Sakit Tekak Ketika Menelan? Cuba 16 Cara Hilangkan Sakit Tekak Yang Paling BERKESAN Ini!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Cuba bayangkan, sejurus bangun dari tidur, tekak terasa perit dan sakit. Nak telan air liur pun sakit sangat! Apa cara hilangkan sakit tekak ini? Sebelum berbincang tentang cara untuk menghilangkan sakit tekak, jom selami apakah punca sakit tekak ketika menelan ini dahulu. 

Ada pelbagai sebab atau faktor yang menyebabkan kesakitan pada tekak. Anda akan rasa sakit sama ada di dalam mulut, tekak, di sepanjang laluan esofagus (tiub yang terus bersambung ke perut) atau mungkin juga di bahagian tengah dada. 

Kenapa Saya Sakit Tekak Semasa Menelan? Ini Antara 9 Sebabnya!

Berikut antara sebab yang boleh menyebabkan kesakitan tekak atau sakit tekak ketika menelan. 

#1 Selesema, flu atau jangkitan sinus

Sakit tekak semasa menelan sebenarnya satu tanda anda sedang mengalami selesema, flu atau jangkitan sinus. Ia boleh bermula dengan hidung berhingus atau batuk.

Punca sakit tekak ketika ketika menelan #2 Strep throat

Strep throat adalah satu keadaan jangkitan bakteria yang berlaku pada bahagian tekak. Antara tanda-tandanya adalah anda tidak mengalami selesema atau batuk, tapi masih sakit tekak semasa menelan!

Anda juga mungkin akan demam dan kelenjar limfa bengkak pada bahagian leher. Bagi kanak-kanak 3 tahun ke atas, mereka boleh demam, mual dan muntah selain sakit tekak. Kanak-kanak berumur kurang 2 tahun biasanya tidak mendapat strep.

Anda digalakkan untuk berjumpa doktor bagi menjalani ujian strep untuk melihat punca jangkitan. 

#3 Tonsilitis

Tonsilitis adalah jangkitan pada bahagian tonsil. Tonsil adalah penapis yang memerangkap kuman yang memasuki saluran pernafasan dan menyebabkan jangkitan. 

Tonsil menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan. Tapi, tonsil juga boleh diserang bakteria atau virus yang menyebabkan ia membengkak dan meradang. Inilah punca kenapa anda sakit tekak ketika menelan!

Punca sakit tekak semasa menelan #4 Diphtheria

Diphtheria adalah jangkitan bakteria serius yang boleh menjejaskan membran mukus pada tekak dan hidung. 

Bakteria akan menjangkiti hidung dan tekak dan mula merembeskan toksin. 

Toksin ini kemudiannya akan tersebar ke dalam saluran darah dan menyebabkan pembentukan selaput kelabu yang tebal pada tekak dan hidung. Walaupun diphtheria mudah berjangkit, ia boleh dielak melalui vaksin. 

#5 Croup

Croup adalah masalah pernafasan yang sering berlaku dan telah menyebabkan 7% daripada kanak-kanak dimasukkan ke hospital setiap tahun. 

Croup adalah manifestasi halangan saluran udara atas yang disebabkan oleh pembengkakkan laring (larynx), trakea, dan bronkitis. Ia kemudiannya menyebabkan pernafasan dan batuk yang kuat. 

#6 Virus herpes simplex

Tahukah anda – virus jenis 1 herpes simplex boleh menyebabkan sakit pada bahagian dalam mulut, dan mungkin juga pada bahagian bibir? Anda juga akan rasa sakit tekak semasa menelan. 

Berjumpalah dengan doktor sekiranya ini kali pertama anda mengalaminya atau jika anda mempunyai HIV. 

Punca sakit tekak ketika menelan #7 Esophageal candidiasis

Ini adalah sejenis jangkitan yis yang kerap berlaku di kalangan individu yang memiliki HIV. Anda juga berisiko untuk mengalami jangkitan ini sekiranya anda menghidap diabetes atau sakit esofagus, mengambil steroid atau antibiotik tertentu. 

Antara simptom jangkitan ini seperti hilang deria rasa, rasa berkapas dalam mulut, kulit kering, dan merekah pada hujung bibir.  

Punca sakit tekak bila menelan #8 Menelan makanan atau trauma mekanikal 

Terdapat beberapa jenis makanan yang berpotensi menyebabkan keradangan pada bahagian tekak, seterusnya menyebabkan sakit tekak bila menelan. 

Antaranya adalah makanan dalam cebisan yang besar, makanan agak keras dan makanan yang bergerigi seperti biskut dan kerepek.

#9 GERD

GERD adalah penyakit refluks gastroesophageal. Antara tanda-tanda penyakit ini: 

  • pedih ulu hati 
  • sakit pada bahagian dada dan tekak
  • rasa berasid dalam mulut, muntah
  • kesukaran menelan dan suara yang serak. 

Anda akan mengalami rasa sakit yang perit ketika menelan sekiranya asid refluks merosakkan laluan esofagus. Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mempunyai sakit pedih ulu hati dua kali atau lebih dalam masa seminggu.

Komplikasi Yang Boleh Berlaku Jika Anda Selalu Sakit Tekak Semasa Menelan 

Terdapat beberapa komplikasi yang mungkin berlaku jika anda sering sakit tekak semasa menelan. 

Antara komplikasinya:

  • Jangkitan pada bahagian dada
  • Jangkitan bakteria atau virus yang jadi semakin teruk
  • Kehilangan deria rasa (secara kekal atau sementara)
  • Pembengkakan pada bahagian kelenjar limfa di leher 
  • Sukar untuk memalingkan kepala dan memusingkan kepala ke belakang

8 Cara Hilangkan Sakit Tekak Yang Boleh Dicuba Oleh Anda

Rawatan yang diberi doktor bergantung kepada penyebab sakit tekak itu sendiri.

#1 Jangkitan bakteria: Habiskan antibiotik dari doktor!

Sekiranya anda mengalami sakit tekak kerana jangkitan bakteria seperti strep, doktor akan memberi antibiotik. Antibiotik itu perlu dihabiskan walaupun jika anda rasa sudah sembuh.

#2 Makan ubat 

Sakit tekak yang disebabkan jangkitan virus biasanya akan sembuh dalam masa 7 hari dan tak memerlukan rawatan perubatan. 

Acetaminophen atau pelega kesakitan ringan boleh membantu kesakitan dan demam yang dialami. Ahli farmasi juga boleh menasihatkan jenis ubat yang diperlukan anda dan berapa dosnya. 

Bagi kanak-kanak, bawa mereka ke bahagian kecemasan kerana ia mungkin boleh membawa maut jika lambat mendapatkan rawatan.

Cara hilangkan sakit tekak #3 Semburan hidung zink (zinc nasal spray)

Satu lagi cara untuk menghilangkan sakit tekak yang boleh dibuat anda adalah dengan menggunakan semburan hidung zink selain lozeng zink asetat yang boleh didapati di kaunter farmasi. 

Walau bagaimanapun, kanak-kanak tidak disarankan untuk menggunakan semburan hidung zink. 

#4 remedi di rumah

Anda juga boleh mencuba cara menghilangkan sakit tekak yang boleh dibuat di rumah ini:

  • Rehat secukupnya
  • Minum banyak air untuk memastikan kelembapan tekak dan mengelak dehidrasi
  • Makan makanan sejuk seperti aiskrim
  • Berkumur dengan air garam atau cuka epal.
  • Ambil lozeng atau gula-gula untuk memberikan kelegaan pada tekak yang sakit dan batuk yang dialami oleh kanak kanak 4 tahun ke atas. Jangan beri pada kanak-kanak yang berusia kurang 4 tahun kerana risiko tercekik
  • Elakkan diri anda dari terdedah pada bahan penyebab alahan, bahan kimia, dan asap rokok

#5 Minum minuman yang melegakan

Minum air yang bersuhu suam merupakan salah satu cara untuk menghilangkan sakit tekak yang paling berkesan. Antara minuman yang disarankan adalah teh halia, air lemon, atau air dengan campuran madu. 

Akan tetapi, madu tidak sesuai diberikan pada bayi atau kanak-kanak yang berumur kurang 1 tahun. Ini untuk mengelak risiko botulism, iaitu sejenis keracunan makanan. 

#6 Menghirup udara lembap

Langkah mudah lain adalah menghirup udara segar yang lembap. Sediakan pelembap udara atau humidifier dalam ruangan rumah. 

Humidifier berfungsi menukarkan air kepada wap air yang akan memberikan kelembapan pada udara sekitar, lalu melegakan sakit tekak yang anda alami.

8 Cara Lain Hilangkan Sakit Tekak Dari Menghantui Lagi, Hanya Dengan Langkah Pencegahan Ini!

Hari ini, kami akan kongsikan beberapa langkah pencegahan yang anda patut amalkan bagi mengurangkan risiko diri dari terkena sakit tekak lagi. Berikut langkah-langkahnya:

#1 Cuci tangan anda

Anda bukan saja perlu mencuci tangan setelah habis makan, tapi juga sejurus lepas anda keluar dari tandas. Jangan lupa untuk kerap cuci tangan jika anda bersin dan batuk, juga!

#2 Jangan sentuh bahagian tubuh yang sensitif

Elakkan menyentuh bahagian sistem pencernaan dan pernafasan seperti hidung dan mulut. 

Ini untuk mengelak bendasing daripada mudah masuk ke saluran pencernaan melalui tangan anda.

#3 Jangan berkongsi peralatan makanan

Cuba untuk tidak berkongsi penggunaan peralatan makanan seperti sudu, garfu, pinggan, mangkuk dan gelas minuman. 

#4 Bersin dan batuk dengan cara yang bersih

Jangan menekup muka anda dengan tangan ketika bersin atau batuk. Sebaliknya, gunakan sapu tangan atau tisu yang bersih.

Buang tisu yang telah diguna atau basuh bersih kain sapu tangan tersebut. Kemudian, basuh tangan anda untuk mengelak perpindahan bakteria dan virus.

#5 Jangan sentuh water cooler dengan mulut anda

Sekiranya anda ada kemudahan water cooler, jangan sesekali meminumnya terus dari mulut. Cuba gunakan cawan atau gelas. Jangan lupa basuh bersih cawan itu sebelum menggunanya!

#6 Jauhkan diri dari orang yang sakit

Anda masih boleh berjumpa dengan orang yang sakit, dengan syarat tidak menyentuhnya secara terus. 

Cara hilangkan sakit tekak #7 Guna hand sanitizer

Sekiranya anda sukar untuk menemui sumber air dan sabun untuk mencuci tangan, anda boleh guna hand sanitizer yang berasaskan alkohol untuk membasmi kuman yang mungkin terdapat pada tangan. 

#8 Elak dari merokok

Sekiranya anda seorang perokok, cuba untuk kurangkan atau berhenti merokok. Guna terapi penggantian nikotin seperti nicotine patch untuk membantu anda. 

Jika anda tidak merokok, jauhkan diri dari persekitaran asap rokok atau mana-mana sumber asap. Asap boleh menyebabkan alahan lalu menyebabkan keradangan pada tekak. 

Kebanyakan sakit tekak yang berlaku bukanlah sesuatu yang serius. Tetapi simptom-simptom yang dialami biasanya akan menyebabkan ketidakselesaan berpanjangan. 

Walau bagaimanapun, anda perlu berjumpa dengan doktor sekiranya simptom-simptom berkaitan sakit tekak yang dialami bertambah dan memburuk dalam tempoh yang lama. 

Jangan tunggu sehingga ia menjadi lebih teruk untuk mendapatkan rawatan. Pencegahan adalah lebih baik dan berkesan berbanding perubatan semata-mata!

*Artikel di atas telah ditaja dan ditulis untuk iNova Pharmaceuticals (Singapore) Pte Limited Malaysian Branch

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 29, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 11, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut