, meletakkan kerusi keselamatan anak di tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dijadikan pilihan. Tetapi pastinya anda perlu tahu posisi yang selamat mengikut usia si kecil.

  1. Bantuan daripada pengasuh

Anda juga boleh meminta bantuan pengasuh untuk menghubungi anda sekiranya anda tidak menghantar anak anda seperti biasa. 

  1. Sentiasa memeriksa kereta 

Ia mungkin 1 tindakan yang jarang anda lakukan. Namun bermula daripada hari ini anda perlu mengamalkannya. Sentiasa memeriksa kereta anda sebelum menguncinya. Jadikanlah ia 1 perbuatan yang anda lakukan setiap masa. 

  1. Meletakkan sebarang nota 

Mungkin tip ini agak leceh bagi anda, perlu menulis nota sebagainya. Walau bagaimanapun, apalah sangat rasa leceh tersebut kalau hendak dibandingkan dengan nyawa si kecil. Sudah tentu ia lebih bernilai dan tidak akan dapat ditukar ganti.

Tulis sebarang nota pada sticky note seperti ANAK DI BELAKANG dan lekatkan pada stereng atau papan pemuka (dashboard) agar anda tidak terlupa. Leceh tetapi boleh membantu menyelamatkan nyawa.

9-tip-tidak-terlupa-tentang-anak-dalam-kereta

  1. Panggilan telefon atau set alarm di kalendar

Ini juga mungkin 1 cara yang leceh tetapi berkesan. Anda boleh setkan peringatan di aplikasi kalendar telefon pintar anda. Jangan lupa untuk meletakkan penggera untuk mengingatkan anda.

Selain itu, anda mungkin boleh meminta bantuan pasangan anda untuk menghubungi anda pada waktu tertentu bagi mengingatkan anda tentang si kecil. 

  1. Apps di waze

Jika anda adalah salah seorang pengguna aplikasi Waze, terdapat satu fungsi khusus yang dinamakan Child Reminder. Anda boleh menggunakan aplikasi ini walaupun mungkin anda sudah mengetahui selok-belok jalan yang perlu anda lalui.

Melalui aplikasi ini, apabila anda tiba ke destinasi, notifikasi Child Reminder akan diberikan. Jadi ia juga boleh dianggap 1 cara berkesan untuk mengelakkan anda daripada tertinggal si kecil dalam kenderaan.

Akhir kata

Terlupa adalah 1 perkara yang berlaku kepada sesiapa, tetapi kita boleh mencegahnya, bukan? Semoga perkongsian tip di atas dapat membantu ibu bapa daripada terlupakan anak dalam kereta. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: Februari 20, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 24, 2020