Bagaimana Untuk Berhenti Vaping Pada Tahun 2020?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 10/02/2020

Vape bukanlah satu pilihan yang lebih baik berbanding menghisap rokok tembakau. Ini kerana sesetengah bahan kimia dalam vape adalah berbahaya kepada kesihatan. Jadi bagaimana caranya untuk berhenti vaping?

Kandungan bahan berbahaya

Sebelum ini kita disogok dengan cerita vape yang merupakan satu pilihan lebih selamat berbanding menghisap rokok tembakau. Namun sebenarnya, vape mengandungi bahan kimia sangat berbahaya kepada kesihatan, bukan sahaja kepada individu yang menghisap vape tetapi juga individu sekelilingnya (risiko perokok pasif).

Berikut merupakan lima bahan kimia yang terkandung di dalam vape dan berisiko meningkatkan kadar kematian:

Asetaldehid

Kebanyakan cecair perisa terdiri daripada bahan berasaskan asetaldehid. Apabila dicampur dengan bahan kimia lazim yang lain dalam cecair vape seperti propilena glikol, ia akan menyebabkan pembentukan kompaun asetal yang berupaya untuk menghasilkan kerengsaan pada saluran pernafasan. Ini sekali gus meningkatkan risiko keradangan. Pendedahan luaran juga boleh menyebabkan kerengsaan kepada mata dan juga kulit.

N-Nitrosonornicktina (NNN)

NNN bersifat karsinogenik, ini bermakna ia berupaya untuk mencetuskan pembentukan kanser. NNN telah dikenal pasti mampu untuk menyebabkan kanser esofagus dan hidung.

Plumbum

Pendedahan kepada plumbum boleh menyebabkan anemia, tekanan darah tinggi, kerosakan buah pinggang dan juga kesan toksik kepada organ reproduktif. Pendedahan pada tahap yang tinggi boleh menyerang sistem saraf tunjang, mengakibatkan koma, sawan dan juga kematian. Bagi individu kanak-kanak, ia boleh menyebabkan gangguan tingkah laku dan juga neurologi yang boleh membawa kepada kecacatan mental kekal.

Toluena

Penyedutan pada tahap yang rendah boleh menyebabkan kekeliruan, kelemahan, gangguan ingatan, loya dan juga gangguan pendengaran. Manakala penyedutan pada tahap tinggi boleh menyebabkan pening kepala, mengantuk, koma dan juga kematian. Ia juga dikenali sebagai perengsa kepada mata, kulit dan juga saluran pernafasan.

Benzena

Benzena adalah sejenis kompaun karsinogen yang cukup terkenal dalam menyebabkan pelbagai jenis kanser darah dan gangguan fungsi tulang sumsum. Ia juga berupaya untuk meningkatkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular.

Bagaimana Untuk Berhenti Vaping Pada Tahun 2020

Bahaya vape

Berikut dikongsikan antara kesan bahaya vape yang perlu anda ketahui:

Ketagihan seperti rokok biasa. Ini kerana kedua-duanya mempunyai kandungan nikotin, jadi sudah tentu kesannya adalah sama. 

Kesan buruk ke atas paru-paru. Vape tidaklah bermanfaat seperti yang disangka. Ini kerana ia turut memberi kesan buruk kepada paru-paru.

Sukar berhenti merokok. Vape turut mengandungi nikotin. Jadi jika rokok tidak dapat membantu anda berhenti, pastinya vape juga tidak boleh menolong anda untuk berhenti.

Berhenti vaping

Jadi bagaimana untuk berhenti vaping? Lebih-lebih lagi jika anda sudah terbiasa menghisapnya. Jangan risau! Berikut adalah beberapa perkara yang mungkin dapat membantu anda yang memasang impian untuk berhenti vaping. 

Sebab mengapa berhenti vaping

Mengenal pasti tujuan anda berhenti vaping merupakan satu cara terbaik untuk individu yang berkeinginan berhenti daripada tabiat ini. Berdasarkan kajian, antara tujuan yang sering diberikan oleh individu yang ingin berhenti adalah disebabkan faktor kesihatan dan juga ingin bebas daripada ketagihan.

Dikatakan, jika anda berkongsi tujuan mengapa anda ingin berhenti vaping dengan individu rapat, ia boleh dijadikan sebagai peringatan terbaik tentang mengapa anda sedang melalui fasa berhenti itu.

Kenal pasti sokongan individu 

Walaupun anda merupakan individu yang ingin berhenti menghisap vape, ia tidak bermakna anda perlu melakukannya secara sendiri. Anda boleh mendapatkan sokongan daripada individu yang boleh memberikan anda semangat untuk berhenti seperti rakan baik, ahli keluarga atau mungkin pakar kaunseling.

Ini kerana proses untuk berhenti daripada ketagihan vaping ini bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan sokongan yang kuat untuk anda kekal dengan keputusan berhenti daripada ketagihan vape ini.

Mengendalikan tekanan

Sama seperti rokok, vape sering digunakan sebagai pilihan untuk meredakan tekanan. Walau bagaimanapun, nampaknya ia bukanlah satu pilihan yang baik kerana ia menyebabkan anda ketagih. Jadi ini bermakna untuk menghentikan ketagihan vape, anda perlu mencari jalan penyelesaian lain untuk membantu menghilangkan tekanan anda.

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk membantu anda mengendalikan tekanan seperti berjalan atau mendengar muzik. Jika anda sudah mempunyai cara untuk mengawal tekanan anda, kekal dengan cara tersebut. Namun pastikan anda bersedia untuk berdepan dengan perkara di luar jangkaan. Adakalanya mungkin cara yang anda pilih untuk mengendalikan tekanan anda tidak berjaya. Ini tidak mengapa, anda masih boleh mencuba cara lain.

Cuba katakan tidak

Anda mungkin dalam usaha untuk menghentikan tabiat vape anda tetapi pastinya anda masih mempunyai rakan atau ahli keluarga yang masih mengamalkan tabiat tersebut. Sudah tentu, ketika berkumpul bersama, mereka akan mengajak anda untuk vaping. 

Di sini anda perlu belajar untuk mengatakan TIDAK. Mungkin pada permulaan tampak sukar, namun, percayalah, lama-kelamaan anda akan terbiasa untuk tidak vape. Paling penting, kuatkan semangat anda.

Bagaimana Untuk Berhenti Vaping Pada Tahun 2020

Singkirkan alatan vape

Bagaimana untuk menghentikan ketagihan vaping anda jika alatan vape masih berada berdekatan anda? Jadi, apakah tindakan yang perlu anda lakukan? Sudah tentu membuang segala peralatan berkaitan vape. Walaupun anda mungkin tidak menggunakannya tetapi sebaiknya elakkan daripada menyimpan di dalam rumah anda. 

Cubaan berhenti

Anda mungkin tidak mampu untuk terus berhenti vaping 100 peratus. Jadi anda boleh menghentikan ketagihan anda dengan mencuba berhenti secara perlahan-lahan. Cuba untuk meninggalkan vape anda di rumah ketika anda keluar, paling tidak untuk sehari. Selepas itu cuma tingkatkan tempoh anda tidak vaping, dari sehari kepada dua hari dan seterusnya, sehinggalah anda mampu untuk berhenti sepenuhnya.

Terapi gantian nikotin

Terapi gantian nikotin (NRT) adalah untuk membantu individu yang ingin berhenti dengan cara menguruskan gian ataupun sindrom putus ubat (withdrawal) mereka. NRT berupaya untuk menghasilkan kesan tersebut dengan membekalkan nikotin pada dos yang rendah ke dalam badan individu yang ingin berhenti.

Terapi gantian nikotin ini wujud dalam pelbagai bentuk dan dos, dengan setiap daripadanya mempunyai kelebihan tersendiri. Antara contoh bentuk NRT berbeza adalah tampalan kulit nikotin, gula-gula getah, lozeng, tablet bawah lidah (sublingual), alat sedut dan juga semburan.

Kesimpulannya

Jika anda sebelum ini memilih untuk vaping sebagai alasan untuk berhenti merokok, mungkin sudah tiba masanya anda berhenti vaping kerana tabiat ini tidak langsung mendatangkan sebarang manfaat kepada kesihatan. Semoga anda berjaya menghentikan tabiat vaping anda!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"

    Artikel lain untuk anda

    vape pod

    Fenomena Vape Pod: Pilihan Berbahaya Generasi Muda Masa Kini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 20/09/2019
    Nicotine

    Nicotine

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Helma Hassan
    Diterbitkan pada 17/05/2018