backup og meta

Wanita Hamil Tidak Boleh Naik Pesawat, KENAPA?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/07/2020

    Wanita Hamil Tidak Boleh Naik Pesawat, KENAPA?

    Anda pernah mendengar mengenai mitos yang melarang wanita hamil daripada menaiki kapal terbang? Tetapi betul ke bahaya untuk individu yang sedang mengandung naik pesawat? Ada kesan kepada kandungan?

    Naik pesawat tingkatkan risiko kepada wanita hamil?

    Mengapa bahaya untuk wanita hamil menaiki kapal terbang? Kononnya, radiasi pengimbas badan di lapangan terbang, mesin sinar-X pada bahagian keselamatan, ketika berada di ketinggian tinggi adalah puncanya.

    Kedengaran menakutkan, bukan? Walau bagaimanapun, menurut Profesor Klinikal Ibu Hamil/Janin di University of North Carolina di Chapel Hill, Nancy Chescheir menyatakan bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan tentang perkara tersebut.

    Beliau menjelaskan radiasi yang perlu dilalui ketika melalui atau melepasi mesin di sinar-X di lapangan terbang atau saat berada di altitud yang tinggi adalah kecil. Malahan ujar Nancy lagi, kita sememangnya terdedah kepada radiasi sepanjang masa apabila berada di darat. 

    Walaupun ketika berada di udara radiasinya meningkat sedikit, namun jenis radiasi yang terdedah kepada tubuh (ketika dalam perjalanan udara) tidak akan menembusi badan dalam jumlah yang banyak. Keadaan itu sekali gus tidak akan menyebabkan pendedahan kepada janin.

    Kita boleh simpulkan di sini bahawa tidak ada bahayanya untuk wanita mengandung memilih naik pesawat, bukan? Jadi mesti anda ingin tahu apakah cara yang selamat untuk seseorang wanita hamil menaiki kapal terbang?

    Jangan risau sudah tentulah ada caranya. Teruskan membaca perkongsian artikel Hello Doktor ini.

    naik-pesawat-tidak-boleh-untuk-wanita-hamil

    Cara selamat naik pesawat bagi wanita hamil

    Masa paling selamat melakukan perjalanan udara ketika hamil adalah sewaktu trimester kedua, iaitu minggu ke-13 hingga 28. Ini kerana kebiasaannya, pada tempoh ini, morning sickness atau keletihan yang dialami pada trimester pertama sudah beransur hilang. 

    Baby bump juga mungkin masih kecil dan dapat memudahkan perjalanan anda. Lebih penting lagi, pada waktu ini, risiko untuk mengalami keguguran berkurangan berbanding trimester pertama. Ibu hamil juga tidak dibenarkan untuk menaiki pesawat semasa berada dalam trimester ketiga.

    Terdapat beberapa langkah berjaga-jaga yang perlu diberikan perhatian sebelum memutuskan untuk naik pesawat dalam tempoh kehamilan yang dibenarkan ini, seperti:

    1. Semak polisi

    Sudah tentulah perkara utama yang perlu anda lakukan adalah menyemak polisi syarikat penerbangan. Ini kerana kebanyakan syarikat penerbangan tidak akan membenarkan anda menaiki pesawat jika kandungan anda melebihi 36 minggu. 

    Pastikan anda menyemak dengan syarikat penerbangan sebelum membuat sebarang tempahan tiket. Jika kandungan sudah berusia lebih 36 minggu, anda perlu mendapatkan surat sokongan rasmi daripada doktor.

    Sebagai wanita mengandung, anda juga perlu mempunyai insurans perjalanan. Ia penting jika berlaku masalah kecemasan berkaitan perubatan dan dapat memastikan anda dan bayi akan dilindungi.

    2. Sebelum terbang

    Sebelum menaiki penerbangan anda, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan doktor bagi memastikan anda tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Ia penting sekiranya anda mempunyai masalah perubatan jangka panjang seperti asma atau diabetes.

    Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengendalikan sebarang simptom yang mungkin berlaku:

      • Stoking mampatan. Compression stocking yang dipakai ketika kehamilan akan dapat mengurangkan risiko peningkatan kadar denyutan jantung ibu dan anak. Stoking itu juga dapat mengurangkan risiko varicose veins, phlebitis, dan thrombosis.
      • Ubat gas. Gas dalam usus akan berkembang apabila tekanan dalam kabin menurun saat berada di atmosfera. Mengambil sebarang ubat untuk mengurangkan kesakitan itu pastinya boleh menjadikan perjalanan udara anda lebih baik.
      • Ubat loya. Turbulence ketika naik pesawat adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Lebih malang lagi, kehamilan menjadikan keadaan seperti itu semakin buruk. Maka pengambilan sebarang ubat loya sudah tentu dapat membantu anda.

    3. Naik pesawat

    Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda pertimbangkan ketika berada dalam penerbangan:

    • Makanan tertentu. Elakkan pengambilan makanan tinggi kandungan gas seperti kekacang, sayuran berdaun, minuman berkarbonat dan produk tenusu.
    • Mengekalkan pengudaraan. Cuba untuk berjalan sekitar lorong kabin apabila keadaan mengizinkan. Elakkan daripada menyilangkan kaki atau memakai pakaian ketat yang boleh menghalang aliran darah. 
    • Tali pinggang. Tali pinggang yang dipakai haruslah dipasangkan di bawah bahagian perut dan menyentuh paha anda. Jangan memakainya di atas atau sekeliling perut.
    • Kekal terhidrat. Tidak minum atau mengekalkan jumlah air yang secukupnya dalam badan boleh menyebabkan anda penat, mual, sakit kepala dan sebagainya. Jadi pastikan anda minum sekitar 200 mililiter (ml) air bagi setiap jam untuk kekal hidrat. 

    ketahui-tip-terbang-bersama-si-kecil

    Penerbangan antarabangsa

    Menaiki kapal terbang untuk penerbangan antarabangsa boleh menjadi sesuatu yang sangat berisiko buat wanita mengandung. Anda pastinya mahu mengelakkan sebarang masalah berkaitan yang mungkin timbul apabila melahirkan anak di negara asing serta komplikasi berkaitan isu kerakyatan.

    Jadi sekiranya boleh, hindari untuk melakukan sebarang penerbangan ke luar negara ketika hamil. Tetapi sekiranya terpaksa, dapatkan rundingan dan nasihat daripada doktor, okay?

    Langkah berjaga-jaga

    Tidak salah jika seseorang wanita hamil itu ingin menaiki kapal terbang sewaktu mengandung. Cuma perkara paling utama adalah untuk memastikan keadaan kesihatan diri berada pada tahap yang terbaik.

    Jangan mengabaikan kesihatan diri semata-mata ingin melancong, okay bakal mommies?

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan