Usia Paling Sesuai untuk Anak Lelaki Berkhatan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Berkhatan adalah sesuatu yang sangat dituntut bagi seorang muslim dan sudah menjadi norma yang sangat biasa dalam kalangan masyarakat kita kini. Bukan sahaja individu Melayu Islam dituntut untuk melakukan prosedur ini, masyarakat Cina, India malahan masyarakat di seantero dunia juga kini sudah mula melakukannya.

Namun begitu, terdapat beberapa pendapat mengenai usia yang sesuai untuk kanak-kanak lelaki itu berkhatan. Adakah bersunat semasa bayi adalah waktu yang paling sesuai atau perlu menunggu sehingga anak lelaki anda sedikit berusia untuk berkhatan? Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.  

Apakah maksud berkhatan?

Berkhatan atau bersunat adalah satu prosedur pemotongan lapisan kulit yang menutupi kepala zakar lelaki yang dipanggil kulup atau “prepuce”. Prosedur yang paling tua di dunia ini sangat dituntut untuk dilakukan oleh individu muslim. Namun kini telah banyak dilakukan oleh masyarakat di seantero dunia kerana prosedur ini mendatangkan pelbagai manfaat di samping mudah untuk dilakukan.

Apakah manfaat berkhatan bagi kanak-kanak lelaki?

Menurut kajian, prosedur ini mendatangkan pelbagai manfaat kepada individu yang menjalaninya. Antaranya adalah:

1. Alat kelamin mudah dibersihkan

Prosedur bersunat akan menyebabkan lapisan kulit yang menutupi kepala zakar lelaki yang dipanggil kulup atau “prepuce” dibuang. Lapisan ini sebenarnya sangat mudah untuk dijangkiti bakteria yang boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit jika anak lelaki anda tidak membersihkannya dengan cermat. Oleh itu, dengan membuangnya, alat kelamin anak lelaki anda akan lebih mudah dibersihkan.

2. Kurang risiko mendapat penyakit

Pelbagai jenis penyakit dapat dielak atau dicegah daripada menjangkiti anak lelaki anda dengan melakukan prosedur berkhatan, antaranya:

  • Penyakit saluran air kencing
  • Penyakit kelamin pada diri sendiri atau pasangan perempuan
  • Kanser zakar
  • Kanser serviks pada pasangan perempuan
  • “Phimosis” iaitu ketidakmampuan untuk menarik kulup atau “paraphimosis”

Apakah usia yang paling sesuai untuk kanak-kanak lelaki berkhatan?

Sebenarnya, tidak terdapat sebarang umur yang spesifik yang paling sesuai untuk anak lelaki anda menjalankan prosedur berkhatan. Di negara kita, kanak-kanak lelaki biasanya menjalankan prosedur ini ketika dalam lingkungan usia 5 hingga 12 tahun dan ada juga yang memilih untuk melakukannya ketika anak lelaki mereka masih bayi. Ini adalah tidak berbahaya kerana ia tidak akan menyebabkan sebarang perbezaan pada proses tumbesaran kanak-kanak.

Sebaiknya, berjumpalah dengan pakar perubatan untuk berbincang mengenai hajat anda untuk melakukan prosedur berkhatan buat anak lelaki anda sebelum membuat sebarang keputusan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut