Minggu demi minggu

Mencegah kerosakan gigi kanak-kanak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Masalah gigi rongak, gigi hitam dan gigi berlubang bukan lagi perkara asing untuk kita lihat berlaku pada kanak-kanak. Gigi yang dahulunya putih dan tersusun rapi kini sudah menghilang. Masalah kerosakan gigi pada kanak-kanak ini berlaku disebabkan banyak faktor seperti pemakanan dan cara menggosok gigi yang salah. Bagi mengelakkan masalah kerosakan gigi, ibu bapa mesti memastikan penjagaan oral dan gigi kanak-kanak dilakukan secara berterusan setiap hari.

Bagaimana kerosakan gigi berlaku?

  • Plak gigi yang mengandungi bakteria akan terbentuk dan melekat pada gigi si manja anda.
  • Bakteria akan bertindak dengan gula menjadi asid dan menyerang serta mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ia akan membentuk karies gigi yang akan menyebabkan gigi mereput dan berlubang.
  • Jika masalah ini dibiarkan, kanak-kanak akan mengalami sakit gigi kerana bakteria di dalam karies akan terus merebak dan menjangkiti pulpa gigi.
  • Lebih teruk lagi, sekiranya ia tidak dirawat, si kecil bakal mengalami masalah bisul pada gusi dan radang muka.

Faktor gigi anak rosak

Faktor utama kerosakan gigi berpunca daripada cecair, minuman atau makanan bergula yang diberikan kepada anak. Minuman dan makanan ini mengandungi gula tersembunyi yang akan menyebabkan plak terbentuk sekali gus menyebabkan gigi rosak.

Selain itu, tabiat bayi dan kanak-kanak yang gemar menghisap botol juga boleh menyebabkan kerosakan gigi berlaku. Apatah lagi jika si kecil menghisap botol yang berisi minuman manis ataupun minuman jus bergula.

Langkah pencegahan

Ibu bapa disarankan untuk mengehadkan pengambilan minuman bergula terutama di dalam botol untuk kanak-kanak. Selain itu, elakkan daripada memberikan anak menyusu botol sebelum waktu tidurnya.

Pilih ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi fluorida, iaitu sejenis bahan mineral yang membantu menghalang kerosakan gigi dan menguatkan lapisan enamel gigi. Fungsi fluorida juga adalah untuk membuatkan gigi bertahan daripada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria.

Elakkan meletakkan madu ataupun manisan pada pacifier atau puting kanak-kanak. Selain itu, minimakan penggunaan puting kerana penggunaan yang kerap akan menyebabkan susunan gigi kekalnya nanti tidak cantik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga: Penjagaan Gigi Bayi & Kanak-kanak

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut