Ketagihan Permainan Video

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Permainan video bukan lagi hanya eksklusif untuk kanak-kanak sahaja. Dua dekad sudah pun berlalu, kini kebanyakan permainan video dipenuhi dengan aksi ganas, senario yang tidak menyenangkan dan jalan cerita yang kompleks bersesuaian dengan gaya pemikiran matang orang dewasa. Ketagihan terhadapnya merupakan satu permasalahan yang baru dan agak merisaukan kerana ia boleh mempengaruhi kebolehan seseorang untuk menjalani kehidupan harian. Ikuti artikel ini untuk penjelasan selanjutnya.

Kriteria ketagihan permainan video

Walaupun masalah ketagihan permainan video berinternet tidak termasuk di dalam buku panduan Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), namun ia tersenarai sebagai salah satu topik yang disyorkan untuk tujuan kajian. Terdapat beberapa kriteria yang perlu dikenal pasti seperti:

  • Keasyikan bermainnya
  • Simptom tarikan (withdrawal) apabila permainan tersebut tersebut diambil atau tiada akses kepadanya (kesedihan, keresahan dan lekas marah)
  • Toleransi. Mereka memerlukan masa yang lebih lama untuk mencapai kepuasan bermainnya
  • Sering gagal dalam usaha untuk meninggalkannya
  • Tidak berminat untuk melakukan sebarang aktiviti melainkan bermainnya
  • Terus bermain permainan tersebut walaupun mereka sedang menghadapi pelbagai jenis masalah
  • Menipu berkenaan dengan masa yang dihabiskan untuk bermainnya
  • Menggunakannya sebagai wadah pelepas emosi negatif
  • Dipecat, putus hubungan sosial atau hilang keupayaan untuk bekerja seperti biasa 

Diagnosis ketagihan permainan video boleh dibuat sekiranya mereka mempunyai sekurang-kurangnya 5 atau lebih daripada simptom-simptom yang tersenarai di atas dalam tempoh satu tahun. Kebanyakan individu mengalami ketagihan apabila mereka bermain permainan tersebut menggunakan internet, namun begitu, ia juga merangkumi permainan video pada semua jenis peranti.

Bina dunia ideal tersendiri

Kebanyakan mereka yang didiagnosis dengan penyakit ini merupakan individu daripada populasi Asia. Kajian yang dibuat oleh Ahn di Korea Selatan telah mendapati kira-kira 24% daripada jumlah populasi yang mendapat diagnosis ketagihan permainan video berinternet terpaksa dimasukkan ke dalam hospital. Ini susulan masalah kesihatan kesan daripadanya untuk tempoh jangka masa panjang atau atas permintaan keluarga mereka sendiri.

Kebiasaannya, mereka yang mengalami ketagihan permainan video menggunakan medium tersebut sebagai satu bentuk eskapisme. Ia bertujuan untuk membina dunia sendiri yang lebih ideal terutamanya bagi mereka yang mempunyai tekanan emosi. Kajian yang telah dijalankan oleh Muller pada tahun 2016 melibatkan 12,938 kanak-kanak telah mendapati bahawa mereka yang ketagihan permainan tersebut mempunyai tahap keyakinan yang rendah, kurang berpuas hati dengan kehidupan seharian dan mereka yang berasal daripada keluarga yang berpecah-belah.

Buat masa sekarang, tiada protokol yang khusus dalam merawat mereka yang ketagihan permainan video. Kumpulan sokongan adalah merupakan alternatif permulaan terbaik dalam memulakan langkah untuk keluar daripada bulatan ketagihan.

Konklusi

Walaupun belum tersenarai di dalam buku panduan perubatan terkini, ketagihan permainan video boleh mempengaruhi tahap fungsi seseorang bagi menjalani aktiviti harian. Jika anak-anak anda suka bermain permainan tersebut, letakkan had masa bagi mereka untuk bermain, selebihnya pastikan peranti permainan video tersebut ditutup.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 4, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut