Minggu demi minggu

Umur 2 Tahun Tetapi Masih Berdiam, Adakah Si Manja Menghidap Speech Delay?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Puas sudah bermain dan merangsang mereka untuk bercakap dan mula mengajuk perkataan mudah tetapi si manja masih berdiam? Selaku ibu bapa, tentu sekali anda risau akan tingkah laku mereka yang masih diam membisu. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang masalah speech delay dalam kalangan kanak-kanak dan bagaimana untuk mengetahui jika anak anda menghidapinya.

Apa itu speech delay?

anak-tulis

Speech delay merujuk kepada kelewatan dalam keupayaan seorang kanak-kanak itu untuk bercakap atau menghasilkan bunyi. Kelewatan ini ditentukan berdasarkan garis masa yang sepatutnya mereka garis masa perkembangan normal untuk usia mereka. Anda boleh mula cakna tentang tanda-tanda amaran untuk kelewatan bercakap bermula usia 12 bulan.

Apabila sudah berusia 12 bulan, ia menjadi satu kerisauan jika anak anda masih belum boleh melakukan perkara seperti berikut:

  1. Melambai ‘bye-bye’ atau menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk ke arah objek
  2. Menggunakan beberapa bunyi konsonan
  3. Menyuarakan keperluan mereka 

Apabila mencapai usia 15 hingga 18 bulan, seorang kanak-kanak itu berisiko untuk menghidap kelewatan bercakap jika mereka belum boleh menunjukkan perkara-perkara seperti berikut:

  1. Tidak mengucapkan ‘mama’ dan ‘dada’
  2. Tidak membalas apabila diberitahu perkara seperti ‘Tidak’, ‘Jangan’, ‘Helo’ dan juga ‘Bye’
  3. Tidak mempunyai satu hingga tiga kosa kata (menjelang usia 12 bulan) dan 15 perkataan menjelang usia 18 bulan
  4. Tidak berupaya untuk mengenal pasti bahagian badan
  5. Menunjukkan kesukaran dalam meniru bunyi dan tindakan

Pada usia 2 hingga 4 tahun pula, berikut adalah tanda-tanda tambahan untuk speech delay yang perlu anda perhatikan: 

  1. Gagal menghasilkan ayat secara spontan
  2. Tidak mampu untuk mengikut arahan mudah
  3. Tidak mampu untuk menyambungkan dua perkataan
  4. Kurang bunyi/penggunaan konsonan pada permulaan atau di penghujung perkataan
  5. Sukar untuk difahami oleh ahli keluarga terdekat sendiri
  6. Tidak mampu untuk membuat ayat mudah yang mengandungi dua hingga tiga patah perkataan

Apakah punca untuk masalah kelewatan bercakap?

Kelewatan bercakap boleh disebabkan oleh masalah perkembangan mulut seperti:

  1. Sumbing bibir
  2. Lelangit rekah (cleft palate)
  3. Kecacatan frenulum atau bibir

Memandangkan pendengaran juga penting untuk mengajuk bunyi, gangguan pendengaran juga boleh menyebabkan berlakunya kelewatan bercakap. Gangguan pendengaran boleh disebabkan oleh kerosakan saraf kongenital, masalah pendengaran konduktif dan juga jangkitan telinga.

Selain itu, ia juga boleh disebabkan oleh masalah saraf oral-motor. Masalah ini merujuk kepada disfungsi saraf pada bahagian otak yang mencetuskan ucapan dan juga bahagian yang mengawal pergerakan mulut dan lidah. Selain masalah pertuturan, mereka juga boleh mengalami masalah ketika menyusu. 

Masalah neurologi yang boleh membawa kepada kelewatan untuk bercakap termasuklah:

  1. Cerebral palsy
  2. Penyakit Autism Spectrum Disorder
  3. Kecacatan mental

Akhir sekali, terdapat juga kemungkinan untuk masalah pertuturan mereka disebabkan oleh isu-isu psikososial seperti:

  1. Masalah dengan pengasuh atau dengan persekitaran mereka.
  2. Ketagihan terhadap rangsangan visual melalui paparan skrin.
  3. Kurang perhatian (tidak meluangkan masa yang cukup untuk bercakap dengan orang dewasa)
  4. Selective mutism (si manja memang tidak ingin bercakap) 

Apa yang perlu ibu bapa lakukan?

Pengurangan dalam tindak balas terhadap rangsangan bahasa, bacaan dan juga skil pembelajaran adalah kesan sampingan lazim untuk kanak-kanak yang dibiar tidak dirawat. Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah kelewatan bercakap cenderung untuk mengalami masalah tingkah laku dan emosi di masa hadapan. Oleh yang demikian, penting untuk ibu bapa bawa si manja ke perhatian doktor bagi menyaring keupayaan mereka untuk bercakap. Melalui ujian saringan dan pemeriksaan rapi, doktor dapat menentukan diagnosis dan juga keterukan keadaan anak anda. Peranan ahli perubatan lain seperti ahli terapi pertuturan, ahli terapi pekerjaan dan juga pakar perkembangan kanak-kanak juga turut dimainkan bagi merawat kanak-kanak yang menghidap speech delay. 

Jika anda mengenal pasti tanda-tanda amaran dalam anak anda yang menunjuk ke arah masalah kelewatan bercakap, dapatkan perhatian doktor segera. Diagnosis yang lebih awal membolehkan rawatan bermula dengan lebih cepat. Jangan biarkan si manja terus membisu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut