backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan

WOW, Lelaki Boleh Ada Zakar Berurat? Adakah Boleh Memberi Kesan Pada Ejakulasi?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/10/2022

    WOW, Lelaki Boleh Ada Zakar Berurat? Adakah Boleh Memberi Kesan Pada Ejakulasi?

    Memiliki zakar berurat mungkin salah satu lambang lelaki perkasa apabila bersama pasangan. Namun, adakah urat zakar yang timbul ini sesuatu yang normal dan adakah ia memberi kesan kepada ejakulasi lelaki?

    Kita lihat jawapannya di bawah ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    Kenapa ada lelaki memiliki urat zakar yang timbul?

    Anda mungkin tidak pernah melihat kemaluan lelaki lain untuk mengetahui sama ada seseorang itu mempunyai zakar berurat atau tidak.

    Namun, ramai daripada kita pasti mengetahui bahawa sebahagian lelaki sememangnya mempunyai zakar berurat.

    Namun, apakah yang menyebabkan urat zakar ini timbul? Sebenarnya, ia boleh berlaku disebabkan beberapa punca atau faktor.

    Antara perkara yang boleh menyebabkan urat zakar timbul ialah:

    • Ketebalan kulit zakar
    • Saiz urat atau salur darah tersebut
    • Tahap aktiviti seksual yang baru sahaja anda lakukan
    • Kecederaan yang dialami

    Apabila seseorang lelaki mengalami ereksi, darah akan dipam daripada jantung melalui salur darah ke tiga bahagian tisu berspan pada zakar.

    Darah yang dipam akan berada di tisu berspan ini buat sementara waktu sehingga anda tidak mengalami ereksi.

    Darah ini kemudiannya akan keluar melalui urat yang terdapat pada permukaan kulit zakar.

    Peningkatan aliran darah pada urat zakar ini menyebabkan urat kelihatan lebih besar daripada biasa.

    Ini yang kita lihat sebagai zakar berurat. 

    Adakah urat zakar yang timbul ini sesuatu yang normal?

    urat zakar

    Jika anda memiliki zakar berurat, jangan risau kerana ia adalah sesuatu yang normal.

    Selepas darah dipam ke zakar semasa ereksi, darah ini akan kembali semula ke jantung melalui urat zakar tersebut. Jadi, peranan urat ini adalah penting.

    Semua lelaki mempunyai urat zakar ini, cuma ia mungkin berbeza bagi setiap individu.

    Ada yang mempunyai saiz urat yang lebih besar dan ada juga yang mempunyai saiz urat yang lebih kecil.

    Saiz urat ini juga boleh berubah dari semasa ke semasa.

    Ia boleh berubah selepas anda melakukan hubungan intim, melakukan pembedahan salur darah atau selepas mengalami kecederaan. 

    Adakah zakar yang berurat ini memberikan kesan terhadap ejakulasi lelaki?

    Saiz urat zakar yang kecil atau besar tidak langsung mempengaruhi tahap ejakulasi atau ereksi lelaki.

    Dengan kata lain, jika anda mempunyai urat zakar yang besar sekalipun, ia tidak memberi kesan terhadap kemampuan anda untuk mendapat atau mengekalkan ereksi.

    Saiz urat juga tidak mempengaruhi tahap kekuatan ejakulasi dan jumlah air mani yang keluar.

    Hanya perkara-perkara yang boleh menghalang aliran darah sahaja yang mungkin memberikan kesan terhadap ereksi anda. Antaranya adalah seperti kejadian darah beku. 

    Namun, apakah maksudnya jika zakar berurat lebih besar daripada biasa?

    urat zakar

    Terdapat empat kemungkinan yang mungkin menyebabkan zakar berurat lebih besar daripada biasa. Keadaan-keadaan tersebut adalah seperti berikut:

    #1. Varikokel

    Varikokel adalah keadaan pembesaran urat di dalam skrotum yang mengandungi testis anda. Keadaan varikokel ini adalah sama dengan vena varikos yang mungkin anda lihat di kaki anda.

    Varikokel dapat mempengaruhi aliran darah keluar daripada zakar anda dan menyebabkan pengeluaran sperma menjadi rendah selain penurunan kualiti sperma.

    Ini kemudiannya boleh menyebabkan kemandulan. Namun, tidak semua keadaan varikokel boleh mempengaruhi pengeluaran sperma.

    Varikokel juga boleh menyebabkan testis gagal berkembang secara normal atau menjadi menyusut.

    #2. Darah beku

    Gumpalan darah (trombosis) boleh terjadi dalam urat anda apabila sejumlah besar sel darah berkumpul di dalam saluran darah. Darah beku ini akan mengehadkan atau menyekat aliran darah.

    Gumpalan darah beku boleh menyebabkan kesakitan di sepanjang urat zakar yang membesar. Anda mungkin akan berasa lebih sakit ketika sedang mengalami ereksi.

    Urat yang terjejas dengan darah beku mungkin terasa tegang atau lembut apabila disentuh walaupun zakar anda lembik.

    #3. Aktiviti seksual yang baru sahaja dilakukan

    Anda juga boleh mendapat zakar berurat selepas melakukan hubungan seksual bersama pasangan.

    Ini kerana, pada waktu ini, darah pada zakar anda sedang melalui urat zakar untuk pergi ke jantung selepas berlakunya ereksi.

    Jadi, ia adalah sesuatu yang normal jika ia berlaku selepas anda bersama pasangan. 

    #4. Pembedahan tertentu

    Beberapa jenis pembedahan juga boleh menjejaskan aliran darah ke atau daripada zakar anda.

    Antara jenis pembedahan tersebut adalah seperti pembedahan salur darah pada zakar, kawasan kemaluan atau bahagian kaki anda. 

    Kesimpulan 

    Biasanya, keadaan zakar berurat ini bukanlah satu perkara yang serius dan tidak membahayakan nyawa. Ia adalah sesuatu yang normal bergantung kepada penyebabnya.

    Namun, jika anda berasa risau mengenainya, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan kepastian. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan