backup og meta

Realiti Penyakit Mental Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/08/2020

    Realiti Penyakit Mental Dalam Kalangan Kanak-Kanak

    Penyakit mental di Malaysia kian meningkat saban tahun. Pada tahun 2016, kajian terhadap pelajar yang menuntut di sekolah bawah kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia telah menunjukkan bahawa 2 daripada 10 pelajar sekolah di negara ini mengalami gejala penyakit mental yang serius.

    Artikel ini akan mengupas tajuk penyakit mental dalam kalangan kanak-kanak. Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Kanak-kanak 10 tahun ditemui mati tergantung

    Hancur hati seorang ibu apabila melihat anaknya mati tergantung pada pemegang tangga. Hakikatnya, percubaan untuk membunuh diri (sama ada berjaya ataupun tidak) dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit mental agak tinggi.

    Anak yang berusia 10 tahun itu tidak mempunyai rekod penyakit mental. Tiada bukti keganasan seksual mahupun perbuatan jenayah telah direkodkan dalam laporan bedah siasat. Punca pemergiannya hanyalah disebabkan oleh gantung diri. 

    Ini bukanlah kali pertama kes menyayat hati sebegini terjadi. Beberapa kes cubaan bunuh diri oleh kanak-kanak pernah berlaku kebelakangan ini. Ingat lagikah anda akan kes kanak-kanak perempuan yang cuba untuk terjun daripada tingkat 19 selepas bertengkar dengan ibunya? 

    Apakah yang telah terjadi? Adakah kita terlalu memberikan tumpuan kepada risiko untuk orang dewasa membunuh diri walhal anak-anak juga mengalami kemurungan dek tekanan hidup? Peristiwa sebeginilah yang menjadi bukti bahawasanya jiwa anak-anak muda sedang bergolak.

    Masalah yang dialami oleh mereka seperti buli, perceraian ibu bapa dan kehilangan insan tersayang membuatkan perbuatan menamatkan hidup seakan-akan alternatif yang munasabah. Mereka lebih rela untuk mengambil jalan mudah daripada menghadapi stigma yang kian menebal dalam kalangan masyarakat.

    Jumlah kes bunuh diri kian meningkat di Malaysia

    Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NMHS) 2017, terdapat peningkatan pada peratusan individu yang berusia di antara 13 hingga 17 tahun daripada perspektif tingkah laku bunuh diri. Anda perlu tahu bahawa tingkah laku bunuh diri ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

    • Idea ingin bunuh diri: Hanya timbul idea untuk membunuh diri
    • Mempunyai perancangan untuk bunuh diri: Mempunyai idea dan perancangan berkenaan dengan kaedah untuk membunuh diri
    • Cubaan bunuh diri: Melaksanakan perancangan bunuh diri. Ia boleh berjaya atau gagal

    Menurut NMHS 2017, prevalen individu yang mempunyai idea untuk bunuh diri meningkat daripada 7.9% (2012) kepada 10%. Prevalen bagi mereka yang merancang pula meningkat daripada 6.4% (2012) kepada 7.3%. Bagaimana pula dengan cubaan untuk membunuh diri?

    Peratusan prevalen bagi mereka yang cuba untuk membunuh diri meningkat sebanyak 0.1% (6.9%) daripada nilai peratusan NMHS 2012. Dalam kalangan 10 hingga 40 cubaan membunuh diri, 1 kes berjaya. Bunuh diri merupakan antara 10 punca utama kematian di dunia.

    Bukan semua orang yang membunuh diri mempunyai masalah kemurungan. Ada yang mengalami diagnosis penyakit mental yang lain. Namun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah kemurungan merupakan punca utama kepada terjadinya permasalahan ini.

    Bukan di Malaysia sahaja, penyakit mental kian teruk

    penyakit mental

    Jika anda beranggapan bahawa peningkatan kepada kes bunuh diri ini khusus buat negara Malaysia sahaja, anda silap. Negara maju seperti England juga mengalami permasalahan yang sama. Peratusan kanak-kanak yang mendapatkan rawatan penyakit mental meningkat sebanyak 50% pada tahun 2018 berbanding dengan tahun 2015.

    Peningkatan pada masalah kesihatan mental di negara tersebut berpunca daripada tekanan untuk mendapatkan prestasi cemerlang dan perkara yang berkaitan dengan media sosial. Kekurangan jumlah pusat kesihatan yang berperanan dalam merawat gejala kesihatan mental pada peringkat awal boleh menyebabkan komplikasi kronik.

    Bayangkan, kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda awal penyakit mental disarankan untuk mendapatkan bantuan daripada badan amal kebajikan. Masalahnya, kebanyakan gerakan tersebut hanya boleh memberikan khidmat kaunseling memandangkan mereka kekurangan doktor pakar yang berlesen untuk merawat pesakit tersebut.

    Kaji selidik yang telah dijalankan oleh badan amal YoungMinds telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan mental tidak mahu berkongsi perasaan mereka dengan keluarga, guru atau rakan-rakan. Antara faktor yang mempengaruhi tahap kesihatan mental mereka adalah seperti berikut:

    Pandang serius penyakit mental kanak-kanak

    ujian kesihatan mental

    Jika anak anda menunjukkan sebarang gejala atau perubahan pada tingkah laku, jangan membuat sebarang tindakan melulu berasaskan anggapan.

    Ujian kesihatan mental boleh membantu untuk menilai tahap kesihatan mental anak-anak anda.

    Oleh itu, bawa mereka berjumpa dengan golongan profesional untuk khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan. Ingat, penyakit mental tidak khusus buat golongan dewasa sahaja!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 25/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan