Awas! Ketiak Hitam Merupakan Petanda Penyakit Berbahaya

Oleh

Kesihatan, kebersihan dan kecantikan sememangnya berkait rapat antara satu sama lain. Pernahkah anda terfikir bahawa di sebalik kondisi ketiak hitam, terdapat petanda bahawa individu itu sebenarnya mungkin menghidapi penyakit-penyakit yang berbahaya. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Kebiasaannya, bahagian bawah lengan atau ketiak akan mempunyai warna yang sama dengan kulit. Akan tetapi, terdapat satu kondisi yang akan menyebabkannya berubah warna menjadi gelap dan kondisi itu dinamakan acanthosis nigricans. ia merupakan kondisi kulit yang boleh menyebabkan perubahan pigmentasi dan ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Menurut pakar, acanthosis nigricans merupakan kondisi yang disebabkan oleh genetik. Namun begitu, AN juga merupakan indikator awal bahawa individu yang mengalaminya menghidapi beberapa jenis penyakit berbahaya, iaitu:

Obesiti

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti lebih mudah terdedah kepada kesan insulin. Kandungan insulin yang tinggi dalam darah akan menyebabkan pertambahan dalam penghasilan sel pigmentasi kulit lalu mengakibatkan kulit menjadi gelap.

Diabetes

Individu yang mempunyai obesiti selalunya turut menghidapi diabetes terutamanya diabetes jenis 2. Anda yang menghidapi kedua-dua kondisi ini harus berhati-hati kerana ia akan meningkatkan risiko kondisi acanthosis nigricans.

Sindrom hormon

Terdapat beberapa kondisi yang mampu mengubah paras insulin lalu mengakibatkan acanthosis nigricans. Kondisi tersebut termasuklah:

  • Sindrom ovari polisistik
  • Sindrom Cushing
  • Sindrom Acromegaly
  • Sindrom Hypothyroidsm

Kanser

Terdapat beberapa kes yang membuktikan bahawa perubahan warna kulit pada ketiak merupakan petanda awal kanser. Jika ini berlaku, selalunya kanser tersebut akan menyerang perut, hati atau kolon. Pertumbuhan tumor pada kawasan ini merupakan punca pigmentasi kulit berubah warna. Selain ketiak dan bahagian badan yang lain, perubahan warna kulit ini juga boleh dilihat pada sekitar mulut anda. Kondisi ini dinamakan sebagai malignant acanthosis nigricans.

Selain daripada penyakit-penyakit berbahaya di atas, ketiak hitam juga mungkin merupakan kesan daripada pengambilan ubat-ubatan, seperti:

  • Insulin
  • Hormon pertumbuhan
  • Pil perancang
  • Corticosteroids, seperti prednisone (Rayos)
  • Niacin (Niacor) yang berdos tinggi

Apakah yang perlu anda lakukan?

Pertama sekali, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan jika benar anda menghidapi penyakit-penyakit seperti yang dinyatakan. Jika tidak dan ketiak hitam anda hanyalah disebabkan faktor kebersihan, pilih produk kesihatan yang sesuai dengan kulit anda. Jika masih musykil, dapatkan bantuan pakar kulit untuk membantu anda mengatasi masalah ketiak hitam ini. Pada masa yang sama, anda sewajarnya menjalani gaya hidup yang sihat agar kesihatan, kebersihan dan kecantikan anda sentiasa pada tahap yang baik.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut