backup og meta

Cili: Bagaimana Ianya Mempengaruhi Kesihatan Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 01/07/2020

    Cili: Bagaimana Ianya Mempengaruhi Kesihatan Anda

    Rakyat Malaysia bukanlah kumpulan populasi yang asing dengan makanan pedas. Bahkan, ianya sudah sinonim dengan hidangan dan menu masakan di Malaysia untuk mempunyai kepedasan tertentu dalam resepi masakan mereka. Tomyam, masak lemak cili api, sambal tempoyak – semuanya mempunyai sebilangan cili di dalamnya untuk memberikan rasa pedas yang memukau. Namun yang demikian, pernahkah anda terfikir, apakah manfaat daripada pengambilan makanan pedas? Dan, apakah kesannya kepada kesihatan anda? Jangan risau, ikuti artikel ini untuk mengetahui tentang cili dengan lebih lanjut. 

    Bagaimana cili menyebabkan rasa ‘panas’

    Sambil anda memasak atau menikmati juadah harian anda, pernahkah anda terfikir tentang apakah bahan yang terdapat di dalam cili yang menyebabkan ianya rasa pedas dan panas? Jangan risau, bahan yang bertanggungjawab untuk menghasilkan rasa ‘hot and spicy’ itu adalah capsaicin. Capsaicin menyebabkan rasa panas dan pedas ini dengan mengaktifkan saraf trigerminal di samping merangsang reseptor deria rasa yang biasa. Rasa pedas itu hasil daripada pengaktifan saraf yang mengekspresikan reseptor TRPV1 dan juga reseptor TRPA1. Selain capsaicin, terdapat juga beberapa kompaun semula jadi dalam tumbuh-tumbuhan yang lain yang berupaya untuk memberikan rasa pedas dan panas yang sama. Antaranya adalah piperine dalam lada hitam, gingerol dalam akar halia dan juga kompaun allyl isothiocyanate dalam lobak kuda. 

    Bagaimana mengukur kepedasan cili?

    Sekiranya anda mempunyai kawan, kenalan mahupun keluarga berketurunan Eropah, anda mungkin akan menyedari bahawa mereka mempunyai daya tahan yang sangat rendah terhadap makanan pedas. Oleh sebab itu, diet dan makanan dalam budaya mereka tidak mempunyai elemen pedas ataupun penggunaan bahan pedas yang banyak. Walaupun di kedai makanan segera mereka juga, tidak ada sos pedas sebagai pilihan, yang ada hanyalah sos tomato (ketchup). Pemerhatian ini mungkin akan menyebabkan anda berasa hebat berbanding mereka kerana anda boleh mengambil makanan pedas dengan bersahaja. Namun yang demikian, terdapat orang lain yang boleh mengambil makanan yang jauh lebih pedas daripada anda dengan penuh bersahaja, menunjukkan daya tahan yang lebih tinggi terhadap ‘kepanasan’ dalam hidangan dan makanan mereka. 

    Walau bagaimanapun, bagaimana untuk anda betul-betul pasti bahawa terdapat perbezaan kepedasan antara hidangan anda dan juga makanan yang diambil oleh orang lain? Bagaimana anda ingin mengetahui cili atau lada yang manakah yang mempunyai kepedasan tertinggi dan yang mana mempunyai darjah kepedasan yang biasa? Jawapannya ada pada satu skala yang disebut sebagai Skala Scoville. Skala Scoville ini telah direka oleh seorang ahli farmasi dari Amerika Syarikat dan ianya berfungsi dengan cara mengukur kepekatan kompaun capsaicinoid. Cara kepekatan kompaun ini diukur dalam sesuatu bahan adalah dengan menggunakan High Performance Liquid Chromatography (HPLC). Unit yang diguna pakai untuk skala ini adalah Scoville Heat Unit (SHU). Untuk melihat perbezaan antara SHU lada yang berbeza, berikut merupakan SHU untuk tumbuh-tumbuhan tertentu:

    0 – 100 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada kembung dan Pimento.

    100 – 1000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada pisang (banana pepper) dan juga Cubanelle.

    1000 – 10,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada Guajillo dan juga Jalapeno.

    10,000 – 100,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah lada Malagueta dan juga lada Cayenne.

    100,000 – 350,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah Habanero dan juga lada Scotch Bonnet.

    350,000 – 800,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah Savina merah (Red savina) dan juga chocolate habanero.

    800,000 – 3,200,000 SHU

    Contoh bahan makanan di dalam kumpulan ini adalah Carolina reaper, Pepper X dan juga lada Dragon’s breath.

    Untuk rakyat Malaysia dan mereka yang biasa dengan masakan dan makanan di rantau Asia Tenggara, lada merah yang kerap digunakan dalam masakan harian kita, mempunyai 2,500-10,000 SHU pada skala Scoville. Cili segar Thai pula mempunyai nilai SHU yang lebih tinggi pada skala Scoville iaitu di antara 50,000 hingga 100,000 SHU.

    Apakah manfaat cili untuk kesihatan?

    Baiklah, untuk anda yang cukup menggemari makanan pedas, semestinya pernah bermain di fikiran anda tentang apakah kebaikan kesihatan yang anda kecapi melalui kecenderungan anda ini. Tentunya anda ada mengharapkan kesukaan anda terhadap makanan pedas ini adalah sesuatu perkara yang baik untuk kesihatan anda. Dalam bab ini, kita akan melihat beberapa kajian yang membuktikan manfaat kesihatan yang boleh didapati daripada tabiat suka memakan makanan yang mengandungi cili.

    Mengurangkan risiko untuk menghidap penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi)

    Seperti yang ramai mungkin tahu, pengambilan garam yang banyak dalam makanan harian adalah faktor risiko yang utama untuk menghidap penyakit hipertensi dan juga dikaitkan dengan masalah kardiovaskular lain. Menurut satu kajian, peserta yang meminati atau mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk makanan yang pedas didapati mempunyai pengambilan garam dalam makanan harian yang lebih rendah dan juga mempunyai tekanan darah yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak menggemari makanan pedas. Kajian ini mendapati keupayaan untuk menikmati rasa pedas dalam makanan memangkinkan sensitiviti terhadap garam sekali gus mengurangkan kecenderungan untuk mengambil makanan yang tinggi dalam kandungan garam atau untuk mengambil garam secara amnya. Pengambilan garam atau kecenderungan untuk memakan makanan bergaram dikaitkan dengan aktiviti metabolik serantau di kawasan insula dan kortex orbitofrontal (OFC) peserta kajian. Pemberian capsaicin – kompaun utama dalam cili dan juga lada yang menyebabkan ianya pedas, menguatkan dan memangkin aktiviti metabolik di kawasan insula dan OFC sebagai tindak balas terhadap pengambilan garam yang tinggi. Ini membalikkan semula pelbagai mekanisma berbeza di dalam insula dan OFC yang bergantung kepada keamatan garam (salt-intensity). Dalam kajian binatang, aktiviti OFC sangat berkait rapat dengan kecenderungan terhadap garam dan rasa masin atau bergaram yang diproses oleh OFC dipengaruhi oleh kehadiran capsaicin. Secara tidak langsung, kecenderungan untuk mengambil lebih banyak makanan pedas berupaya untuk mengurangkan pengambilan garam dalam diet harian seseorang melalui pengubahsuaian pemprosesan saraf berkaitan rasa masin dan kehadiran garam oleh otak. Ianya berupaya untuk menjadi intervensi tingkah laku dalam mengurangkan beban penyakit berkaitan tekanan darah tinggi. 

    Melegakan sakit otot dan sendi

    Menyapu krim cili untuk melegakan kesakitan otot anda mungkin kedengaran seperti idea yang ganjil dan tidak masuk akal, tetapi anda mungkin terkejut dengan bukti saintifik di sebaliknya. Percubaan klinikal menunjukkan bahawa sekitar 80% pesakit artritis mengalami pengurangan rasa sakit sekurang-kurangnya dua minggu selepas menggunakan krim tersebut. Percaya atau tidak, capsaicin, yang terdapat dalam lada, merupakan ramuan dalam banyak produk topikal untuk menghilangkan sakit, dalam bentuk krim, gel, losen, tampalan, dan batang. Walaupun mekanisma  fungsinya tidak diketahui dengan tepat, capsaicin dipercayai berfungsi dengan merangsang pelepasan bahan P (substance P), bahan kimia yang membantu menghantar isyarat sakit dari saraf deria ke otak. Selepas beberapa sapuan capsaicin, bekalan setempat bahan P dan bahan isyarat sakit yang lain akan perlahan-lahan ketandusan, menjadikan saraf kurang mengeluarkan isyarat sakit. Krim capsaicin dipercayai sesuai untuk keadaan sendi seperti artritis rheumatoid dan osteoarthritis, fibromyalgia, kekejangan otot, migrain dan sakit kepala lain yang teruk. 

    Melindungi diri daripada penyakit kronik akibat oksidan

    Antioksidan seperti vitamin E, C dan juga β-carotene memainkan peranan yang penting dalam melindungi diri kita daripada penyakit-penyakit yang berpunca daripada kecederaan sel dan tisu akibat pendedahan kronik terhadap reactive oxygen species (ROS). Penyakit-penyakit yang dimaksudkan adalah kanser, penyakit kardiovaskular dan juga penyakit neurodegeneratif. Mujurlah buat penggemar makanan pedas, lada dan cili mengandungi banyak antioksidan yang dimaksudkan. 

    Menambahbaik simptom dan tanda kencing manis jenis 2 (Diabetes Mellitus Type 2)

    Dalam kuantiti yang sedikit atau sederhana, ianya mampu untuk memberikan pengurangan dalam paras gula dalam darah dengan cara meningkatkan sensitiviti sel-sel dan tisu badan terhadap hormon insulin. Rempah dan juga cili juga berupaya untuk meningkatkan aliran darah dan mengurangkan penggumpalan platelet dalam darah.

    Mencegah kanser

    Dalam dunia kulinari, rempah, cili dan lada semuanya digunakan bagi menambah rasa dan perisa kepada masakan sejak berkurun lamanya. Namun yang demikian, ianya juga didapati mempunyai ciri-ciri dan keupayaan untuk mencegah sesetengah kanser. Terdapat satu kajian yang membabitkan 800 peserta (400 kes dengan kanser usus besar dan 400 adalah kes kawalan) di China, sekitar bulan Julai tahun 2010 sehingga bulan Mei tahun 2012. Rumusan daripada kajian ini adalah mereka yang mengambil lebih 3 hingga 7 hidangan mengandungi cili dan/ atau lada (makanan pedas) tidak mempunyai peningkatan risiko untuk menghidap penyakit kanser usus besar. 

    Dikaitkan dengan pengurangan risiko kematian untuk beberapa penyakit utama

    Dalam satu kajian di China yang ingin melihat kaitan antara pengambilan makanan pedas secara berkala dengan keseluruhan punca kematian dan juga punca kematian yang khusus (cause specific mortality), sekitar 199,293 peserta lelaki dan juga 288,082 peserta perempuan, berusia lingkungan usia 30 hingga 79 tahun, telah diambil di antara tahun 2004 hingga tahun 2008. Setakat penemuan susulan sehingga tahun 2013, didapati seramai 11,820 peserta lelaki dan 8,404 peserta wanita telahpun meninggal dunia. Dapatan daripada kajian skala besar ini mendapati mereka yang kerap mengambil makanan pedas seperti cili dan lada mempunyai kaitan songsang yang konsisten (consistently inversed) dengan keseluruhan punca kematian sama ada dalam kalangan lelaki mahupun wanita. Dalam keseluruhan kajian kohort tersebut, kadar bahaya (hazard ratio) untuk mereka yang hanya mengambil makanan pedas sekali seminggu sahaja adalah lebih tinggi daripada mereka yang mengambil makanan pedas pada kadar yang lebih kerap. Selain itu, mereka yang mengambil makanan pedas dalam lingkungan 6 hingga 7 kali seminggu juga didapati mempunyai penurunan risiko relatif untuk kesemua punca kematian sebanyak 14%. Kaitan songsang antara pengambilan makanan pedas yang kerap dan punca kematian keseluruhan ini juga didapati lebih kuat bagi mereka yang tidak mengambil minuman beralkohol. Tambahan lagi, kajian kohort ini juga menemui kaitan songsang antara pengambilan makanan pedas yang kerap dengan pengurangan risiko kematian akibat punca-punca yang khusus seperti kematian akibat kanser, penyakit jantung dan juga penyakit respiratori. 

    Namun yang demikian, penting untuk diingati bahawa kajian ini bersifat pemerhatian dan ianya tidak sah untuk digunakan sebagai kaitan punca dan sebab yang kukuh. Untuk itu, kajian lanjutan dan dalam populasi yang berbeza adalah sangat diperlukan untuk menunjukkan kebolehgunaan dapatan kajian ini pada skala yang lebih besar dan dalam konteks yang lebih umum. Pembuktian susulan berupaya untuk menambah baik pengesyoran makanan seperti herbal dan makanan tambahan yang lain.

    Salah faham berkaitan pengambilan makanan pedas dengan risiko penyakit ulser perut

    Setelah membaca bab manfaat kesihatan daripada pengambilan makanan pedas, tentu sekali anda akan cukup teruja untuk memulakan tabiat pemakanan yang baru, atau untuk mereka yang memang meminati makanan pedas, akan menceritakan manfaat makanan pedas kepada kawan dan sahabat terdekat untuk menyebarkan manfaatnya. Namun yang demikian, terdapat juga khabar angin yang mengaitkan pengambilan makanan pedas yang kerap ataupun makanan yang terlalu pedas, dengan peningkatan risiko untuk menghidap penyakit ulser perut. 

    Adakah ianya benar?

    Apa itu ulser gastrik?

    Ulser gastrik adalah luka terbuka di lapisan dinding perut. Istilah yang luas digunakan untuk ulser di dalam perut atau lapisan duodenal adalah penyakit ulser peptik. Dinding perut mempunyai lapisan epitelium dalaman, yang dikenali sebagai mukosa. Ianya terdiri daripada sel-sel kolumnar dan juga mengandungi sel khusus yang menghasilkan lendir dan beberapa enzim pencernaan. Dalam penyakit ulser gastrik, dinding mukosa ini terhakis, mendedahkan lapisan asas seperti submukosa kepada asik hidrolkorik yang dirembeskan ke dalam perut. Dalam kes-kes yang teruk, ulser ini mungkin menembusi dinding gastrik dan berlakunya kebocoran organ dalaman (perforated viscus)

    Dalam keadaan normal, dinding perut mempunyai mekanisma perlindungan tersendiri daripada sifat menghakis asid gastrik. Mekanisma tersebut adalah penghasilan lendir mukus yang bertindak sebagai lapisan perlindungan pada dinding perut. 

    Punca lain adalah jangkitan sejenis bakteria bernama Helicobacter pylori (H. pylori). H. pylori adalah sejenis bakteria yang menjejaskan lapisan perut tetapi juga boleh merebak ke duodenum terutama jika mukosa duodenal berubah dengan cara yang menyerupai lapisan perut (metaplasia gastrik). H. pylori meningkatkan rembesan asid gastrik dalam perut dan juga merendahkan kandungan mukus pelindung. Hal ini membolehkan asid gastrik untuk berhubung dengan lapisan duodenum, yang membawa kepada keradangan dan akhirnya ulser.

    Selain itu, penggunaan ubat antiradang bukan steroid juga merupakan salah satu punca kepada berlakunya ulser. Ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) adalah ubat-ubatan yang banyak digunakan untuk mengurangkan keradangan dan mengurangkan kesakitan. Ubat-ubatan ini merosakkan lendir pelindung dan seterusnya membolehkan asid gastrik dapat bersentuhan dengan lapisan submukosa. 

    Jadi, adakah pengambilan cili dan makanan pedas yang lain meningkatkan risiko anda untuk menghidap ulser dalam perut?

    Terdapat satu kajian yang ingin membongkar hakikat di sebalik kepercayaan sesetengah masyarakat yang mengaitkan pengambilan makanan pedas (khususnya yang mengandungi cili) dalam kuantiti yang banyak membawa kepada risiko untuk menghidap ulser. Namun yang demikian, dapatan daripada kajian ini menemui capsaicin, bahan aktif dan utama dalam cili, bukanlah punca kepada ulser, sebaliknya ia menekan rembesan asid, mencetuskan rembesan alkali dan juga penghasilan mukus. Ia bertindak dengan merangsang saraf aferen dalam perut. Kaitan yang sebenar yang ditemui adalah kebanyakan mereka yang menghidap ulser dalam akibat daripada jangkitan oleh bakteri H. pylori. 

    Jadi, begitulah maklumat berkaitan dengan cili. Jika anda ada sebarang soalan yang masih tidak terjawab, bertanyalah kepada yang arif tentang pemakanan.

    Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan