Testis: Apakah Ia dan Fungsinya Terhadap Lelaki?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Biasa mendengar perkataan testis tetapi tidak pasti apakah ia dan bagaimanakah ia kelihatan?

Testis atau juga dikenali sebagai testikel adalah dua bahagian organ kemaluan lelaki yang berbentuk oval atau seperti telur, yang terletak dibahagian dalam karung kulit yang dikenali sebagai skrotum. Skrotum tergantung dibahagian luar tubuh individu lelaki dibahagian hadapan pelvis berdekatan dengan bahagian paha atas. Testikel bergerak dengan bebas didalam skrotum tetapi setiap testis terlekat dengan tubuh melalui satu kord atau tali nipis yang digelar tali spermatik, yang melalui rongga didalam pelvis kearah abdomen. Kord tersebut mengandungi saraf dan saluran darah untuk testis dan vas deferens.

Struktur dibahagian dalam testikel adalah amat penting bagi tujuan penghasilan dan penyimpanan sperma sehinggalah sperma tersebut dianggap matang untuk dikeluarkan melalui proses ejakulasi. Testikel turut menghasilkan hormon yang dikenali sebagai testosteron dan ia berfungsi sebagai perangsang hubungan seksual, kesuburan dan pertumbuhan otot dan jisim tulang manusia. Testikel berada dibahagian luar tubuh badan dan mengekalkan suhu sekitar 2 darjah lebih rendah daripada suhu tubuh badan. Ini adalah kerana penghasilan sperma dan kualitinya berada pada tahap yang optimum pada suhu yang lebih rendah.

Anatomi testis dan fungsi-fungsinya

testis

Fungsi utama testikel adalah menghasilkan sperma dan menyimpannya sehingga ia matang untuk dikeluarkan. Testikel juga berperanan penting dalam penghasilan hormon testosteron dan hormon lelaki yang lain yang dikenali sebagai androgen. Testikel mendapat bentuk ovalnya daripada tisu yang dikenali sebagai lobules. Lobules terbuat daripada tiub bergelung yang dikelilingi dengan tisu penghubung yang padat.

  1. Tubul seminiferous

Tubul seminiferous adalah tiub bergelung yang menjadikan hampir keseluruhan testikel. Sel dan tisu yang terdapat didalam tubul tersebut berfungsi untuk spermatogenesis, iaitu proses penghasilan sperma. Tubul dipenuhi dengan lapisan tisu yang dikenali sebagai epithelium (epitel). Lapisan ini terdiri daripada sel Sertoli yang berfungsi membantu didalam penghasilan hormon yang menjana sperma. Diantara sel Sertoli adalah sel spermatogenik yang terbahagi dan menjadi spermatozoa atau sel-sel sperma. Tisu yang berada bersebelahan dengan tubul dikenali sebagai sel Leydig. Sel ini menghasilkan hormon lelaki seperti testosteron dan androgen lain.

  1.   Rete testis

Selepas sperma dihasilkan didalam tubul seminiferous, sperma akan bergerak kearah epididimis melalui rete testis. Rete testis membantu untuk mencampurkan sperma dengan cecair yang dihasilkan oleh sel Sertoli. Tubuh menyerap kembali cecair ini apabila sperma bergerak dari tubul seminiferous ke arah epididimis. Sebelum sperma dapat bergerak ke epididimis, ia tidak bergerak. Terdapat jutaan unjuran kecil didalam rete testis yang dikenali sebagai microvili yang membantu sperma bergerak sepanjang perjalanan ke tubul efferent.

  1.   Duktus efferent (efferent ducts)

Duktus efferent adalah siri tiub yang menghubungkan rete testis dengan epididimis. Epididimis menyimpan sel sperma sehinggalah ia matang dan sedia untuk dikeluarkan melalui ejakulasi. Duktus ini dipenuhi dengan unjuran seperti rerambut yang dikenali sebagai cilia. Cilia membantu menggerakkan sperma ke dalam epididimis. Duktus efferent turut menyerap kebanyakan cecair yang membantu menggerakkan sel sperma. Ini memberi kesan terhadap peningkatan jumlah sperma dalam setiap cecair yang dikeluarkan.

  1.   Tunica: Vasculosa, albuginea dan vaginalis

     Testis dikelilingi oleh beberapa lapisan tisu iaitu:

  • Tunica vasculosa
  • Tunica albuginea
  • Tunica vaginalis

Tunica vascula adalah lapisan nipis pertama saluran darah. Lapisan ini melindungi tiub dalaman setiap testikel daripada lapisan tisu seterusnya dibahagian luar testikel. Tisu seterusnya dikenali sebagai tunica albuginea. Ia adalah lapisan perlindungan yang tebal terbuat daripada fiber yang padat yang berfungsi melindungi bahagian testikel. Bahagian lapisan paling luar pula adalah tunica vaginalis yang terdiri daripada tiga lapisan:

  • Lapisan visceral: Lapisan ini mengelilingi tunica albuginea yang melindungi tubul seminiferous
  • Cavum vaginale: Lapisan ini adalah ruang kosong diantara lapisan visceral dan merupakan lapisan paling luar tunica vaginalis
  • Lapisan parietal: Lapisan ini adalah lapisan perlindungan paling luar yang mengelilingi hampir keseluruhan struktur testikel

Apakah saiz purata testis manusia?

testis

Saiz purata testikel manusia adalah sekitar 4 x 3 x 2 sentimeter (cm) dan berbentul oval iaitu seperti bentuk telur. Kebanyakan lelaki mempunyai dua testis dan ia adalah menjadi kebiasaan sekiranya salah satu daripada testikel lelaki tersebut berbeza saiz dengan satu testikel yang lain.

Penghasilan sperma dan testosteron yang sihat boleh berlaku dalam pelbagai saiz testikel. Sebahagian kajian menyatakan bahawa testikel yang lebih besar dalam kalangan mamalia berkait rapat dengan tahap testosteron yang tinggi, manakala saiz testikel yang lebih kecil berkait rapat dengan penghasilan sperma yang lebih rendah.

Tahap testosteron boleh menjadi kebimbangan sekiranya anda mempunyai masalah seperti sindrom Klinefelter yang disebabkan oleh pemilikan penambahan kromosom X. Simptom permasalahan ini termasuklah testikel yang lebih kecil, atau mempunyai ciri-ciri keperempuanan seperti kurang bulu di bahagian badan dan wajah selain pembesaran tisu buah dada. Memiliki sindrom Klinefelter kebiasaannya bermaksud mempunyai tahap testosteron yang rendah dan pengurangan aktiviti sperma yang akhirnya menyebabkan ketidaksuburan akibat kurangnya jumlah sperma dalam setiap ejakulasi yang berlaku.

Hypogonadism adalah satu keadaan dimana tahap testosteron yang rendah secara tidak normal. Simptom hypogonadism termasuklah:

  • Testikel yang bersaiz lebih kecil daripada purata saiz testikel
  • Pembesaran tisu buah dada
  • Kurangnya bulu dikawasan badan dan wajah
  • Tanda-tanda yang sama dengan sindrom Klinefelter

Hypogonadism sering dirawat dengan terapi penggantian testosteron dan ia sering berlaku semasa proses akil baligh.

Kajian pada tahun 2013 menunjukkan bahawa testikel yang sedikit lebih kecil dikaitkan dengan kualiti pemupukan yang lebih baik dalam kalangan bapa. Manakala saiz testikel yang lebih kecil dan tahap testosteron yang berkurangan dikaitkan dengan tahap penjagaan dan pengasuhan oleh ahli keluarga sebelah bapa yang lebih tinggi. Sekiranya anda mendapati sebarang pembengkakan di bahagian testikel anda, segeralah berjumpa dengan doktor. Pembesaran testikel yang lebih besar dalam kalangan orang dewasa boleh memberi petanda kanser testis atau masalah kesihatan yang lain.

Bilakah testis mula dan berhenti membesar?

Testis lelaki adalah sebesar 1 sentimeter padu sebaik dilahirkan dan kekal dengan saiz tersebut sehinggalah testikel mula membesar ketika berumur 8 tahun. Ia akan membesar secara berterusan sehinggalah ia mencapai saiz dewasa ketika dalam tempoh akil baligh. Semasa akil baligh, bulu akan mula tumbuh di bahagian skrotum dan sekitar kemaluan. Testis cenderung untuk membesar dengan kadar yang sama walaupun satu testis mungkin akan membesar dengan saiz yang lebih besar atau mengambil lebih masa berbanding testis yang lain. Ia juga adalah normal sekiranya salah satu testis tergantung lebih rendah berbanding testis yang lain.

Bolehkah testis mengecut?

Seiring dengan usia, penghasilan testosteron cenderung untuk menurun memandangkan testikel mula untuk menjadi lebih kecil. Ini dikenali sebagai atrofi testis (testicular atrophy). Perubahan ini berlaku secara berperingkat dan mungkin tidak disedari. Apabila ia berlaku, ia tidak merisikokan kesihatan individu. Tahap testosteron yang lebih rendah boleh mendorong kepada pengurangan libido dan jisim otot yang lebih rendah. Tetapi ianya merupakan sebahagian daripada proses penuaan yang bersifat normal. Walau bagaimanapun, sesetengah masalah kesihatan boleh menyebabkan atrofi testis seperti penyakit-penyakit STD, beguk, tuberkulosis atau trauma terhadap testis.

Faktor-faktor lain yang tidak merisikokan kesihatan termasuklah suhu yang lebih sejuk yang boleh menyebabkan pengecutan terhadap skrotum dan testis. Apabila terdedah kepada suhu atau air sejuk, testikel akan tertarik kearah tubuh melalui mekanisme yang dipanggil sebagai cremasteric retraction. Ia berlaku kerana testikel cuba untuk mengekalkan suhu tertentu yang bersesuaian untuk penghasilan sperma. Suhu tersebut perlulah sedikit rendah berbanding suhu purata tubuh badan. Oleh sebab itu, testikel cenderung untuk tergantung lebih jauh dari tubuh. Apabila terdedah dengan air sejuk atau suhu yang sejuk, otot cremaster menarik testis kearah badan untuk mendapatkan suhu yang lebih hangat.

Bagaimanakan cara untuk mengetahui sekiranya satu testis lebih besar dari yang lain?

Satu testis yang besar hanya mempunyai perbezaan saiz dengan margin yang kecil. Seseorang individu tidak berasa sebarang kesakitan apabila duduk, berdiri atau bergerak. Selain itu, seseorang individu turut tidak mempunyai sebarang pembengkakan walaupun satu testis bersaiz lebih besar. Testikel juga mempunyai bentuk seperti telur berbanding sfera and ianya licin tanpa sebarang ketulan atau biji. Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mendapati sebarang ketulan di sekitar testikel anda.

Bagaimana untuk mengenalpasti testis yang sihat?

Testicular self-exam (TSE) boleh membantu anda mempelajari bagaimana keadaan testis anda dan mengenalpasti sebarang ketulan, kesakitan, kelembutan dan perubahan di satu atau kedua-dua testis. Skrotum anda sepatutnya berada dalam keadaan longgar, bukannya tertarik atau mengecut apabila anda hendak melakukan TSE. Ikuti langkah seperti dibawah untuk menjalankan TSE:

  1. Gunakan jari dan ibu jari untuk menggerak-gerakkan testikel anda dengan lembut. Jangan mengerak-gerakkannya dengan cara yang terlalu kasar.
  2. Dikawasan permukaan keseluruhan satu testis, periksa jika terdapat sebarang ketulan atau benjolan, perubahan saiz, kelembutan atau kawasan yang terasa sakit.
  3. Rasa dibahagian bawah skrotum untuk memeriksa epididimis, satu tiub yang bersambung dengan testikel yang menyimpan sperma. Ia sepatutnya berasa seperti sekumpulan tiub.
  4. Ulangi langkah yang sama bagi testikel yang lain.
  5. Anda dinasihatkan untuk melakukan TSE sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.

Apakah masalah yang memberi kesan terhadap testis?

testis

  1. Hydrocele

Hydrocele berlaku apabila cecair yang berlebihan terkumpul di bahagian rongga di sekitar testikel. Ia biasanya wujud ketika dilahirkan, tetapi boleh juga terhasil kesan daripada sebarang kecederaan atau keradangan. Simptom hydrocele termasuklah:

  • Pembengkakan testikel yang semakin disedari dari hari ke hari
  • Kesakitan didalam skrotum
  • Rasa berat didalam skrotum

Hydrocele kebiasaannya tidak memerlukan rawaan melainkan ia bersaiz besar atau sakit. Kebanyakannya akan hilang dengan sendiri, tetapi bagi kes yang parah akan memerlukan pembuangan melalui pembedahan. Bagi kanak-kanak, hydrocele mungkin tidak memerlukan rawatan dan ia mungkin akan sembuh dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, sekiranya ia terjadi dalam kalangan individu dewasa, ia mungkin menunjukkan kemungkinan kejadian kanser.

  1. Kilasan testis (testicular torsion)

Kilasan testis bermaksud testikel berputar atau berpusing didalam skrotum. Kejadian ini akan menyebabkan kord spermatik menghalang bekalan darah, fungsi saraf dan pergerakan sperma ke bahagian skrotum. Simptom kilasan testis termasuklah:

  • Sakit di bahagian skrotum yang teruk
  • Pembengkakan di bahagian testikel
  • Sakit dibahagian bawah badan
  • Berasa mual
  • Muntah-muntah
  • Rasa seperti testikel tidak berada di tempat yang sepatutnya
  • Kerap kencing daripada biasa

Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan kilasan testis, antaranya:

  • Kecederaan di bahagian skrotum
  • Bersenam dengan terlalu lama atau terlalu kuat
  • Terdedah kepada suhu yang sejuk
  • Pergerakan bebas testikel didalam skrotum disebabkan oleh faktor genetik

Doktor boleh merawat kilasan testis dengan cara menggerakkan testis dengan tangan. Sesetengah kes mungkin memerlukan pembedahan untuk mengembalikan semula kedudukan kord spermatik. Dapatkan rawatan dengan serta merta sekiranya terjadi kilasan testis memandangkan ianya adalah keadaaan kecemasan perubatan.

  1. Orchitis

Orchitis adalah testikel yang meradang atau membengkak. Sepertimana epididimitis, orchitis disebabkan oleh penyakit jangkitan seksual. Simptom-simptom orchitis termasuklah:

  • Kelembutan dan kesakitan di bahagian testikel
  • Testikel yang membengkak
  • Demam
  • Berasa mual
  • muntah-muntah

Jangkitan virus dan bakteria sperti mump boleh menyebabkan orchitis. Kombinasi ubat-ubatan antibiotik atau antivirus selain ubat anti keradangan boleh mengurangkan rasa ketidakselesaan dan kesakitan dan orchitis biasanya akan sembuh dalam masa 7 hingga 10 hari.

  1. Hypogonadism

Hypogonadism berlaku apabila tubuh tidak menghasilkan testosteron dengan mencukupi. Ia disebabkan oleh masalah testikel atau otak tidak merangsang hormon untuk tujuan penghasilan dengan baik. Simptom hypogonadism bergantung mengikut tahap umur:

  • Kanak-kanak: Alat kemaluan tidak jelas samada ia lelaki atau perempuan dan kemungkinan terdapat kedua-dua alat kemaluan
  • Remaja:
    • Kurang pertumbuhan otot
    • Kurang bulu dibahagian badan
    • Suara yang tidak garau
    • Pertumbuhan lengan dan kaki yang tidak seimbang dengan bahagian tubuh yang lain
  • Dewasa:
    • Kurang kesuburan
    • Kehilangan bulu badan
    • Pembesaran tisu buah dada
    • Kehilangan ketumpatan tulang
    • Tidak mendapat ereksi

Hypogonadism kebiasaannya dirawat dengan terapi penggantian hormon. Ia dituju samada dibahagian otak atau testikel, bergantung kepada dimana sumber penghasilan testosteron yang rendah.

  1. Kanser testis

Kanser testis berlaku apabila sel kanser berganda didalam tisu testis. Ia biasanya bermula di dalam struktur tiub testikel yang membantu penghasilan sperma. Simptom kanser testis termasuklah:

  • Benjolan atau ketulan didalam testikel anda
  • Rasa berat di bahagia skrotum
  • Cecair didalam skrotum
  • Sakit di bahagian testikel
  • Sakit belakang atau sakit badan
  • Tisu buah dada yang membengkak

Kadangkala, doktor boleh membuang tisu yang terkesan dengan sel kanser sahaja. Terdapat juga kes dimana keseluruhan testikel perlu dibuang melalui pembedahan. Terapi radiasi atau kemoterapi juga berkesan membuang sel kanser.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut