backup og meta

Jangan Pandang Remeh Tentang Penjagaan Kuku, Penting Untuk Cegah Infeksi Kuku

Jangan Pandang Remeh Tentang Penjagaan Kuku, Penting Untuk Cegah Infeksi Kuku

Kuku hitam dan kotor, rasa geli apabila melihat keadaan kuku yang sebegitu, bukan? Aspek penjagaan kuku sering kali dianggap remeh.Tetapi kuku yang tidak terjaga berisiko untuk mengalami infeksi terutama jika tidak tahu cara cegah masalah kuku!

Jom cegah masalah kuku yang biasa!

Masalah berkaitan kuku merupakan satu isu yang biasa berlaku, terutamanya melibatkan jangkitan atau berlaku akibat penyakit radang kulit yang dialami.

Antara tanda atau simptom yang sering dihadapi adalah seperti perubahan warna pada kuku, kecacatan, penebalan, pecah dan rapuh. 

Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Unit Dermatologi, Jabatan Perubatan di Universiti Malaya (UM), Dr Kwan Zhenli, “Berdasarkan pengalaman, pesakit yang selalunya mengalami masalah ini akan mempunyai kuku dengan tompok kuning, putih, hitam atau coklat.

Manakala terdapat juga sesetengah daripada mereka mempunyai garisan gelap pada kuku.”

Isu berkaitan kuku boleh terjadi bersama jangkitan seperti paronychia, yang menyebabkan kemerahan dan pembengkakan pada kulit di sekeliling kuku.

cegah masalah kuku

Masalah ini sering terjadi kepada individu yang terdedah kepada pekerjaan basah.

Kuku boleh berubah jadi warna hijau disebabkan infeksi bakteria Pseudomonas aeruginosa.

Infeksi kulat

Dr Kwan yang juga merupakan Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan UM memberitahu, jangkitan kulat merupakan masalah berkaitan kuku yang paling selalu dihadapi oleh kebanyakan individu di Malaysia, yang biasanya disebabkan oleh dermatophytes atau Candida albicans.

Keadaan ini dipanggil onychomycosis cara cegah masalah kuku ini juga agak sukar.

Masalah lain berkaitan kuku yang kerap berlaku adalah seperti kuku yang tumbuh ke dalam (ingrown nail), jangkitan kuku Pseudomonas serta keadaan kuku yang berkait dengan penyakit kulit yang lain seperti ekzema, psoriasis, lichen planus dan alopecia areata.

Antara keadaan kesihatan bahaya yang boleh menjejaskan kuku adalah acral melanoma, iaitu masalah kanser kulit yang agresif.

Individu yang menghidapi masalah kesihatan ini boleh mengalami keadaan kuku dengan tompok atau garisan gelap terutamanya jika melibatkan lipatan kuku (nail fold).

Faktor risiko

Dr Kwan menjelaskan bahawa masalah kuku bukan semestinya melibatkan faktor keturunan walaupun keadaan kesihatan seperti ekzema atopik dan psoriasis atopik mempunyai kaitan dengan keturunan. 

Masalah jangkitan kulat pada kuku mungkin dikaitkan dengan sistem imun yang lemah, keadaan kulit berkaitan seperti ekzema atau psoriasis, kencing manis, kasut yang tidak bersesuaian (untuk kuku kaki), peredaran udara yang tidak bagus, persekitaran yang lembap atau panas serta perkongsian bilik air atau bilik loker. 

cegah masalah kuku

Aneka pilihan rawatan cegah masalah kuku

Antara pilihan rawatan untuk merawat jangkitan onychomycosis, adalah agen topikal seperti amorolfine lacquer atau agen sistematik seperti terbinafine, itraconazole dan fluconazole (bagi jangkitan Candida).

Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan penggunaan laser dan terapi photodynamic juga boleh membantu mengatasi masalah jangkitan pada kuku.

Namun, masih banyak bukti dan kajian yang perlu dilakukan untuk menyarankan ia sebagai satu kaedah rawatan harian. 

Prosedur mengeluarkan kuku boleh dipertimbangkan jika keadaan kuku menjadi tebal dan tidak mempunyai sebarang tindak balas terhadap rawatan oral.

Namun, kebarangkalian kadar penyembuhan selepas membuang kuku tidak seimbang dengan ketidakselesaan atau kesakitan yang dialami ketika prosedur. 

Langkah pencegahan dan penjagaan kuku selepas mengubati jangkitan onychomycosis adalah  penggunaan ubat topikal antikulat seperti krim, losyen atau bedak, gel antiseptik dan penggunaan alatan yang disteril atau membawa alatan sendiri ketika melakukan rawatan merias kuku (manicures / pedicures). 

Bagi keadaan kuku yang tumbuh ke dalam (ingrown nail), beberapa kaedah konservatif boleh dilakukan seperti memotong kuku dengan potongan lurus, menyelitkan cebisan kapas atau tiub plastik pada bahagian bawah kuku dan menarik lipatan kuku lateral (lateral nail fold) menggunakan pita.

Jika masih berlaku, prosedur pembedahan mungkin perlu dilakukan.

Sekiranya perubahan pada kuku berlaku disebabkan penyakit kulit yang lain, keadaan ini perlu ditangani secara khusus.

Jika doktor mengesyaki masalah melanoma, pengimbasan lanjutan dan pembedahan merupakan langkah yang akan disyorkan untuk cegah masalah kuku ini. 

cegah masalah kuku

Ubah gaya hidup untuk cegah masalah kuku

Untuk mengurangkan risiko masalah melibatkan kuku seperti jangkitan kulat, aspek penjagaan kuku adalah perlu dititik beratkan.

Anda perlu memastikan kuku sentiasa dalam keadaan pendek, kering dan bersih.

Jika mempunyai masalah pada kuku tertentu, sebaiknya sediakan pemotong kuku yang berlainan dan tidak bercampur dengan kuku yang lain.

Kulit sekitar kuku yang terjejas juga perlu diletakkan krim antikulat.

Hindari daripada memotong kutikel. Manakala bagi kuku kaki, disarankan menggunakan kasut yang selesa dan hindari daripada memakai kasut bertumit tinggi atau kasut yang meruncing pada bahagian depan. 

Keadaan kaki perlu dipastikan sentiasa kering.

Tukar dan pakai stoking bersih setiap hari dan terdapat sesetengah individu meletakkan bedak antikulat pada stoking dan kasut.

Jika anda berkongsi bilik air, elakkan daripada berkongsi selipar tandas untuk cegah masalah kuku.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Nails – fingernail and toenail problems, https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/nails-fingernail-and-toenail-problems, Accessed May 11 2022.
  2. 12 NAIL CHANGES A DERMATOLOGIST SHOULD EXAMINE, https://www.aad.org/public/everyday-care/nail-care-secrets/basics/nail-changes-dermatologist-should-examine, Accessed May 11 2022.
  3. Fingernails: Possible problems, https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/multimedia/nails/sls-20076131, Accessed May 11 2022.
  4. Nail problems, https://www.nhs.uk/conditions/nail-problems/, Accessed May 11 2022.
  5. Nail Problems and Injuries, https://myhealth.alberta.ca/Health/Pages/conditions.aspx?hwid=nails, Accessed May 11 2022.

Versi Terbaru

11/05/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Ini 5 Masalah Kuku Kaki Yang Biasa Terjadi, Cagu Antara Yang 'Popular'!

Gemar Biarkan Kuku Hitam Dan Berdaki? Awas! Anda Akan Dapat 4 Penyakit Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan