backup og meta

Antibiotik Bukan Penyelesaian Terbaik Untuk Rawat Penyakit URTI - Pakar

Antibiotik Bukan Penyelesaian Terbaik Untuk Rawat Penyakit URTI - Pakar

Orang ramai mungkin lebih memberikan fokus kepada penyakit jangkitan tular seperti COVID-19 dan Influenza, tetapi agak kurang membicarakan tentang penyakit URTI.

Walhal, sebenarnya penyakit jangkitan saluran pernafasan ini juga sama bahayanya.

Jadi di kesempatan ini, kami berpeluang menjalankan sesi temu ramah bersama Pengamal Perubatan Am, Dr Casey Koh Kar Chai, untuk mendapatkan maklumat serta nasihat umum mengenai keadaan kesihatan itu.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

Apakah maksud URTI?

Untuk pengetahuan anda semua, jangkitan saluran pernafasan atas atau URTI adalah sejenis infeksi yang boleh berlaku dalam rongga bahagian hidung, tekak, kerongkong dan kotak suara manusia.

Kebiasaannya, URTI akan melibatkan infeksi kuman yang mengakibatkan kondisi biasa seperti selesema atau masalah lain seperti rhinitis, sinusitis, faringitis, laringitis serta tonsilitis.

Menurut Dr Casey, URTI termasuk juga penyakit tular seperti COVID-19 dan Influenza, akan menyebabkan gejala yang lebih kurang sama dan agak sukar untuk membezakan infeksi-infeksi tersebut.

Lap hidung anda jika alami selesema.
Lap hidung anda jika alami selesema.

Bagi menentukan apakah jenis infeksi yang berlaku, individu mungkin perlu melakukan ujian tindak balas berantai polimeras (PCR) atau pemeriksaan antigen iaitu swab test dan rapid test.

Persoalannya, apakah punca kondisi ini terjadi? Adakah ia disebabkan oleh infeksi virus sahaja atau juga bakteria?

Apakah punca URTI?

Infeksi ini akan menular melalui ruang udara dan cecair tubuh akibat kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.

Umumnya, penyakit URTI ini adalah angkara infeksi daripada rhinovirus. Dalam masa yang sama, virus korona dan influenza juga termasuk di antara punca-punca jangkitan saluran pernafasan atas.

Walaupun kuman lain seperti bakteria, kulat atau parasit juga mungkin boleh mendatangkan infeksi sama, namun ia kurang lazim berlaku. Maka, virus boleh dikatakan menjadi penyebab utama kepada penyakit URTI.

Siapakah golongan yang paling berisiko?

Seperti mana ramai sedia maklum, penyakit URTI ini bukan suatu kondisi spesifik yang hanya boleh terjadi kepada individu atau kelompok tertentu, kerana ia juga boleh berlaku kepada semua orang.

“Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti oleh virus punca jangkitan saluran pernafasan atas ini. Tetapi, ada golongan tertentu yang dikhuatiri akan mengalami kesan lebih teruk apabila dijangkiti URTI,” jelas Dr Casey.

Antara golongan yang lebih berisiko menerima komplikasi URTI adalah:

  • Bayi
  • Kanak-kanak
  • Warga emas
Kanak-kanak berisiko untuk alami URTI.
Kanak-kanak berisiko untuk alami URTI.

Dalam masa sama juga, individu dengan tahap imuniti tubuh yang rendah akan lebih tinggi risiko mendapat jangkitan saluran pernafasan ini.

Bagaimana cara untuk menangani kondisi ini?

Pertama, individu yang disyaki mendapat masalah jangkitan saluran pernafasan perlu menentukan jenis infeksi terlebih dahulu. Kemudian, barulah ubatan dan rawatan dapat diberikan.

Menurut Dr Casey, jangkitan yang berpunca daripada virus bakal berfokus kepada ubatan atau rawatan bagi merawat gejala atau simptom infeksi jika ia masih berada pada tahap ringan dan sederhana.

“Apabila ada individu sama ada yang berisiko rendah, sederhana atau tinggi mula menunjukkan komplikasi teruk dan tenat, maka mereka akan diberikan rawatan lanjutan lebih rapi di hospital,” jelas beliau lagi.

Pengambilan ubat antibiotik bukan satu cara terbaik!

Seakan sudah menjadi suatu kebiasaan dalam bidang perubatan, pengambilan antibiotik diutamakan jika seseorang dijangkiti penyakit tertentu.

Ya, anda mungkin perlu mengambil ubat ini jika wujud infeksi bakteria pada tubuh badan.

Namun, pemberian antibiotik bukan untuk semua keadaan kesihatan!

Kondisi seperti jangkitan saluran pernafasan atas ini kebiasaannya adalah disebabkan virus, justeru ubat antibiotik adalah tidak relevan diberikan kepada mereka yang dijangkiti URTI.

Dr Casey turut mengutarakan kebimbangan para pengamal kesihatan terhadap kebergantungan antibiotik. Ini kerana ia cuma berkesan untuk melawan jangkitan bakteria dan bukannya virus atau infeksi lain-lain.

Norma baharu juga penting untuk lawan penyakit URTI!

Sebagai langkah tambahan bagi ubatan atau rawatan klinikal untuk mengawal gejala dan simptom penyakit ini, individu mungkin perlu berbalik kepada cara untuk mencegah kondisi ini berlaku daripada awal.

Caranya, adalah dengan mengamalkan norma baharu sama seperti di saat pandemik COVID-19 berlaku beberapa ketika dahulu.

Penggunaan pensanitasi tangan, topeng muka dan pengamalan jarak sosial adalah antara kunci penting untuk mengelakkan jangkitan URTI.

Kesimpulan

Sekiranya anda rasa diri sudah terkena jangkitan saluran pernafasan atas ini, segera jumpa doktor. Ia penting untuk anda mendapatkan ujian, ubatan dan rawatan diperlukan bagi merawat penyakit URTI.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Upper Respiratory Infection, https://my.clevelandclinic.org/health/articles/4022-upper-respiratory-infection, Accessed Dec 8 2023.
  2. Upper Respiratory Tract Infection, https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK532961/, Accessed Dec 8 2023.
  3. Upper Respiratory Infections (Colds), https://www.nationwidechildrens.org/conditions/upper-respiratory-infections-colds, Accessed Dec 8 2023.
  4. Upper Respiratory Infection (URI or Common Cold), https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/upper-respiratory-infection-uri-or-common-cold, Accessed Dec 8 2023.
  5. Is it a Bacterial Infection or Virus?, https://www.dukehealth.org/blog/it-bacterial-infection-or-virus, Accessed Dec 8 2023.

Versi Terbaru

04/11/2024

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Kerap Sesak Nafas? Ia Mungkin Sebab Asma, Pneumonia @ COVID-19, Periksa Cepat!

Jangan Abaikan Jika Kerap Alami Sesak Nafas, Ini Juga Petanda Penyakit Berbahaya!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/11/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan