Buat Wanita, Ketahui Mengapa Orgasma Palsu Penting Buat Anda!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Sering tewas awal ketika beraksi di ranjang? Ini adalah perkara yang paling ditakuti oleh setiap pasangan suami isteri. Kebiasaannya, perkara ini akan berlaku kepada sang lelaki sekali gus meninggalkan sang wanita itu mendambakan lebih daripada apa yang diterima ketika itu. Ataupun, ada isteri yang sanggup berpura-pura puas semata-mata ingin menjaga imej dan ego suaminya. Persoalannya, adakah anda perlu orgasma palsu dalam kehidupan seks anda?

Wanita & orgasma palsu

Menurut kajian yang dijalankan oleh University of Texas di Amerika terhadap 998 wanita berusia antara 18 hingga 29, perbuatan berpura-pura mencapai klimaks ketika melakukan hubungan kelamin bersama pasangan sebenarnya akan membantu meningkatkan kualiti seks mereka. Ini kerana perbuatan itu membuat mereka lebih menikmati seks bersama pasangan!

Setelah bertahun lamanya, rata-rata pengkaji telah menyimpulkan bahawa orgasma palsu dalam kalangan wanita sebenarnya hanya akan memudaratkan hubungan asmara di kamar tidur. Pun begitu, kajian terbaharu ini akan membuatkan para pengkaji untuk berfikir semula dan lebih menekankan kelebihan berbanding kekurangannya. 

Majoriti daripada wanita dalam kajian menegaskan bahawa mereka tidak pernah mencapai klimaks ketika melakukan hubungan kelamin bersama pasangan, lantas membuat mereka lebih gemar berpura-pura puas untuk menjaga hati pasangan. Tanpa mereka sedari perbuatan itu sebenarnya membuat mereka ‘turn on’ secara tidak sengaja!

Persoalannya, apakah punca yang mendalangi kepentingan orgasma palsu ini?

Faktor psikologi

Jawapannya, adalah faktor psikologi. Menurut Dr. Michael Barnett, ramai pengkaji dan pakar terapi seks berpendapat bahawa berpura-pura mencapai klimaks sebenarnya boleh menjejaskan kehidupan seks anda dan pasangan secara umumnya. Pun begitu, ia masih perlu dilakukan ekoran manfaatnya dari segi psikologi.

Menurutnya lagi, faktor psikologi memainkan peranan yang sangat besar dalam orgasma wanita sama seperti faktor fizikal juga. Dalam erti kata yang lain, tanpa perasaan yang mendalam mendorong anda untuk puas ketika berasmara bersama pasangan, sudah tentu seks itu akan berasa bosan, bukan? Lantas menyebabkan anda tidak mencapai klimaks.

Selain itu, wanita yang gemar melakukan orgasma palsu lebih cenderung berasa diri mereka seperti diperlukan atau dimahukan secara seksual oleh pasangannya. Ini sekali gus dapat mengelakkan mereka berasa tidak bermaya atau tidak berguna semasa berhubungan intim. Dengan perasaan yang positif ini, klimaks mungkin boleh dicapai dengan lebih mudah.

Ada pro dan kontranya

Menurut Tracey Cox yang merupakan pakar terapi seks dari United Kingdom, berpura-pura klimaks ada baik dan buruknya. Keburukannya, perbuatan ini akan membuat anda terus berbohong kepada pasangan anda lalu menyebabkan dia sendiri tidak tahu sama ada anda benar-benar puas dalam hubungan intim atau tidak. Kebaikannya pula, perbuatan ini mungkin akan mendorong anda untuk mencapai orgasma yang sebenar. Bak kata pepatah Inggeris, ’fake it til you make it’. 

Ketika berasmara, teknik orgasma palsu seperti bernafas lebih laju, membuat bunyi ghairah, menggerakkan pinggang, merelakskan otot dan mengeluarkan kata-kata ‘nakal’ sebenarnya adalah salah satu cara yang tanpa sedar membuat tubuh badan anda terangsang, lalu meninggikan risiko pencapaian klimaks dengan lebih mudah. 

Jadi, sebenarnya tidak salah jika anda berpura-pura puas semasa melakukan hubungan seks bersama pasangan. Ini kerana ia adalah perbuatan atau teknik yang boleh membuat seks itu lebih seronok atau lebih ghairah. Jika ia mampu membuat anda sebagai seorang wanita, puas ketika berasmara bersama pasangan, tiada apa yang anda rugi. Sudah tentu pasangan anda sendiri akan berasa diri mereka hebat dan kuat ketika di kamar tidur. Dengan ini, tiada lagi masalah sering tewas awal di ranjang, bukan?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut