Argh, Esok Kembali Bekerja Tapi Masih Dalam Mood Bercuti. Apa Perlu Dilakukan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Siapa yang tidak suka bercuti? Apatah lagi setelah menghadap kerja yang memenatkan mental dan fizikal. Tetapi yang tak seronoknya, apabila memikirkan kena kembali bekerja semula setelah bercuti. 

Kembali bekerja

Ahh…indahnya bercuti bersama insan tersayang dengan pemandangan indah laut bersama angin sepoi-sepoi bahasa membelai wajah. Dapat lari dari tekanan kerja dan persekitaran yang sibuk, sungguh membahagiakan. 

Pastinya tiada siapa yang mahu memikirkan tentang emel, deadline, mesyuarat atau sebagainya yang berkaitan dengan kerja selepas satu sesi percutian yang menyeronokkan, bukan? 

Walau bagaimanapun, bekerja adalah satu tanggungjawab. Jika tidak, bagaimana untuk mencari wang bagi mengisi perut keluarga dan anak-anak? Itu belum kira untuk menampung keinginan membeli-belah atas talian anda.

Jadi ia merupakan satu keperluan untuk anda kembali bekerja. Tetapi bagaimana untuk mengembalikan semangat untuk ‘berjuang’ secara mental dan fizikal pada hari pertama bekerja selepas bercuti? 

Jangan risau, berikut adalah antara beberapa perkara yang boleh/perlu anda lakukan dalam menghadapi peralihan mood untuk kembali menghadap tugasan pejabat selepas bercuti. Diharapkan ia mengembalikan semangat bekerja anda.

Jangan terus bekerja setelah kembali bercuti

Aik, macam mana pulak ini, kata tadi suruh bekerja sebab tanggungjawab, sekarang suruh jangan terus bekerja. Sabar, apa yang cuba disampaikan adalah selepas kembali dari bercuti di sesebuah tempat, sebaiknya anda mengambil cuti sehari dua untuk menenangkan diri kembali.

Maksudnya di sini, jika anda mengambil cuti empat hari, pastikan anda menyimpan sehari dari cuti anda itu untuk membolehkan anda berehat di rumah dan melaraskan kembali emosi sebelum kembali ke tempat kerja.

Walaupun mungkin ketika anda berada di rumah, anda bukanlah benar-benar berehat kerana sibuk mengemas rumah dan sebagainya, tetapi sekurang-kurangnya anda berada di rumah dan mempunyai masa untuk merehatkan diri.

Bayangkan jika anda baru kembali dari bercuti di Bali, Indonesia dan keesokan harinya anda perlu masuk ke pejabat, terasa meletihkan bukan? Walaupun lokasi anda bercuti itu tidaklah jauh sehingga ke luar dari Malaysia dan hanya sekadar ke Pulau Pinang, tetapi perjalanan yang anda tempuhi itu tetap akan memenatkan anda.

Oleh sebab itu anda disarankan untuk tidak terus kembali bekerja selepas bercuti. Ia pastinya akan dapat membantu merehatkan badan anda daripada berdepan dengan situasi keletihan melampau dan dalam masa yang sama mempersiapkan diri untuk bersedia menempuhi tekanan kerja kembali.

Persiapkan diri

Jika anda ingin mengembalikan semangat bekerja, anda perlu bersedia. Bersedia yang dimaksudkan adalah dengan mempersiapkan diri sebaik mungkin. Malam sebelum kembali bekerja, pastikan segala persediaan seperti pakaian kerja, beg, fail dan segalanya yang melibatkan keperluan kerja anda sudah tersedia.

Menurut perunding dan juga pengarang buku “Tame Your Terrible Office Tyrant: How to Manage Childish Boss Behavior and Thrive in Your Job,” Lynn Taylor, anda amat dinasihatkan untuk tidur awal pada malam sebelumnya atau lebih baik lagi lebih awal dari waktu biasa anda tidur ketika hari bekerja. Ia adalah bertujuan untuk mengurangkan tekanan atau gangguan pada hari anda memulakan kerja kembali.

Utamakan perkara penting

Sekiranya anda adalah antara individu penting dalam pejabat anda, sudah pastinya banyak tugasan kerja yang menanti setelah anda bercuti panjang. Tetapi pada hari pertama kembali ke pejabat, elakkan daripada melakukan terlalu banyak mesyuarat atau tugasan kerja. Ia hanya akan membuatkan anda menjadi keliru dan tertekan.

Bagi jurucakap perniagaan antarabangsa dan juga pengarang “The Humor Advantage,” Michael Kerr berkata, “Secara idealnya, cuba untuk menghindari sebarang mesyuarat atau temu janji pada hari pertama bekerja. Ia untuk mengelakkan anda berasa terlalu penat.”

Sebaiknya rencanakan strategi dan pelan kerja sehari sebelum anda masuk bekerja kembali. Berikan keutamaan kepada tugasan atau kerja yang lebih penting dan jangan takut untuk mendapatkan bantuan. 

Menyemak emel

Sudah tentu ketika bercuti anda tidak akan memeriksa sebarang emel berkaitan kerja, bukan? Ada ke di antara anda yang masih memikirkan tentang kerja pada waktu cuti? Yang pastinya, penulis bukan individu yang begitu. Bercuti adalah bercuti, ia adalah untuk meluangkan masa bersama keluarga dan insan tersayang.

Jadi apabila tiba masanya untuk memulakan kerja kembali, pastinya anda akan memeriksa emel anda. Paling tidak menyeronokkan apabila akaun emel anda dibanjiri berpuluh-puluh malahan mencecah ratusan emel. Arghh! Stres.

Bertenang. Jika anda ingin menyemak emel, cara paling terbaik adalah untuk menapis segala emel yang diterima. Elakkan membuka satu persatu emel berdasarkan tarikh ia diterima atau secara kronologi, sebaliknya semak emel mengikut kepentingan penghantarnya, seperti bos dan rakan sekerja. Ini adalah untuk memberikan anda idea mengenai apa yang sedang berlaku di pejabat.

Rakan sekerja

Penting untuk anda berhubung dengan rakan sekerja sekembali daripada bercuti. Ia akan dapat membantu anda untuk mengetahui apa yang berlaku sewaktu ketiadaan anda di pejabat, terutamanya berkaitan tugasan kerja anda. 

Dalam masa yang sama, jika ada rakan sekerja yang bertanyakan mengenai percutian anda, maka ambillah peluang untuk berkongsi mengenai percutian anda. Ini secara tidak langsung membantu anda menghilangkan tekanan kerja selepas bercuti. 

Masa berehat

Jangan terlalu fokus melakukan kerja sehingga anda mengabaikan keperluan diri anda untuk berehat atau makan tengah hari. Jika anda terlalu fokus, ia hanya akan membuatkan anda mengalami tekanan. 

Usah biarkan rasa bersalah kerana bercuti panjang menyebabkan anda menjadi terlalu fokus dan terbawa-bawa dengan kerja. Rakan sekerja anda yang lain juga turut akan bercuti dan yang pastinya ia adalah hak anda untuk bercuti. 

Elakkan daripada memaksa diri untuk melakukan banyak kerja atau fokus yang keterlaluan. Anda berhak untuk bercuti dan ia adalah masa untuk anda merehatkan mental dan fizikal anda. Jadi sewaktu bekerja, jangan lupa untuk memberikan diri anda masa untuk berehat, sekurang-kurangnya 10 minit bagi setiap tiga jam bekerja. 

Akhir kata

Untuk kembali bekerja selepas bercuti bukanlah sesuatu keadaan yang sukar untuk dilalui jika anda mengetahui cara yang betul untuk melakukannya. Perkara paling utama adalah untuk menghindari sebarang tekanan yang boleh menyebabkan anda hilang mood untuk bekerja. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 15, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 20, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut