Adakah Berat Badan Saya Menyebabkan Sakit Sendi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Masalah berat badan berlebihan dan obesiti memang diketahui menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Risiko penyakit jantung, strok dan kencing manis meningkat dengan peningkatan BMI. Tetapi sakit sendi yang kerap anda alami juga mungkin terkait dengan berat badan anda, dan lebih mengejutkan lagi, masalah ini bukan khusus kepada sendi yang menampung berat sahaja.

Bagaimana berat badan menjejaskan sendi

Sendi kita memainkan peranan penting dalam membolehkan pergerakan badan dalam pelbagai arah. Pernahkah anda tertanya-tanya berapa berat yang ditampung sendi anda pada setiap gerakan tubuh yang anda ambil? Apabila berjalan di aras tanah, daya pada lutut anda dikatakan bersamaan dengan 1 setengah ganda daripada berat badan anda. Ini bermakna seorang lelaki dengan berat 80 kg akan memberi tekanan sebanyak 120 kg pada lututnya dengan setiap langkah.

Sewaktu mendaki, tekanan yang berlaku pada sendi menjadi lebih besar. Daya pada setiap lutut adalah 2 hingga 3 kali ganda daripada berat badan anda semasa anda mendaki dan menuruni tangga. Sementara ketika anda tunduk untuk mengikat tali kasut atau mengambil  barang yang jatuh, daya yang dikenakan adalah sebanyak 4 hingga 5 kali ganda berat badan anda!

Memandangkan banyak tekanan yang dikenakan pada sendi anda, peningkatan risiko osteoartritis dalam individu yang berlebihan berat badan atau gemuk sering kali dilihat kerana tekanan beban pada sendi yang menampung berat. Walau bagaimanapun, kesan utama berat badan pada masalah sakit sendi bukanlah disebabkan beban fizikal. Kajian lanjut kini menekankan bagaimana keradangan, bukannya beban fizikal didapati menjadi penyebab utama artritis kerap berlaku dalam kalangan orang yang berlebihan berat badan.

Obesiti dan Artritis

Kerana osteoartritis berlaku pada sendir yang menampung berat dan yang tidak menampung berat, keradangan menyeluruh memberikan penjelasan yang lebih baik tentang bagaimana berat badan berlebihan menyumbang kepada masalah artritis. Ini juga menjelaskan mengapa berat badan berlebihan juga menyumbang kepada artritis reumatoid, gangguan autoimun yang menyebabkan keradangan dalam badan dan menyebabkan kesakitan sendi.

Bahan kimia keradangan dalam lemak didapati memberi kesan kepada sistem muskuloskeletal dan kardiovaskular. Ini termasuklah adipokin, yang dirembeskan oleh sel-sel lemak dan menggalakkan keradangan. Faktor keradangan yang dikaitkan dengan kenaikan berat badan turut menjelaskan mengapa sendi lain yang tidak menampung berat badan seperti sendi tangan turut terjejas dengan artritis.

Melegakan sakit sendi dengan cara menurunkan berat badan

Mengurangkan beberapa kilogram dalam berat badan anda dapat mengurangkan tekanan pada sendi dan melindungi anda daripada keradangan. Kajian menunjukkan bahawa penurunan berat badan antara 10 hingga 15 paun (4.5-7 kg) dalam kalangan remaja obes boleh mengurangkan risiko osteoartritis di kemudian hari.

Tetapi meningkatkan aktiviti fizikal mungkin mencabar terutamanya jika anda sedang mengalami sakit sendi. Memperbanyakkan senaman semata-mata juga tidak cukup untuk membantu anda menurunkan berat badan. Oleh itu, mulakan dengan senaman ringan dan belajar untuk menguruskan pengambilan kalori anda untuk mengurangkan berat badan dan meningkatkan tahap kesihatan anda.

Hello Health Group  tidak memberikan khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut