Sempena Hari Makanan Sedunia: Tangani Obesiti, Realisasikan Sifar Kebuluran

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tahukah anda jumlah penduduk dunia yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti adalah lebih tinggi berbanding dengan jumlah orang yang menghadapi masalah kebuluran? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

Mengapa wujudnya masalah kebuluran

Pada tahun 2018, kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah menunjukkan seramai 820 juta orang di seluruh dunia mengambil kurang daripada 1800 kalori sehari. Ini adalah merupakan definisi bagi kebuluran dan ia bertentangan dengan definisi masalah obesiti.

Masalah kebuluran boleh disebabkan oleh faktor seperti ketidakmampuan untuk mendapatkan makanan atau pemberian makanan yang tidak menepati keperluan kalori minima harian.

Fakta ini dianggap kritikal kerana ia menunjukkan peningkatan drastik berbanding statistik yang dikeluarkan pada tahun 2014 yang menunjukkan hanya 775 juta orang di seluruh dunia yang mengalami kebuluran.

Jika dilihat pada jumlah bekalan makanan global, menurut pakar, secara teorinya, ia mampu untuk menampung jumlah penduduk di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, menurut UN, kira-kira ⅓ daripada jumlah makanan tersebut terpaksa dibuang atas sebab kerosakan sewaktu proses penghantaran atau penstoran.

masalah kebuluran, masalah obesiti

Kebanyakan kedai-kedai di negara yang maju mempunyai jumlah singkiran bahan makanan yang tinggi. Sayur-sayuran atau buah-buahan yang mempunyai kecacatan bentuk akan dibuang tanpa mengambil kira sama ada ia masih selamat dimakan ataupun tidak.

Di negara membangun pula, kebanyakan bahan makanan rosak berikutan kegagalan sistem penyejukan dan cerutan infrastruktur. Akibatnya? Hampir ⅓ daripada jumlah makanan terpaksa dibuang berikutan isu logistik dan pengagihan.

Faktor lain seperti tahap kewangan individu juga merupakan faktor penting yang boleh menyebabkan kebuluran. Harga makanan berbeza mengikut lokasi. Lokasi yang mempunyai harga makanan yang murah kebiasaannya mempunyai kaitan masalah obesiti berbanding dengan lokasi yang mempunyai harga makanan yang mahal.

Kebanyakan keluarga yang boleh dikategorikan sebagai miskin di dunia membelanjakan hampir 80% daripada pendapatan bulanan hanya untuk membeli makanan.

Jika terdapat inflasi pada harga makanan disebabkan oleh faktor-faktor seperti bencana alam, perubahan cuaca dan perubahan harga minyak global, akan berlakulah perubahan pada tahap kemampuan untuk membeli dan jumlah kalori yang boleh diambil oleh individu tersebut dalam masa sehari.

Misi “Sifar Kebuluran”

Misi sifar kebuluran adalah merupakan misi kedua daripada 17 misi pembangunan mampan oleh PBB untuk membasmi kebuluran pada tahun 2030.

Ia menekankan kepentingan menangani masalah peningkatan jumlah kebuluran dan malnutrisi bagi menjamin masa hadapan yang lebih cerah. Berikut merupakan 6 sebab mengapa misi sifar kebuluran dapat mengubah dunia:

  1. Pemberian makanan yang berzat dapat menjamin kenaikan sebanyak 46% daripada jumlah pendapatan seumur hidup.
  2. Ibu yang mendapat nutrisi yang cukup dapat melahirkan bayi yang mempunyai sistem pertahanan badan yang kuat. Kini, 60% daripada jumlah kebuluran sedunia terdiri daripada golongan wanita.
  3. Misi sifar kebuluran dapat menyelamatkan nyawa kira-kira 5 juta kanak-kanak setahun.
  4. Pengakhiran malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak dapat meningkatkan sekurang-kurangnya 16.5% keluaran dalam negara kasar (GDP) bagi negara-negara membangun.
  5. Pengakhiran masalah kematian kanak-kanak berpunca daripada masalah nutrisi (seperti kebuluran dan obesiti) dapat meningkatkan 9.4% daripada jumlah tenaga kerja.
  6. Pembasmian masalah kekurangan zat besi dapat meningkatkan 20% produktiviti di tempat kerja.

obesiti

Hari Makanan Sedunia dan Obesiti

Walaupun kita sudah tahu bahawa 820 juta penduduk di dunia menghadapi masalah kebuluran, kira-kira 670 juta orang dewasa, 140 juta remaja dan 40 juta kanak-kanak bawah 5 tahun mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Kini, 1 daripada 3 individu mempunyai masalah obesiti atau malnutrisi dan jika masalah ini tidak dibendung, menjelang 2025, ia boleh meningkat kepada 1 daripada 2 individu. Jika dilihat pada jumlah, mereka yang mempunyai masalah obesiti adalah lebih ramai berbanding mereka yang kebuluran.

Melihat kepada masalah obesiti yang kian meruncing, bersempena dengan Hari Makanan Sedunia yang akan diadakan pada 16 Oktober 2019, UN telah menetapkan tema ”Healthy Diet for a #zerohunger World” atau pemakanan seimbang untuk dunia bebas kebuluran.

Ia bertujuan untuk menggalakkan gaya pemakanan sihat bagi mengelakkan atau merawat masalah obesiti sekali gus penyakit kronik yang berkaitan dengannya.

Kesan daripada perubahan globalisasi, urbanisasi dan peningkatan hasil pendapatan telah merubah corak pemakanan manusia daripada makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan kepada makanan berproses, tinggi gula, garam dan lemak.

Ini mengakibatkan peningkatan risiko penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis, hipertensi dan penyakit jantung sekali gus meningkatkan perbelanjaan kesihatan.

Kerajaan Malaysia telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menampung kos rawatan penyakit kronik. Ia berikutan 70% daripada populasi pesakit di negara ini menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan.

Jika masalah obesiti ini dapat ditangani, perbelanjaan negara bagi sektor kesihatan dapat dikurangkan. Ini bermakna, lebih banyak peruntukan boleh disalurkan kepada bantuan mangsa kebuluran dalam merealisasikan misi sifar kebuluran oleh UN.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Oktober 11, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Mac 9, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut