Ulser Di Bahagian Kemaluan Yang Tidak Sakit? Jangan Abaikan!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Dalam zaman yang penuh dengan aplikasi mencari pasangan atau teman dan juga interaksi yang tidak terkawal melalui media sosial, menjalinkan hubungan seks dengan kenalan di alam maya kini lebih mudah daripada biasa. Namun yang demikian, peningkatan dalam aktiviti seks dan juga bilangan pasangan ini bukanlah tanpa padahnya kerana dengan setiap pasangan yang berbeza dan setiap hubungan seks tanpa perlindungan, anda terdedah kepada risiko jangkitan kelamin. Salah satu daripada jangkitan kelamin tersebut yang cukup tersohor adalah sifilis. Sifilis adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin akibat daripada bakteria Treponema pallidum. Sir William Osler, antara tokoh perubatan yang tersohor pada abad ke-19, mengelar penyakit ini sebagai ‘the great imitator’ atau si peniru yang hebat. Gelaran ini diberi kerana sifat jangkitan sifilis yang boleh menghasillkan pelbagai simptom dan tanda yang mirip pelbagai penyakit-penyakit lain sekaligus, menyukarkan diagnosisnya. Namun begitu, simptom utama yang menunjuk kepada penyakit sifilis adalah kewujudan ulser pada kemaluan yang tidak sakit. Manusia adalah bekalan semula jadi bakteria ini kerana ianya tidak mampu untuk hidup dengan lama di luar badan manusia. Ini disebabkan oleh ketidakupayaan bakteria ini untuk menghasilkan makronutriennya sendiri, menyebabkan ia perlu bergantung kepada hos.

Beban Jangkitan Sifilis

Kebanyakan statistik berkenaan dengan sifilis berbincang tentang sifilis primer dan sekunder, kerana terdapat beberapa jenis tahap sifilis. Sifilis merupakan salah satu jangkitan kelamin yang paling kerap berlaku di seluruh dunia, dengan anggaran sekitar 10 hingga 12 juta kes baru setiap tahun. Ianya kekal sebagai penyakit jangkitan kelamin yang penting sejak awal ke abad-19, khususnya apabila ianya dikenalpasti meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat jangkitan HIV. Sifilis kongenital, keadaan di mana ibu yang menghidap jangkitan sifilis (dan tidak mendapat rawatan awal atau mencukupi) menjangkiti kandungannya, kekal sebagai punca utama bagi penyakit lahir mati, kematian bayi baru lahir dan juga morbiditi dan mortaliti dalam kalangan kanak-kanak.

Pada bulan Februari tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan anggaran lebih setengah juta kes keseluruhan sifilis kongenital pada tahun 2016, yang menyebabkan lebih 200 000 kematian dalam kandungan dan dalam kalangan bayi baru lahir. Walaupun tidak signifikan penurunannya, dari tahun 2012 hingga 2016, anggaran ini menunjukkan beban sifilis kongenital global telah menurun dari 750 000 kepada 660 000 kes. Namun yang demikian, bilangan kes yang tinggi ini masih tidak boleh diterima dan penting untuk golongan wanita mendapat akses kepada pengesanan awal dan rawatan untuk sifilis.

Mujurlah untuk rakyat Malaysia, hasil daripada perangkaan sistem kesihatan yang cermat dan pelaksanaan dasar kesihatan awam yang berjaya, pada tanggal 8 Oktober 2018, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara pertama dalam kawasan pasifik barat WHO yang telah berjaya menghapuskan bukan sahaja transmisi sifilis daripada ibu kepada bayi, bahkan transmisi HIV daripada ibu kepada bayi. Dengan pengiktirafan ini, Malaysia tergolong dalam kumpulan elit 12 negara di dunia diiktiraf WHO yang telah berjaya menghapuskan transmisi ibu kepada bayi bagi jangkitan sifilis dan/atau HIV.

Pada tahun 2015, insidens kes sifilis di Malaysia adalah 6% untuk setiap 100 000 populasi (6000 orang untuk setiap 100 000 orang). Di negara Amerika Syarikat, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan statistik sifilis pada tahun 2017 dan didapati, kegiatan seks yang mempunyai taburan kes sifilis yang paling tinggi adalah dalam kalangan lelaki yang menjalinkan hubungan dengan lelaki sahaja (52%)

Penyakit sifilis mempunyai kadar kejangkitan yang cukup tinggi – dianggarkan 30% hingga 60% mereka yang terdedah kepada sifilis primer dan sifilis sekunder akan mendapat jangkitan tersebut. Tambahan lagi, seorang individu yang terdedah kepada hanya 57 organisma Treponema pallidum dikatakan mempunyai setinggi 50% untuk mendapat jangkitan Sifilis.

Bagaimana Sifilis merebak

Lazimnya, sifilis berjangkit apabila seseorang itu melakukan hubungan kelamin dengan seseorang yang telah dijangkiti, khususnya jika mereka tidak menggunakan sebarang perlindungan (seperti kondom). Transmisi ini berlaku apabila terjadinya sentuhan permukaan membran mukosa seseorang dengan membran mukosa orang yang telah dijangkiti oleh bakteria ini. Atas sebab ini, penyebaran sifilis tidak terhad kepada hubungan kelamin penetratif melalui faraj sahaja; ianya juga boleh berlaku dalam hubungan seks anal dan juga oral.

Di Amerika Syarikat, majoriti (60%) daripada keseluruhan kes sifilis berlaku dalam golongan lelaki yang menjalinkan hubungan seks dengan lelaki, dan 20% daripada peratusan ini adalah melalui tabit seks oral sahaja. Sifilis juga berupaya untuk disebarkan melalui kontaminasi darah, walaupun risiko yang agak rendah kerana prosedur saringan darah yang ketat. Secara amnya, penyebaran melalui tandas duduk, tub mandi dan berkongsi sudu dan garfu adalah mustahil kerana seperti yang telah dibincangkan, genom kecil bakteria ini menyababkan ianya tidak mampu untuk hidup di luar badan manusia.

Selain itu, terdapat juga beberapa cara lain di mana bakteria ini masih boleh disebarkan daripada satu indivdu kepada individu yang lain. Apabila seorang ibu itu hamil dan sedang menghidap jangkitan sifilis, beliau berisiko untuk memberi jangkitan tersebut kepada kandungannya. Kaedah jangkitan ini disebut sebagai vertical transmission dan bayi yang menghidap sifilis melalui cara ini akan disebut sebagai menghidap sifilis kongenital.

Jenis-Jenis Sifilis Dan Simptomnya

Sifilis Primer

Sifilis primer adalah jenis sifilis yang kerap ditujukan apabila seseorang itu berbicara tentang sifilis sebagai jangkitan kelamin, mahupun sifilis secara umum. Hal ini kerana simptomnya membabitkan alat kelamin secara terus dan juga hubungan seks.

Jika anda perasan adanya kewujudan ulser pada kemaluan anda atau pernah perasan kewujudan ulser tersebut satu ketika dahulu, anda mungkin menyangkakan ianya tidak berbahaya kerana ianya tidak menyakitkan dan selepas beberapa minggu, ia hilang dengan sendirinya. Pemerhatian ini mungkin menyebabkan anda merasakan punca kepada masalah ulser tersebut telah hilang apabila ulser tersebut sembuh. Itu adalah tanggapan dan reaksi yang biasa namun tanggapan itu sebenarnya sangat berbahaya kerana perincian ulser yang disebut tadi adalah ciri-ciri penyakit Sifilis Primer.

Biarpun anda tidak mendapatkan rawatan pada tempoh kewujudan ulser ini, ulser tersebut tetap akan hilang bila-bila masa sahaja bermula daripada minggu ke-2 hingga minggu ke-6 daripada tempoh mula ianya berlaku. Pembentukan chancre ini menandakan titik masuk bakteria ke dalam tubuh badan penghidap dan ianya mungkin tidak mudah untuk seseorang itu perasan kerana ianya tidak menyakitkan dan bergantung kepada jenis seks yang anda lakukan, ulser di dalam bahagian dalam anus(dubur) atau bahagian dalaman faraj sangat sukar untuk dilihat. Chancre juga boleh berlaku di bahagian mulut sekiranya anda melakukan seks oral.

Apa yang lebih membahayakan ialah chancre ini sangat mudah berjangkit dan kegagalan untuk menyedari kewujudannya atau tidak mengendahkannya boleh menyebabkan anda berisiko untuk menjangkiti pasangan anda dan/atau dijangkiti oleh mereka dengan penyakit kelamin lain kerana kerosakan dinding kulit akibat ulser tadi. Atas sebab itu, kemungkinan seseorang itu menghidap jangkitan HIV serentak dengan sifilis adalah lebih tinggi apabila terdapat lebih daripada satu ulser di bahagian kemaluan mereka. Hanya kerana ulser itu sudah hilang tidak bermakna ianya sudah diuruskan oleh sistem imun badan, sebaliknya, hilangnya ulser tersebut bermaksud bakteria itu telahpun memasuki bahagian badan yang lebih dalam, bergerak dari satu tahap ke tahap seterusnya yang lebih teruk.

Dalam kalangan wanita, pembentukan ulser ini lazimnya (44%) berlaku di bahagian pangkal rahim (serviks). Dalam kalangan lelaki heteroseksual pula, kewujudan ulser ini hampir boleh diteka kerana terdapat 99% kemungkinan ianya akan berada di sekitar zakar mereka. Untuk lelaki homoseksual, ulser sifilis ini lazimnya berlaku sekitar, dan juga dalam bahagian dubur (34%). Selain kewujudan ulser, antara simptom sifilis primer yang turut kerap berlaku adalah pembengkakan noda limfa di sekitar bahagian kangkang (80%) yang berlaku kira-kira 7 hingga 10 hari setelah berlakunya pembentukan chancre.

Sifilis Sekunder

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, apabila ianya tidak dirawat, sifilis akan bergerak ke tahap seterusnya (apabila ulser kemaluan telah hilang) iaitu ke tahap sifilis sekunder. Sifilis sekunder berlaku kira-kira 4 hingga 10 minggu selepas jangkitan primer. Sifilis sekunder ini mampu untuk menzahirkan pelbagai simptom dan tanda yang lazimnya membabitkan bahagian kulit, membran mukosa dan juga limfa noda. Seseorang yang menghidap sifilis sekunder mungkin akan mempunyai ruam simetri (sama rata taburannya pada bahagian kiri dan kanan badan) berwarna merah-merah jambu yang tidak gatal, pada bahagian badan dan tangan termasuk tapak tangan dan kaki.

Ruam-ruam ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk; rata, luas, keputihan, mirip ketuat, dan bercecair. Walaupun tidak seperti ulser dalam sifilis primer, kesemua ruam-ruam ini tetap mengandungi bakteria Treponema pallidum yang sama seperti dalam ulser (sifilis primer) dan sangat mudah untuk berjangkit kepada orang lain . Simptom-simtpom lain termasuklah:

  1. Demam
  2. Sakit tekak
  3. Letih dan lesu
  4. Susut berat badan
  5. Rambut gugur
  6. Pening kepala

Manifestasi lain yang jarang berlaku untuk sifilis sekunder adalah keradangan hati, penyakit buah pinggang, keradangan sendi, keradangan saraf optik dan juga keradangan uvea. Simtpom-simptom akut sifilis sekunder ini lazimnya akan hilang dan susut selepas 3 hingga 6 minggu. Sekitar 25% penghidap mungkin akan mendapat semula simptom sifilis sekunder selepas ianya hilang.

Sifilis Pendam

Sifilis pendam disebut sebagai keadaan di mana seseorang itu tidak mempunyai simptom jangkitan sifilis tetapi melalui ujian serologi, terdapat bukti masih ada lagi jangkitan dalam badan mereka. Ianya boleh dikira sebagai awal (kurang setahun daripada tempoh sifilis sekunder) atau lewat (lebih setahun daripada sifilis sekunder). Tahap sifilis pendam ini dikatakan sebagai tahap di mana seseorang itu tidak mudah berjangkit.

Sifilis Tertier

Sifilis tertier adalah fasa terakhir dalam jangkitan sifilis jika ianya dibiarkan tidak dirawat. Tanpa menerima sebarang rawatan, dianggarkan satu per tiga akan progress kepada sifilis tertier. Ianya boleh berlaku sekitar 3 hingga 15 tahun selepas seseorang itu mula dijangkiti sifilis buat kali pertama. Sifilis tertier boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu sifilis gummatous (15%), neurosifilis (6.5%) dan juga sifilis kardiovaskular (10%). Seperti sifilis pendam, mereka yang menghidap sifilis tertier adalah tidak berjangkit.

Sifilis gummatous boleh berlaku bila-bila sahaja bermula daripada 1 hingga 46 tahun selepas terdedah kepada jangkitan sifilis namun puratanya adalah sekitar 15 tahun. Bentuk sifilis ini diperincikan dengan pembentukan gumma yang kronik (sejenis ketumbuhan keradangan yang lembut dan tumbuh dalam pelbagai saiz). Ia lazimnya terbentuk di bahagian kulit, tulang dan hati namun ianya boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Neurosifilis adalah keadaan di mana jangkitan sifilis ini telah membabitkan sistem saraf pusat. Ianya boleh berlaku melalui beberapa keadaan seperti meningitis sifilis, kelemahan keseluruhan badan ataupun tabes dorsalis. Terdapat juga satu tanda pada mata yang disebut sebagai Argyll-Robertson pupils, iaitu keadaan di mana pupil kedua-dua belah mata penghidap tidak mengecil apabila terdedah kepada cahaya. Sifilis kardiovaskular lazimnya akan mengakibatkan komplikasi seperti keradangan aorta (syphyllic aortitis) yang seterusnya berupaya untuk menjadi aortic aneurysm.

Sifilis Kongenital

Seperti yang dibincangkan dalam bab epidemiologi, sifilis kongenital adalah antara punca kematian dan morbiditi dalam kalangan kanak-kanak yang utama di seluruh dunia. Sifilis jenis ini berlaku apabila bakteria Treponema pallidum berpindah kepada kandungan semasa tempoh mengandung atau semasa proses kelahiran. Semasa tempoh mengandung, jangkitan sifilis juga mampu menyebabkan berlakunya keguguran. Sungguhpun begitu, dua per tiga daripada keseluruhan bayi yang dijangkiti tidak menzahirkan sebarang simptom. Bagi yang mempunyai simptom, ia lazimnya berlaku dalam tahun-tahun pertama kehidupan. Simptom tersebut adalah hati dan limpa menjadi besar (70%), ruam (70%), demam (40%) dan keradangan paru-paru (20%). Apabila tidak dirawat, kanak-kanak tersebut mungkin akan mempunyai keabnormalan struktur hidung mereka.

Diagnosis

Diagnosis sifilis dilakukan melalui ujian darah atau melalu dark field microscopy. Namun yang demikan, ujian darah adalah lebih kerap dilakukan kerana ianya lebih mudah dan cepat. Ujian darah untuk sifilis dapat dibahagikan kepada ujian berteraskan treponema (Ujian VDRL dan ujian RPR) dan juga ujian yang tidak berteraskan treponema (Ujian TPHA dan juga ujian FTA-Abs).

Rawatan

Jangkitan awal

Rawatan utama untuk sifilis yang tidak rumit adalah melalui suntikan satu dos benzathine benzylpenicillin ke dalam otot. Sekiranya pesakit itu mempunyai alahan untuk antibiotik penicillin, rawatan alternatif adalah melalui pengambilan antibiotik Doxycycline dan juga antibiotik Tetracycline. Namun yang demikian, kedua-dua ubat tadi tidak diberikan kepada wanita mengandung kerana kesannya yang boleh mengakibatkan kecacatan bayi. Sebagai penambahan kepada rawatan, doktor akan menyarankan agar anda tidak melakukan sebarang aktiviti seksual sehinggalan ulser pada kemaluan anda sembuh atau hilang sepenuhnya.

Jangkitan lewat

Untuk neurosifilis, memandangkan suntikan benzathine penicillin tidak mampu untuk menembusi sistem saraf pusat, penghidap akan diberikan dos intravena penicillin yang besar selama 10 hari sekurang-kurangnya. Rawatan pada peringkat akhir lazimnya terhad kerana kerosakan yang ekstensif telah pun berlaku pada bahagain dalaman badan.

Sebagai rumusan kepada artikel ini, jangkitan sifilis adalah sejenis jangkitan kelamin yang cukup lazim bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Tambahan lagi, beban penyakit, kematian dan juga komplikasi akibat jangkitan sifilis menyebabkan ianya salah satu ancaman besar kepada kesihatan awam yang perlu diambil berat oleh semua pihak. Kesedaran akan penyebaran dan juga simptom sifilis adalah kunci kepada pencegahannya. Selain itu, pendidikan tentang langkah berjaga-jaga dan langkah perlindungan ketika melakukan hubungan seks juga penting bagi melindungi seseorang itu daripada dijangkiti. Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan pemeriksaan, ujian saringan untuk sifilis dan juga jangkitan kelamin lain, nasihat dan juga rawatan mencukupi yang segera bagi membendung komplikasi sifilis yang tidak diingini.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut