5 Saat Saja, Hembus Dan Masuk Mulut: Benarkah Makanan Jatuh Boleh Dimakan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Peraturan 5 saat (5 seconds rule). Itulah alasan yang kerap digunakan oleh kebanyakan individu untuk menjustifikasikan tindakan mengutip makanan jatuh ke lantai.

Mungkin bagi sesetengah individu ia merupakan tindakan yang kotor namun bagi sebahagian lagi, ia dilihat sebagai satu perbuatan yang bertepatan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim:

“Dahulu apabila Rasulullah SAW selesai makan, baginda menjilat tiga jarinya seraya bersabda: “Apabila suapan salah seorang daripada kalian terjatuh, hendaklah ia membersihkannya dan memakannya. Jangan biarkan makanan itu dimakan syaitan! Juga, hendaklah kalian membersihkan sisa makanan yang berada di pinggan. Sebab, kamu tidak tahu pada bahagian mana daripada makanan kamu yang mengandungi keberkatan.” 

Konflik pendapat di antara ahli akademik berkenaan dengan perkara ini juga pernah berlaku. Malah Jillian Clarke pernah menerima Hadiah Nobel Ig di Universiti Harvard pada tahun 2004 berikutan kajiannya berkaitan dengan topik ini.

Jadi, persoalannya di sini, adakah boleh kita mengambil makanan yang jatuh ke atas lantai? Adakah peraturan 5 saat itu satu fakta atau mitos? Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kajian yang melarang pengambilan makanan jatuh

peraturan 5 saat

Peraturan 5 saat atau 10 saat sememangnya mitos. Namun, sama ada anda boleh mengambil makanan yang terjatuh ke atas lantai, itu merupakan isu yang agak kompleks. Oleh sebab itulah, ramai individu yang masih percaya bahawa peraturan 5 saat itu boleh diikuti.

Kajian yang dijalankan oleh Donald Schaffner, Profesor Sains Makanan di Universiti Rutgers telah menunjukkan bahawa bakteria memerlukan masa kurang daripada 1 saat untuk beralih kepada makanan yang jatuh.

Pelbagai faktor mempengaruhi proses peralihan tersebut seperti tahap kelembapan persekitaran, jenis permukaan dan berapa lama makanan tersebut telah jatuh. Peraturan 5 saat yang dikemukakan tidak mengambil kira faktor-faktor tersebut. 

Ini bermakna, konsep tersebut mengabaikan faktor yang boleh mempengaruhi risiko anda untuk mendapat jangkitan. Ada juga bakteria yang boleh mencemari makanan secara serta-merta

Namun, konsep yang tular dalam kalangan masyarakat adalah bakteria memerlukan masa 5 saat untuk beralih kepada makanan yang jatuh. Ia merupakan konsep yang salah.

Kajian Donald menggunakan Enterobacter aerogenes yang menyerupai bakteria Salmonella. Durasi sentuhan diuji pada 1 saat, 5 saat, 30 saat dan 300 saat.

Hasilnya? Makanan yang mempunyai kadar lembapan yang tinggi seperti tembikai mempunyai kadar pencemaran yang tinggi berbanding dengan makanan lain yang diuji. Begitu juga dengan makanan yang mempunyai durasi sentuhan yang lama. 

Kedua-dua faktor yang diuji tersebut menunjukkan bahawa walaupun bakteria memerlukan masa untuk beralih kepada permukaan makanan, namun, makanan yang terjatuh pada durasi 1 saat tetap mempunyai risiko untuk tercemar dengan mikroorganisma yang hadir pada permukaan.

Makanan jatuh masih selamat diambil?

makanan jatuh

Bukan semua pengkaji bersetuju bahawa makanan yang jatuh tidak selamat diambil. Aaron E Caroll, Profesor Pediatrik dari Universiti Indiana telah menegaskan bahawa perkara penting yang perlu menjadi fokus utama adalah jumlah bakteria pada permukaan selain lantai.

Menurut beliau, permukaan seperti pemegang peti sejuk, sinki dapur dan kabinet di dapur jauh lebih kotor daripada permukaan lantai. Sentuhan pada permukaan tersebut sebelum atau semasa proses penyediaan makanan boleh menyebabkan makanan tersebut tercemar dengan bakteria.

Ada juga situasi di mana daging atau ayam jatuh ke atas kabinet dapur. Namun, makanan tersebut tidak dibuang, malah diambil untuk dimakan. Setakat ini tiada konsensus yang mengatakan makanan yang jatuh tidak boleh dimakan. 

Namun, pakar menasihatkan agar makanan yang jatuh dibasuh terlebih dahulu jika hendak dimakan. Jika tidak, lebih baik untuk mengabaikan makanan tersebut.

Jangan pandang rendah terhadap sistem pertahanan badan manusia

makanan jatuh

Ketika Jillian Clarke sedang menjalankan kajian di Universiti Illinois, beliau mengambil sampel lantai dari makmal universiti, dewan, bilik tidur dan kafeteria bagi melihat jenis mikroorganisma yang wujud pada permukaan tersebut. 

Dapatannya agak mengejutkan kerana jumlahnya sangat kecil. Meredith Agle, pelajar Ph.D yang menerajui kajian tersebut mengarahkan Clarke untuk mengulanginya. Dapatannya sama namun jika dilihat pada sudut mikrobiologi, ia mempunyai penjelasan yang relevan.

Bakteria berbahaya seperti Salmonella, Listeria dan E.coli memerlukan kadar lembapan yang tinggi untuk terus hidup. Kebanyakan permukaan lantai (walaupun tidak bersih) kering maka ia bukan habitat yang ideal untuk mikroorganisma sebegitu.

Walau bagaimanapun, manusia mempunyai sistem pertahanan badan yang kuat. Kajian yang pernah dijalankan oleh Charles Gerba di Universiti Arizona pada tahun 1998 menunjukkan bahawa jumlah koloni bakteria pada kabinet dapur jauh lebih tinggi berbanding lantai dapur.

Namun, walaupun seseorang itu tidak membasuh tangan selepas memegang kabinet dapur dan makan, mereka tidak akan sakit. Sistem pertahanan badan anda jauh lebih efektif daripada apa yang anda sangkakan.

Salah faham berkenaan dengan faktor kebersihan dari sudut mikrobiologi ini turut berlaku pada perkakasan lain seperti tandas duduk.

Walaupun ramai beranggapan bahawa kerusi tandas itu kotor, namun ia hanya mempunyai 0.68 koloni bakteria seinci persegi berbanding dengan pemegang flush yang mempunyai 34.65 koloni bakteria seinci persegi.

Jika, makanan jatuh ke atas lantai, tidak bermakna ia tidak boleh dimakan. Namun, konsep peraturan 5 atau 10 saat itu sememangnya salah. Jika bakteria ingin beralih kepada makanan, ia hanya memerlukan 1 saat atau kurang. 

Konklusi

Peraturan 5 saat yang memberi gambaran bahawa bakteria hanya akan mencemari makanan selepas 5 saat itu hanyalah mitos. Namun, sama ada makanan boleh diambil atau tidak selepas jatuh, ia merupakan persoalan yang kompleks.

Ada individu yang masih mengambil makanan tersebut dan ada yang membuangnya sejurus selepas makanan itu jatuh. Tiada kajian spesifik yang mengatakan anda perlu buang atau makanan tersebut masih boleh dimakan. 

Apa yang anda perlu faham adalah, jika dilihat pada konteks jangkitan bakteria, terdapat banyak permukaan lain yang jauh lebih kotor daripada lantai. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 2, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 11, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut