backup og meta

Ini 7 Pantang Untuk Anda Yang Ada Masalah Sinus, Boleh Cuba Amalkan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/06/2022

    Ini 7 Pantang Untuk Anda Yang Ada Masalah Sinus, Boleh Cuba Amalkan!

    Bagi anda yang mengalami penyakit sinus atau sinusitis, pastinya anda akan mengalami beberapa keadaan yang menjadikan hidung sangat tidak selesa. Oleh itu, amat penting untuk anda mengetahui beberapa pantang bagi keadaan ini. Mari kita lihat apa maksud sinus terlebih dahulu dan pantang larang yang perlu anda patuhi.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, anda boleh klik di sini.

    Apa maksud sinus dan penyakit sinusitis?

    Penyakit sinus atau juga dikenali sebagai sinusitis merupakan keradangan atau pembengkakan yang berlaku pada tisu yang melapisi sinus.

    Sinus merupakan empat rongga berpasangan (ruang) yang terletak di kawasan kepala.

    Rongga-rongga ini disambungkan melalui saluran sempit.

    Sinus akan menghasilkan lendir nipis yang mengalir keluar dari saluran hidung. Saluran ini membantu memastikan hidung bersih dan bebas daripada bakteria.

    Ruang sinus ini biasanya terisi dengan udara sahaja. Oleh itu, sinus boleh tersumbat sekiranya dipenuhi dengan cecair.

    Apabila ia berlaku, bakteria boleh mula membiak dan kemudiannya menyebabkan jangkitan (sinusitis bakteria).

    Kini anda telah mengetahui maksud sinus dengan lebih jelas.

    Pantang larang bagi mereka yang alami penyakit sinus

    penyakit sinus

    Sinusitis berlaku apabila lapisan sinus membengkak sehingga menyebabkan aliran lendir atau cecair menjadi tersumbat.

    Lendir ini kemudiannya akan memberikan tekanan pada kepala sehingga menyebabkan anda sakit kepala.

    Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan hidung menjadi tersumbat.

    Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan, anda boleh mengikuti pantang larang ini.

    #1. Jangan berada di kawasan udara kering

    Udara yang kering akan menyebabkan keadaan penyakit sinus anda menjadi lebih teruk. Ini kerana tiada sebarang kelembapan yang disedut oleh hidung anda.

    Oleh sebab itu, jika anda berada di kawasan dengan persekitaran udara yang kering, anda disarankan untuk menggunakan pelembap udara atau humidifier

    #2. Berhenti merokok

    Sebenarnya, asap rokok boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat jangkitan sinusitis. Hal ini bukan sahaja berlaku kepada perokok aktif, tetapi juga perokok pasif.

    Kandungan racun dalam rokok boleh menyebabkan keradangan pada saluran nafas bahagian atas.

    Amonia dan formaldehid juga boleh menyebabkan hidung dan sinus menghasilkan lebih banyak cecair atau lendir.

    Jika lendir yang dihasilkan menjadi terlalu banyak, maka anda akan lebih mudah mengalami alahan sehingga boleh menyebabkan gangguan pada paru-paru anda. 

    #3. Menaiki kapal terbang

    Percaya atau tidak, menaiki kapal terbang juga merupakan pantang bagi penghidap penyakit sinus.

    Ini kerana, tekanan udara yang berbeza di langit boleh mencetuskan sakit telinga yang tidak dapat dielakkan.

    Namun, jika anda sememangnya perlu menaiki kapal terbang, cuba tutup lubang hidung dan juga mulut, kemudian cuba bernafas melalui hidung.

    #4. Elakkan pengambilan produk tenusu

    Produk berasaskan tenusu boleh meningkatkan penghasilan lendir yang berisiko memburukkan lagi gejala sinusitis.

    Oleh sebab itu, makanan seperti susu, keju dan yogurt dikelaskan sebagai makanan pantang untuk penghidap sinus.

    Sekiranya anda mendapati gejala sinus anda menjadi lebih teruk selepas mengambil makanan jenis ini, terus berhenti memakannya dan dapatkan nasihat doktor. 

    #5. Berenang

    penyakit sinus

    Berenang sememangnya memberikan banyak manfaat dan juga faedah kepada tubuh. Namun, bagi penghidap sinusitis, berenang bukanlah satu aktiviti yang mahu anda lakukan.

    Ini kerana, kandungan klorin yang terkandung dalam air kolam boleh memasuki lubang telinga dan seterusnya memburukkan lagi keradangan yang dialami.

    Bagi mengurangkan risiko kemasukan air ke dalam telinga atau hidung, anda boleh menggunakan penyepit hidung dan juga penutup telinga sebelum anda berenang. 

    #6. Elakkan berada di kawasan udara yang tercemar

    Sesetengah penghidap sinusitis akan mengalami alahan terhadap partikel yang terdapat dalam udara tercemar.

    Apabila tubuh mengesan kehadiran partikel tersebut, tubuh akan menganggapnya sebagai sesuatu yang berbahaya lantas mengaktifkan sistem pertahanan tubuh.

    Tubuh akan menghasilkan zat kimia yang kemudiannya menyebabkan selaput lendir hidung menjadi bengkak.

    Apabila lendir hidung dihasilkan dengan banyak, maka ia akan lebih memburukkan lagi keadaan sinus anda. 

    #7. Menghembus hidung dengan terlalu kuat

    Sekiranya anda mempunyai penyakit sinus, anda tidak digalakkan untuk menghembus hidung bagi membuang lendir dengan begitu kuat.

    Jika anda membuang hingus atau lendir dengan hembusan yang kuat, ia boleh menyebabkan iritasi pada hidung anda.

    Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan kemasukan lendir yang mempunyai bakteria ke dalam sinus.

    Oleh itu, cara terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan menghembus hidung secara lembut dan lakukannya secara bergilir antara lubang hidung kanan dan juga kiri. 

    Kesimpulan

    Kini anda sudah jelas apa maksud sinus dan pantang larang yang boleh anda ikuti.

    Jika tidak mahu penyakit sinus anda menjadi lebih teruk, cuba amalkan tip-tip yang telah disarankan seperti di atas.

    Pasti gejala sinusitis anda dapat dikawal dan menjadi lebih baik. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan