Makan Kismis Buat Anak Bijak, Betul Ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Anda mesti pernah dimomokkan dengan ungkapan “Bagilah anak makan kismis, baru anak bijak. Tapi realitinya, adakah ia betul? Dan bagaimana pula dari aspek kandungan nutrisinya? Teruskan membaca perkongsian artikel ini. 

Mitos atau fakta

Manakala bagi individu yang beragama Islam, pastinya anda biasa mendengar bahawa kismis dianggap sebagai satu makanan sunnah kegemaran Rasulullah S.A.W. Adakah ia benar? Atau sekadar kata-kata untuk melariskan produk dengan nilai Islamiknya?

Dalam carian di laman sesawang, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak wujud dalil sahih daripada Nabi S.A.W mengenai dakwaan berkaitan kismis ini. 

Jadi mungkin individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan agama dalam menjual produk, boleh berhenti untuk melakukannya. Banyak lagi kaedah lain yang boleh digunakan bagi melariskan produk. 

Makan kismis dan kebijaksanaan

Dalam kajian yang dilakukan di University of Warwick, kismis boleh dijadikan sebagai satu makanan bagi melihat sama ada anak anda akan menjadi bijak atau tidak apabila mereka mencapai usia 8 tahun.

Ujian yang dilakukan adalah dengan meletakkan kismis di dalam mangkuk dan memberitahu anak untuk tidak memakannya dalam tempoh tertentu. Jadi bagaimana pula ia boleh menentukan kebijaksanaan anak anda?

Menurut penulis utama penyelidikan, Julia Jaekel berkata, “Daripada hasil kajian yang dilakukan, kanak-kanak yang dapat menahan diri dalam ujian kismis tersebut, kebiasaannya akan lebih cemerlang ketika berusia 8 tahun. Ini meliputi kemahiran dalam menumpukan perhatian serta berkaitan dengan pencapaian akademik.

Masa sesuai

Membaca mengenai ujian di atas, pasti ada antara ibu bapa yang berebut-rebut ingin melakukannya kepada si manja anda, bukan? Sabar. Bukan semua anak-anak sesuai untuk memakan kismis. Malahan ujian yang dilakukan di atas juga hanyalah sesuai untuk si comel yang berusia 2 tahun ke atas.

Jadi bila sebenarnya anda boleh berikan anak memakan kismis? Sebenarnya, kismis atau sebarang buah-buahan yang dikeringkan adalah agak melekit dan sukar untuk dikunyah. Jadi risiko untuk mereka tersedak adalah sangat tinggi. Bahaya!

Namun, jika si manja anda berusia lebih 9 bulan dan sudah mempunyai kemahiran untuk mengunyah makanan yang lembut, anda boleh memberikannya kepada anak anda. Tetapi sebaik-baiknya ia dipotong dalam kepingan kecil bagi memudahkan mereka makan. 

Nutrisi kismis

Makanan kering yang dihasilkan daripada anggur ini dikatakan kaya dengan nutrisi. Ia mengandungi karbohidrat, lemak, protein, vitamin B1, B2, B3, B5, B6 dan B9. Selain itu ia turut mengandungi kolin, vitamin C, vitamin E, vitamin K, kalsium, zat besi, magnesium, fosfor, kalium, sodium dan pelbagai nutrien lain. Bagus bukan?

Berikut merupakan antara khasiat kismis:

  1. Daya pemikiran

Dipercayai gula ringkas di dalam kismis dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik. 

  1. Tekanan darah tinggi

Dalam satu kajian, mendapati kismis kaya dengan bahan kalium dan rendah kandungan sodium. Ini sekali gus dapat membantu untuk mengurangkan tekanan darah tinggi.

  1. Kaya antioksida

Ada kajian yang mengatakan fenol di dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan di bawah makanan antioksida. Fungsi antioksida adalah untuk melindungi badan daripada radikal bebas dan menjaga kesihatan kulit. 

  1. Kurangkan sembelit

Di dalam kismis mengandungi serat yang mempunyai peranan penting kepada sistem pencernaan. Ia membantu sistem pencernaan berjalan lancar. Secawan kismis dianggarkan mengandungi hampir 10 gram serat yang boleh melancarkan proses pembuangan air, mengeluarkan toksik berbahaya dari badan serta membersihkan usus. 

  1. Kesihatan gigi

Menurut penelitian yang dilakukan di Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat oleh Christine D. Wu, mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan pada gigi dan gusi. 

Bahan manis yang terkandung dalam kismis dikatakan tidak akan menyebabkan berlakunya kaviti dan penyakit gusi. Sebaliknya ia melindungi dan menjadikan gigi lebih sihat dan kuat. Ini dipercayai disebabkan oleh asid oleanolik yang terkandung di dalam kismis, menjadikan ia efektif membunuh bakteria.  

Tetapi betul ke kandungan gula dalam kismis ini bagus dan tak memberi kesan kepada kesihatan gigi kanak-kanak?

Kismis snek berkhasiat?

Sememangnya kita sudah mempunyai stigma tersendiri terhadap kismis. Sama seperti kebanyakan individu lain, pastinya anda juga merasakan kismis adalah satu jenis snek makanan sihat untuk kanak-kanak. Malahan, sering kali kismis dirujuk sebagai sejenis ‘snek semula jadi’ atau mendapat jolokan ‘makanan paling sihat di dunia’.

Walau bagaimanapun, sebenarnya kismis cenderung menjadi faktor peningkatan risiko kepada masalah kaviti dalam kalangan kanak-kanak disebabkan oleh teksturnya yang akan melekit dan tinggi kandungan gula. Malahan, sesetengah doktor pergigian tidak menyarankan kismis untuk dijadikan sebagai snek harian bagi kanak-kanak.

Fakta mengenai kaviti gigi

Menurut National Institute of Dental and Craniofacial Research, ketika mencapai usia 11 tahun, lebih daripada 40 peratus kanak-kanak sudah mempunyai masalah kaviti atau gigi berlubang pada gigi susu. Semestinya memakan kismis bukanlah satu-satunya punca timbul masalah ini. Beberapa sebab lain yang turut boleh menjadi punca masalah kaviti adalah:

  • Tidak memberus gigi dengan baik
  • Minum terlalu banyak jus dan susu
  • Makan terlalu banyak makanan ringan
  • Tidak menjalani pemeriksaan gigi secara berkala
  • Meminum susu, jus atau minuman manis lain dalam botol untuk tempoh yang panjang

Sememangnya tiada bukti kukuh mengatakan bahawa kanak-kanak yang memakan kismis akan lebih cenderung terdedah kepada masalah kaviti. Namun, bukankah lebih baik pengambilan harian kismis dihadkan. Mencegah itu lebih baik.

Hadkan pengambilan

Anda mungkin menggemari rasa manis kismis. Mungkin ia boleh menyebabkan anda ketagihan untuk memakannya. Apatah lagi selepas mengetahui tentang khasiat yang boleh diperolehi daripadanya. Tetapi sabar dulu. 

Tahukah anda bahawa kandungan gula dalam sekotak kecil kismis adalah bersamaan dengan 8 sudu gula? Menurut seorang doktor gigi dari Deane Dental Practice, Lancashire, United Kingdom, Dr. Saara Sabir menyatakan kismis boleh menyebabkan kerosakan gigi pada kanak-kanak jika ia diambil dalam jumlah yang tidak terkawal.

Tekstur kismis itu sendiri meningkatkan risiko untuk terlekat di antara celahan gigi apabila dimakan. Untuk tempoh panjang, jika gigi tidak digosok dengan betul, bakteria pada gula boleh menyebabkan masalah kerosakan pada gigi. 

Konklusinya

Apa yang boleh disimpulkan dari artikel ini? Pertama, anda sudah menyedari bahawa kismis bukanlah satu makanan sunnah seperti yang uar-uarkan selama ini. Kedua, buah anggur yang dikeringkan ini menawarkan pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan. Ketiga, oleh kerana ia mengandungi kandungan gula yang tinggi, amatlah dinasihatkan untuk anda mengehadkan pengambilannya kepada si manja anda. Boleh makan, tetapi berpada-pada, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: