Anti Vaksin? Anda Mungkin Belum Tahu Sejarah Polio

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bukan kemerdekaan sahaja mempunyai sejarah, perubatan juga punya sejarah yang panjang. Sebahagian golongan di dalam masyarakat pada hari ini gagal memahami dan belajar daripada sejarah dahulu sehingga mereka mengambil tindakan di luar konteks yang betul.

Anti vaksin adalah antara isu yang masih lagi segar dibincangkan di dalam masyarakat. Mereka ini sebenarnya tidak sedar dengan apa yang dilakukan. Niatnya adalah baik dan suci untuk memastikan keturunan mereka bebas daripada ‘bendasing’. Mereka inginkan kehidupan yang organik dan semula jadi.

Katanya, “Kenapa ingin disuntik sedangkan anak saya sihat?”

Masyarakat terlalu selesa

Antara punca sebahagian orang tidak mahu mengambil vaksin adalah kerana terlalu selesa dengan keadaan mereka. Semasa vaksin mula diperkenalkan, orang ramai berpusu-pusu dan berusaha memastikan diri serta ahli keluarganya menerima vaksin. Ketika itu, kes yang dicatatkan adalah tinggi dan mungkin berlaku dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan terdekat.

Semakin lama, bilangan kes semakin berkurang. Orang pun semakin selesa dan merasakan bahawa keluarga mereka sudah selamat. Tapi apabila terkena, doktor juga yang dicari.

Kalau mereka tahu bagaimana penyakit polio melanda masyarakat suatu ketika dahulu, pastinya mereka akan ubah fikiran. Pada awal abad ke 20, wabak polio menyerang masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat. Ratusan ribu orang dijangkiti dengan angka kematian mececah ribuan orang. Belum lagi dikira mereka yang mengalami kecacatan seumur hidup.

Semua yang mengalami selesema akan sentiasa berharap agar ia bukan polio. Selepas penemuan vaksin pertama pada tahun 1955, dan seterusnya vaksin kedua pada tahun 1960, mimpi ngeri tersebut berakhir.

Lihat sahaja dua tahun lepas (2016), semasa virus Zika yang berasal daripada Afrika mula masuk ke Malaysia, semua orang, khususnya ibu mengandung, risau dan takut jika terkena jangkitan yang boleh membuatkan bayi cacat. Begitulah mungkin perasaan yang dialami dahulu semasa wabak polio, atau mungkin lebih.

Masyarakat dan profesional harus berinteraksi

Walaupun vaksin telah terbukti secara saintifik di atas kertas dan realiti bahawa ia sangat berkesan dalam mencegah penyakit yang berkaitan serta selamat digunakan, mungkin ada sebahagian dalam kalangan masyarakat tidak mampu memahaminya.

Golongan profesional kesihatan, khususnya, perlu mencari titik temu dengan golongan ini. Ia bukan masalah saintifik, sebaliknya isu sosial. Di sinilah interaksi antara dua pihak mula berperanan. Segala kebimbangan dan salah faham harus dijelaskan. Dalam masa yang sama, penjelasan tersebut harus sampai kepada mereka yang berkaitan.

Persepsi dan keyakinan kepada sains pun mungkin sedikit sebanyak terjejas dengan kemunculan golongan pseudosains yang jelas tidak saintifik. Keraguan terhadap syarikat-syarikat farmaseutikal besar daripada Eropah dan Amerika Syarikat juga mungkin membuatkan orang takut dan berwaspada.

Melihat kepada pengurangan pada liputan vaksin serta kemunculan semula kes-kes seperti campak, batuk kokol dan difteria, tindakan perlu diambil. Jika tidak dibendung, tidak mustahil wabak akan berlaku semula.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Ogos 3, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut