Vitamin C merupakan nutrien yang penting untuk dimakan secara teratur bagi mencegah kekurangannya. Walaupun isu atau masalah kekurangan vitamin C jarang berlaku terutamanya di negara-negara maju, tetapi ia tidak mustahil untuk terjadi. Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui tanda-tanda kekurangan vitamin C.
Antara faktor yang menyebabkan seseorang individu itu berisiko mengalami keadaan ini adalah kerana mengamalkan pengambilan diet pemakanan yang tidak baik, pengambilan alkohol berlebihan, alami anoreksia, menghadapi masalah penyakit mental yang teruk, merokok
Kekurangan vitamin C ini boleh membawa kepada beberapa masalah kesihatan seperti anemia, keletihan, kelesuan, pendarahan secara tiba-tiba, sakit pada anggota badan terutama pada bahagian kaki, bengkak di beberapa bahagian badan, risiko kehilangan gigi serta ulser gusi.
Tanda-tanda kekurangan vitamin C
- Luka lambat sembuh
Apabila mengalami luka, tahap vitamin C dalam darah dan tisu akan menurun. Badan anda memerlukannya untuk menghasilkan kolagen – protein yang memainkan peranan dalam setiap tahap memperbaiki kulit. Vitamin C membantu neutrofil – sejenis sel darah putih yang melawan jangkitan, untuk berfungsi dengan baik. Malah, luka yang lama juga berisiko untuk terbuka kembali yang menyebabkan potensi jangkitan.
- Pendarahan, lebam
Berisiko mengalami pendarahan gusi, hidung dan lebam, kerana vitamin C membantu menjaga saluran darah anda untuk kekal sihat dan membantu proses pembekuan darah. Kolagen juga penting untuk menjaga gusi dan gigi agar sentiasa sihat. Dalam satu kajian terhadap i individu yang berpenyakit gusi dan mengamalkan memakan limau gedang (grapefruit) selama 2 minggu mendapati gusi mereka tidak berdarah terlalu banyak.
Individu yang mudah lebam merupakan tanda biasa kekurangan vitamin C kerana pengeluaran kolagen yang lemah menyebabkan saluran darah menjadi lemah. Ia boleh meliputi bahagian besar pada badan atau muncul sebagai titik-titik kecil berwarna ungu di bawah kulit.
- Pertambahan berat
Kajian awal mendapati terdapat hubung kait antara kerendahan tahap vitamin c dan jumlah lemak badan yang tinggi, terutama pada bahagian lemak perut. Vitamin ini berfungsi untuk membakar lemak sebagai tenaga.
- Kulit berkedut, kering
Individu yang mengamalkan pemakanan sihat yang kaya kandungan vitamin C cenderung untuk memiliki kulit yang lembut dan licin. Ini berkemungkinan kerana vitamin bersifat antioksidan, ia membantu melindungi kulit dari radikal bebas – yang merosakkan minyak, protein dan DNA.
- Keletihan, gangguan emosi
Dalam satu kajian kecil yang dilakukan, 6 dari 7 individu lelaki yang mempunyai tahap vitamin C yang rendah mengakui bahawa mereka mudah berasa letih dan cepat marah. Ia menunjukkan kaitan, walaupun mungkin terdapat faktor penyebab lain yang membuatkan wujudnya rasa letih itu.
- Imun lemah
Vitamin C mempunyai peranan dalam hal berkaitan dengan sistem imun, jadi kekurangannya boleh menyebabkan anda cenderung untuk sakit. Terdapat bukti yang mengatakan vitamin C dapat melindungi diri dari penyakit seperti radang paru-paru dan pundi kencing. Malahan, ia mungkin dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan beberapa jenis kanser.
- Masalah penglihatan
Antara tanda-tanda kekurangan vitamin C adalah masalah penglihatan. Jika anda mengalami masalah degenerasi makular berdasarkan usia (AMD), ia mungkin berisiko menjadi lebih kronik tanpa vitamin dan antioksidan lain serta mineral tertentu.
- Scurvy
Sebelum tahun 1700-an, ia merupakan 1 penyakit berpotensi membawa maut yang merupakan masalah utama bagi pelayar. Walaupun ia jarang berlaku pada masa kini, tetapi jika anda mendapat hanya 10mg/hari vitamin C atau kurang, anda berdepan dengan risiko ini. Individu yang mengalami scurvy berdepan masalah gigi longgar, kuku retak, sakit sendi, tulang rapuh dan bulu badan yang berpintal.
- Kulit kasar
Vitamin C memainkan peranan dalam pengeluaran kolagen – protein yang terdapat dengan banyak dalam tisu penghubung seperti kulit, rambut, sendi, tulang dan saluran darah. Kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan risiko wujudnya keadaan kulit yang dikenali sebagai keratosis pilaris.
- Anemia
Kekurangan zat besi dan vitamin C biasanya berlaku serentak. Simptom kekurangan zat besi adalah seperti pucat, kelesuan, kesukaran bernafas ketika bersenam, kulit dan rambut kering serta sakit kepala. Kekurangan vitamin C mungkin menyumbang kepada masalah anemia kekurangan zat besi dengan mengurangkan penyerapan zat besi daripada makanan berasaskan tumbuhan dan menjejaskan metabolisme zat besi. Kekurangan vitamin ini juga berisiko menjadi penyebab kepada pendarahan berlebihan yang turut menyumbang kepada masalah anemia.
Konklusinya, kita perlu mengetahui tanda-tanda kekurangan vitamin C bagi memastikan diri kita sentiasa cukup dengan nutrien dan khasiatnya.
[embed-health-tool-bmr]