Lebih Berat Bayi Semasa Lahir, Lebih Sihat: Betul Ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Pernah tak anda terfikir kenapa doktor seperti obses dengan berat bayi di dalam kandungan ketika anda sedang hamil? Setiap kali ujian ultrasound dijalankan, pasti doktor akan memberitahu anda akan anggaran berat bayi anda.

Nilai berat tersebut bukan sengaja direkodkan. Ia mempunyai matlamat dan anggaran risiko masalah kesihatan jika bayi dilahirkan pada berat di bawah nilai normal. Kajian menunjukkan bahawa semakin tinggi berat kelahiran (dalam lingkungan nilai normal), semakin sihat bayi anda.

Betul ke? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Perihal berat bayi dan masalah kesihatan

berat bayi

Berat lahir adalah maklumat penting yang sering diberitahu kepada ibu seusai melahirkan anak terutamanya jika mengalami komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi (kencing manis ketika hamil) dan preeklampsia.

Populasi umum menganggap semakin berat bayi yang baru lahir, semakin sihatlah bayi tersebut. Walaupun nilai berat lahir tinggi boleh juga dikaitkan dengan masalah diabetes, namun bayi yang lahir pada berat di bawah paras normal turut mempunyai risiko kematian dan morbiditi yang lebih tinggi.

Pelbagai jenis kajian telah menunjukkan kaitan di antara berat lahir dengan masalah kesihatan yang bakal dihadapi oleh mereka kelak ketika dewasa.

Kajian oleh Hospital Umum Southampton dan Institut Kesihatan Awam Nasional di Finland telah menunjukkan bahawa, mereka yang lahir dengan berat kurang daripada paras normal berisiko untuk mendapat masalah kegagalan jantung dan strok.

Penyakit tersebut mempunyai faktor risiko yang pelbagai namun perlu juga diingatkan jika berat badan mereka naik secara mendadak, ia juga boleh menyebabkan risiko kesihatan.

Oleh sebab itulah penting bagi ibu bapa untuk membawa anak mereka berjumpa dengan doktor bagi mengawasi parameter tumbesaran mereka. Pemberian nutrisi dan sasaran kenaikan berat badan perlu realistik bagi mengelakkan komplikasi kesihatan.

Kenapa diabetes sebabkan berat lahir tinggi melebihi paras normal?

bayi

Teori di sebalik kenaikan berat badan semasa lahir bagi bayi kepada ibu yang mengalami diabetes gestasi pernah diterangkan oleh Jorgen Pederson. Beliau merupakan seorang ahli epidemiologi yang giat mengkaji berkenaan dengan masalah diabetes ketika hamil.

Ketika hamil, rembesan pelbagai jenis hormon seperti estrogen, progesteron, kortisol dan human placental lactogen menyebabkan kandungan gula di dalam darah ibu meningkat. Ketika waktu tersebut, tahap kerintangan insulin juga turut meningkat menyebabkan ibu didiagnosis dengan diabetes gestasi.  

Menurut Pedersen, oleh sebab gula boleh merentasi uri, bayi di dalam kandungan juga mempunyai jumlah gula dalam darah yang tinggi. Suntikan insulin yang diambil oleh ibu tidak boleh merentasi uri maka bayi tersebut harus menghasilkan insulinnya sendiri.

Organ pankreas bayi mula menghasilkan insulin pada paras yang tinggi menyebabkan pengumpulan lemak dan protein pada badan bayi. Untuk makluman pembaca, gula boleh disimpan di dalam sel lemak dengan bantuan hormon insulin.

Oleh sebab itulah berat bayi kepada ibu diabetes kebiasaannya tinggi sewaktu lahir. Perubahan fisiologi ini, walaupun membantu, boleh menyebabkan komplikasi hipoglisemia jika insulin masih lagi tinggi dan bayi sudah terputus bekalan dengan salur darah ibu melalui uri.

Berat lahir rendah tingkatkan kadar kematian bayi

berat bayi

Bayi yang dilahirkan dengan berat yang rendah berisiko untuk mengalami pelbagai jenis komplikasi kesihatan seperti masalah pernafasan, neurologikan dan kenaikan risiko untuk mengalami sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

Rata-rata mereka yang mengalami kelahiran bayi dengan berat rendah adalah kembar, kelahiran pramatang dan bayi kepada ibu yang mengalami preeklampsia.

Oleh sebab individu yang mempunyai berat lahir rendah terdedah untuk mendapat komplikasi pelbagai sistem badan dan jangkitan kuman, mereka akan dijaga di hospital lebih lama berbanding dengan bayi lain.

Masalah kesihatan yang kebiasaannya menyebabkan berat lahir rendah berkait dengan kelemahan pada sistem penghantaran nutrisi kepada janin yang sedang membesar. Kehamilan kembar sebagai contoh, nutrisi yang diambil oleh ibu akan dikongsi di antara 3 individu.

Tanpa pemantauan nutrisi yang rapi, masalah berat bayi rendah memang tidak dapat dielakkan. Bagaimana pula dengan preeklampsia? Proses patofisiologinya bagi mereka yang mengalami komplikasi kehamilan ini agak kompleks.

Namun, ia boleh menyebabkan aliran darah kepada janin yang sedang membesar berkurangan. Ini akan menyebabkan satu keadaan yang dikenali sebagai intrauterine growth restriction atau sekatan tumbesaran di dalam rahim.

Ia menyebabkan individu yang lahir mempunyai berat bayi rendah.

Semakin tinggi berat bayi semasa lahir, semakin baik kesihatan jantung mereka kelak

ujian kecergasan

Kajian yang telah diterbitkan oleh Viktor et al di laman jurnal Persatuan Jantung Amerika pada 31 Januari 2020 menunjukkan bahawa tahap kesihatan jantung individu dewasa boleh dipengaruhi oleh berat lahir mereka. 

Kajian ini melibatkan 286,761 subjek yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun. Mereka diarahkan untuk mengayuh basikal yang dilengkapi dengan alat ergometer. Jumlah watt yang terhasil akan direkod dan dibandingkan dengan subjek lain.

Data tersebut turut dibandingkan dengan maklumat berat lahir subjek dari Rekod Kelahiran Perubatan Sweden. Dapatan kajian menunjukkan bahawa semakin meningkat berat lahir subjek, semakin tinggi jumlah watt yang dihasilkan.

Peningkatan berat lahir tersebut tidak melebihi paras normal seperti dapatan klinikal pada bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami diabetes gestasi.

Viktor berpendapat bahawa peningkatan ini merupakan tanda kepada tahap kesihatan jantung yang dialami oleh subjek. Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai kesihatan jantung yang baik berisiko rendah untuk mendapat masalah kardiovaskular.

Walau bagaimanapun, kajian lanjut perlu dijalankan memandangkan tiada bayi pramatang dalam kalangan subjek.

Konklusi

Berat bayi adalah antara faktor penting yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu kelak. Kajian ini menunjukkan kepentingan dalam mendapatkan berat lahir tinggi (dalam lingkungan normal) untuk memastikan risiko terhadap penyakit kardiovaskular rendah kelak.

Jika berat bayi anda berada dalam lingkungan tidak memuaskan, tidak bermakna mereka akan mengalami masalah jantung atau strok. Namun, pantauan perlu dilakukan sebaiknya bagi memastikan mereka membesar dengan sihat.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan. 

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 8, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 22, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut