Penyakit diabetes adalah keadaan di mana paras gula dalam darah anda cukup tinggi untuk menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Diabetes jenis 2 adalah satu penyakit diabetes yang paling biasa di mana badan anda tidak boleh menggunakan insulin dengan betul untuk menurunkan tahap gula dalam darah anda. Apa lagi yang harus anda ketahui tentang penyakit diabetes ini? Baca perkongsian ini.
Apa itu penyakit diabetes?
Penyakit diabetes atau panggilan yang sering digunakan dalam masyarakat secara umumnya, kencing manis ini merupakan satu keadaan di mana sekumpulan penyakit metabolisma yang dicirikan dengan kandungan gula dalam darah yang tinggi dalam jangka masa yang panjang (kronik). Dengan masa, peningkatan paras gula dalam darah yang kronik ini boleh membawa kepada beberapa komplikasi seperti tekanan darah tinggi (hipertensi), gangguan saraf, katarak dan juga kegagalan buah pinggang.
Turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) dalam kalangan warga perubatan, penyakit diabetes ini juga cenderung untuk mengakibatkan komplikasi yang boleh membawa maut seperti serangan jantung dan pendarahan dalam otak.
Penyakit diabetes ini boleh dibahagikan kepada tiga subkategori utama, iaitu:
- Diabetes Mellitus jenis 1 (Type 1 Diabetes Mellitus, T1DM)
- Diabetes Mellitus jenis 2 (Type 2 Diabetes Mellitus,T2DM)
- Diabetes Mellitus ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus, GDM)
Apakah perbezaan ketiga-tiga penyakit diabetes ini?
Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut mengenai T2DM atau penyakit diabetes jenis 2, apa kata kita mengetahui secara ringkas perbezaan ketiga-tiga jenis kategori diabetes ini.
#Diabetes Mellitus Jenis 1
Diabetes jenis ini juga turut disebut dengan beberapa nama berbeza seperti Diabetes Mellitus yang bergantung kepada hormon insulin (IDDM) dan juga Diabetes Mellitus juvana (Juvenille Diabetes Mellitus). Apa yang pasti, ia merupakan diabetes yang paling kerap berlaku dalam kalangan individu kanak-kanak dan juga remaja.
Ia adalah sejenis penyakit kronik yang berkait rapat dengan pelbagai komplikasi seperti retinopati, nefropati, neuropati dan juga morbiditi berkaitan dengan sistem kardiovaskular. Menurut kajian-kajian yang telah dilakukan, kawalan gula dalam darah yang baik dan awal adalah penting dalam mengurangkan kekerapan berlakunya komplikasi berkaitan dengan kencing manis yang kronik.
- Biasanya didiagnosis dalam zaman kanak-kanak
- Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
- Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi
- Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
- Tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin
#Diabetes Mellitus jenis 2
T2DM adalah jenis penyakit diabetes yang kerap berlaku dalam kalangan individu dewasa. Ia merupakan penyakit kronik yang cukup lazim dan semakin meningkat insidennya di seluruh dunia. Berbeza dengan Diabetes Mellitus jenis 1, T2DM banyak dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan juga peranan kecenderungan genetik seseorang itu.
Lazimnya, penyakit diabetes jenis 2 ini dizahirkan melalui keadaan paras gula dalam darah yang tinggi (hyperglycaemic state) yang kronik bersertakan gangguan metabolik yang lain. Diabetes jenis ini cenderung membawa risiko masalah kesihatan kronik yang lain, seperti kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, obesiti dan juga komplikasi-komplikasi yang boleh membawa kepada kesan morbiditi dan juga kematian.
- Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
- Biasanya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
- Biasanya dikaitkan dengan tekanan darah dan/ atau tahap kolesterol yang tinggi
- Rawatan awal adalah tanpa perubatan atau pil sebagai ubat kencing manis
- Berkemungkinan dirawat tanpa perubatan diabetes
#Diabetes Gestasi
Diabetis gestasi atau gestational diabetes mellitus (GDM) adalah merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan. Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran.
Namun, itu tidak bermakna, sekiranya anda hamil dan dimaklumkan bahawa anda menghidapi GDM, anda boleh memandang remeh keadaan kesihatan ini. Ini kerana penyakit ini mempunyai implikasi kesihatan yang penting untuk ibu dan anak dalam kandungan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Sekiranya anda menghidap penyakit diabetes, anda perlu mengendalikan gula darah dan memastikannya sentiasa dalam paras normal untuk melindungi kesihatan anda dan bayi anda.
Diabetes ini boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal. Wanita hamil mempunyai lebih banyak risiko preeklampsia, jangkitan, pendarahan selepas bersalin, dan keguguran. Merawat diabetes gestasi sangat diperlukan untuk memastikan janin sihat dan mengelakkan komplikasi semasa kelahiran.
Dengan penerangan ringkas di atas, diharapkan anda sudah dapat memahami perbezaan bagi ketiga-tiga penyakit diabetes ini. Mari kita berikan tumpuan mengenai penyakit diabetes jenis 2.
Apakah punca penyakit diabetes mellitus jenis 2 ini?
Diabetes jenis 2 ini kebiasaannya disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.
Faktor risiko diabetes mellitus jenis 2
- Usia
Jika dahulu, penyakit diabetes jenis 2 ini sering kali dialami oleh individu dewasa lebih berusia antara 45 tahun dan ke atas yang disebabkan oleh peningkatan berat badan dan kurang aktiviti kerana anda semakin tua, atau fungsi badan yang lebih perlahan dan lemah. Namun, disebabkan amalan gaya hidup dan pemakanan pada masa kini, individu dewasa yang berusia 30 tahun dan ke atas juga mempunyai risiko untuk mengembangkan penyakit ini.
- Sejarah keluarga dan sejarah ketika hamil
Sekiranya anda mempunyai ibu bapa, atau adik-beradik lelaki mahupun perempuan yang menghidap diabetes, anda juga mempunyai kecenderungan dan risiko untuk mempunyai penyakit diabetes ini.
Jika anda pernah mengalami diabetes gestasi ketika tempoh kehamilan, risiko anda untuk mendapat penyakit diabetes jenis 2 adalah lebih tinggi, walaupun diabetes yang dialami sepanjang tempoh kehamilan telah hilang setelah anda melahirkan anak. Malahan, anak anda juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini pada kemudian harinya.
- Etnik
Individu yang mempunyai latar belakang keluarga atau keturunan warga Afrika Amerika, Hispanik / Latino, Amerika India, Asia Amerika atau Kepulauan Pasifik, adalah mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami diabetes.
- Kurang aktif
Mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif dan tidak sihat dengan kurang bersenam atau tidak langsung melakukan aktiviti fizikal meletakkan anda sebagai antara individu yang berisiko tinggi untuk mempunyai penyakit diabetes jenis 2.
Melakukan aktiviti fizikal adalah penting dalam membantu anda untuk mengawal tahap gula dalam darah dan menggalakkan sel anda untuk menggunakan insulin. Aktiviti bersenam juga memainkan peranan penting dalam membantu menjaga berat badan dan mempertingkatkan sistem pernafasan anda.
- Faktor risiko lain
Selain faktor-faktor risiko utama yang disebutkan di atas, anda cenderung untuk menghidap diabetes jenis 2 jika:
- Tahap gula darah anda lebih tinggi daripada biasa
- Tekanan darah anda lebih tinggi daripada 140/90 mmHg
- Anda berlebihan berat badan: indeks jisim badan anda (BMI) lebih tinggi dari 30
- Tahap kolesterol anda tidak normal.
- Anda mempunyai masalah saluran darah yang boleh menjejaskan otak dan jantung anda.
Sekiranya menghidap diabetes jenis 2, tubuh anda mengalami keadaan yang dipanggil rintangan terhadap insulin (insulin resistance). Terdapat banyak faktor risiko yang boleh membawa kepada penyakit ini.
Simptom penyakit diabetes 2
Berikut adalah beberapa simptom diabetes umum yang boleh berlaku, antaranya seperti:
- Paras gula dalam darah tinggi
Cara terbaik untuk mengetahui tahap gula dalam darah adalah dengan menjalani pemeriksaan. Paras gula dalam darah yang meningkat selepas makan adalah sesuatu yang normal. Tetapi sekiranya tahap gula dalam darah yang tinggi ini tidak menurun dan berterusan sepanjangan hari, ia adalah sesuatu yang tidak normal.
- Kehilangan berat badan
Antara simptom yang mungkin berlaku adalah berat badan yang semakin berkurangan. Tahap gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan kehilangan berat badan dalam jangka masa yang singkat, antara 2 hingga 3 kilogram dalam masa 2 atau 3 bulan. Jika anda sememangnya sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan, mungkin anda akan berasa gembira. Tetapi hakikatnya kehilangan berat badan ini bukanlah sesuatu yang menyihatkan.
Keadaan ini boleh berlaku apabila hormon insulin tidak berfungsi untuk membekalkan glukosa ke dalam sel-sel di mana ia boleh digunakan sebagai tenaga, badan akan menganggap ia sebagai satu signal kelaparan dan mengurai lemak pada otot sebagai sumber tenaga alternatif.
- Sentiasa lapar
Seorang individu yang menghidapi penyakit kencing manis tidak mempunyai insulin atau tidak bertindak balas terhadap insulin seperti kebiasaan, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa, lalu ia boleh menyebabkan tahap gula dalam darah merosot.
Apabila keadaan ini berlaku, di mana tahap gula dalam darah menurun secara tiba-tiba, badan akan menganggap bahawa anda kelaparan dan memerlukan lebih glukosa untuk berfungsi. Isyarat ini akan diterjemahkan sebagai satu tanda lapar oleh badan. Rasa lapar yang berterusan adalah antara simptom kencing manis yang boleh diperhatikan.
- Kerap dahaga dan kencing
Antara simptom diabetes yang boleh berlaku adalah anda akan kerap berasa dahaga walaupun setelah mengambil minuman yang mencukupi. Anda juga akan kerap untuk ke bilik air pada waktu malam.
Keadaan ini berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, sekali gus memaksa buah pinggang anda bekerja dengan lebih keras untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut. Ini akan membuatkan anda menjadi kerap membuang air kecil, adakalanya ia akan berlaku beberapa kali pada waktu malam. Kekerapan untuk kencing ini akan mengakibatkan anda untuk menjadi lebih dahaga.
- Keletihan, gangguan emosi
Ketika badan anda sedang mencuba untuk mengimbangi kekurangan glukosa, ia akan memberikan impak kepada anda, di mana keadaan ini akan menjadikan anda keletihan. Anda perlu bangun untuk membuang air kecil beberapa kali pada waktu malam, secara tidak langsung akan menyebabkan gangguan pada tidur anda dan keletihan pastinya akan mendatangkan gangguan kepada emosi, boleh menjadikan anda lebih cepat marah.
- Luka lambat sembuh
Ini adalah simptom yang paling sering berlaku. Keadaan ini boleh terjadi disebabkan saluran darah yang rosak kerana glukosa yang berlebihan bergerak di dalam urat dan arteri. Ia mendatangkan kesukaran kepada darah yang diperlukan untuk membantu proses penyembuhan sampai kepada anggota-anggota badan yang diperlukan.
- Penglihatan kabur
Apabila tahap glukosa dalam darah adalah tinggi, ia mengubah bentuk kanta dan mata. Keadaan ini akan menyebabkan penglihatan anda menjadi kabur. Walau bagaimanapun keadaan ini boleh menjadi normal atau hampir normal apabila tahap gula dalam darah kepada kepada asal. Tahap gula darah yang tinggi, jika dibiarkan untuk tempoh yang panjang, cenderung untuk menyebabkan kerosakan kekal dan berisiko untuk menyebabkan buta.
- Jangkitan
Simptom ini lebih berlaku kepada individu wanita. Anda perlu lebih berhati-hati kepada risiko jangkitan yis pada faraj. Diabetes secara umumnya akan melemahkan imunisasi badan, ini bermakna anda akan mudah untuk mendapat pelbagai jangkitan lain.
Sekiranya anda mempunyai simptom yang dinyatakan, adalah amat disarankan untuk anda mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan doktor bagi mendapatkan kepastian mengenai tahap kesihatan anda.
Bagaimana diagnosis dilakukan?
Diagnosis untuk diabetes jenis 2 memerlukan hubung kait antara simptom dan juga keputusan ujian. Namun begitu, kebanyakan penghidap penyakit ini tidak mempunyai sebarang simptom (asymptomatic) ataupun hanya mengalami simptom yang tidak khusus atau jelas.
Untuk itu, melakukan pemeriksaan seperti ujian darah dan makmal adalah amat penting untuk mendapatkan diagnosis. Individu yang mengalami penyakit diabetes ini juga sering kali berdepan simptom seperti akan kerap ke tandas untuk kencing, kerap berasa dahaga walaupun sudah minum, jangkitan berulang dan kerap mengalami jangkitan kulit, mengalami penurunan berat berat tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Seperti yang dinyatakan, kebanyakan individu yang mendapat penyakit diabetes ini adalah dalam kalangan individu dewasa lebih berusia, maka antara gejala yang dapat diperhatikan adalah masalah kabur penglihatan dan mereka juga kerap mempunyai tanda hitam pada sesetengah bahagian kulit mereka yang berkait rapat dengan kerintangan insulin. Tanda hitam pada kulit ini disebut sebagai Acanthosis nigricans.
Komplikasi diabetes jenis 2 boleh dibahagikan kepada akut dan kronik.
Contoh komplikasi akut adalah:
- Paras gula dalam darah menjadi terlalu rendah (hypoglycaemia)
- Paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi (Hyperglycaemic Hyperosmolar State)
- Jangkitan bakteria
Contoh komplikasi kronik adalah:
- Makrovaskular seperti komplikasi kardiovaskular, serebrovaskular dan juga penyakit-penyakit vaskular periferi (PVD)
- Mikrovaskular seperti retinopati, nefropati dan juga gangguan neuropati
Amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat
- Pastikan waktu makan anda adalah secara teratur dan tetap. Sebaiknya elakkan daripada melangkau waktu makan dan hindari mengambil makanan secara berlebihan.
- Cuba untuk mengawal dan menjaga jumlah serta kuantiti makanan yang akan dimakan supaya ia menepati saranan dan keperluan diet pemakanan harian anda.
- Jika boleh, cuba untuk mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi garam, lemak dan kolesterol.
- Perbanyakan untuk mengambil makanan yang tinggi kandungan serat seperti sayuran hijau, produk gandum penuh dalam setiap hidangan makanan anda. Untuk menghindari keinginan mengambil makanan yang tidak sihat, cuba untuk pelbagaikan pilihan makanan anda dari pilihan makanan yang sihat. Sentiasa amalkan pemakanan seimbang.
- Dalam kaedah penyediaan makanan, cuba amalkan cara memasak yang sihat seperti mengukus, membakar atau memanggang, menumis dan anda juga boleh memilih untuk menggunakan kaedah masakan menggunakan microwave.
- Pastikan anda mengambil ubat kencing manis dan insulin pada waktu yang ditetapkan.
- Bersenam atau sentiasa melakukan aktiviti fizikal merupakan kaedah yang baik untuk mengawal tahap kesihatan. Cuba untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk 3 kali seminggu atau 15 minit untuk 5 kali seminggu.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Idea Hidangan Ringkas Untuk Pesakit Diabetes
- Mengendalikan Tekanan dan Diabetes
- Kekal Bermotivasi Walaupun Menghidap Diabetes
[embed-health-tool-bmi]