Apakah Itu Radang?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda mungkin selalu dengar tentang radang. Di dalam istilah perubatan, ia disebut sebagai inflammation dan ia juga disebut sebagai itis’ di setiap akhir organ atau bahagian yang mengalami keradangan tersebut. Contohnya radang jantung (cardiac) disebut carditis, radang apendiks (appendix) sebagai appendicitis.

Apakah maksud radang?

Apabila kaki terseliuh, selalunya anda akan mengalami bengkak pada bahagian terbabit. Atau kepala terhantuk di dinding, benjol akan keluar. Bengkak dan benjol itu adalah contoh tindak balas keradangan.

Secara ringkasnya, radang adalah tindak balas yang diberikan oleh badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Ia adalah sebahagian daripada mekanisme perlindungan oleh badan. Lebih banyak darah akan mengalir di tempat yang terbabit dan beberapa bahan kimia dilepaskan serta sel-sel darah putih juga akan turut terlibat.

Tujuannya adalah untuk melawan jangkitan dan membantu dalam proses pemulihan.

Semua tindak balas tersebut akan menyebabkan simptom-simptom berikut:

  • Bengkak.
  • Kemerahan dan panas.
  • Sakit.
  • Hilang fungsi – contohnya sendi tak boleh bergerak, jantung gagal berfungsi dengan baik.

Radang di luar kawalan

Dalam beberapa keadaan, radang berlaku walaupun tanpa kehadiran apa-apa jangkitan mahupun kecederaan. Keadaan seperti ini boleh berlaku dalam sekumpulan penyakit yang disebut sebagai penyakit autoimun.

Dalam penyakit ini, sistem ketahanan badan berada di luar kawalan. Ia dengan sendirinya menyerang sel-sel normal di dalam badan. Disebabkan ia berlaku bukan kerana jangkitan atau kecederaan, maka ia hanya akan membawa kemudaratan berbanding kebaikan.

Antara contoh penyakit autoimun adalah:

  • Sistemik lupus eritomatosus (SLE).
  • Artritis reumatoid (RA).
  • Osteoartritis (OA).
  • Hepatitis autoimun.
  • Penyakit Chrohn.
  • Ulseratif kolitis (UC).

Malangnya, masih tiada rawatan khusus bagi penyakit autoimun secara amnya. Apa yang terbaik dapat dilakukan adalah dengan melemahkan sistem imun badan agar sistem tersebut tidak lagi menyerang sel-sel normal. Namun, kesannya adalah pesakit lebih terdedah kepada jangkitan dan mudah jatuh sakit.

Apakah rawatan bagi radang?

Jika berlaku keradangan biasa dan tidak melibatkan organ dalaman, anda boleh lakukan perkara berikut:

  • Letakkan bahagian terbabit di posisi yang tinggi untuk mengurangkan peredaran darah, seterusnya mengurangkan bengkak – angkat tangan dan kaki yang bengkak.
  • Tuam dengan ais atau air sejuk.
  • Ambil ubat tahan sakit – panadol, aspirin.
  • Rehatkan bahagian yang terbabit.
  • Jumpa doktor jika tidak berlaku perubahan dalam tempoh 3 hari atau terasa sangat sakit.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut