backup og meta

Berhenti Tuding Jari Pada Isteri Akibat Masalah Ketidaksuburan! Apa Kata Suami Belajar Cara Kendali Masalah Ini?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/04/2020

    Berhenti Tuding Jari Pada Isteri Akibat Masalah Ketidaksuburan! Apa Kata Suami Belajar Cara Kendali Masalah Ini?

    Masalah ketidaksuburan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan. Jika tidak diuruskan dengan betul, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan mental yang mempengaruhi kualiti hidup seseorang.

    Walaupun hakikatnya masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki meningkat saban tahun, namun, masyarakat cenderung untuk menyalahkan wanita dalam hal kesuburan. Ia selaras dengan pandangan tradisional yang meletakkan wanita sebagai individu yang seharusnya memberikan anak dalam hubungan suami isteri.

    Pandangan tersebut bukan sahaja mengarut, malah tidak relevan. Semakin maju teknologi perubatan di seluruh dunia, semakin dalam pemahaman kita terhadap masalah ketidaksuburan. Jadi jika anda tidak subur, apa yang perlu anda lakukan?

    Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Lelaki juga turut mengalami masalah ketidaksuburan

    masalah ketidaksuburan

    Jika pasangan suami isteri mengalami masalah untuk mendapatkan anak, cuba teka, kepakaran mana yang mereka akan rujuk dulu? Semestinya pakar ginekologi atau doktor pakar sakit puan

    Perkara ini juga berlaku jika wanita tersebut pernah melahirkan anak dan berkahwin baharu. Walaupun situasi perubatan boleh berubah mengikut usia, namun isi yang penulis ingin sampaikan adalah, masyarakat, tidak kira doktor atau individu lain, mudah menuding jari kepada wanita apabila pasangan suami isteri sukar untuk mendapatkan anak.

    Situasi yang sama berlaku kepada Dina (bukan nama sebenar). Nizam merupakan suami kedua Dina dan pada perkahwinan pertama, dia telah melahirkan seorang cahaya mata. Apabila pasangan suami isteri ini sukar mendapatkan anak, Dina dirujuk kepada pakar sakit puan.

    Pelbagai prosedur telah dilakukan kepada Dina termasuk prosedur invasif bagi mencari punca kepada masalah ketidaksuburan yang dihadapinya. Keadaan tersebut berlarutan hingga satu tahun dan dapatan menunjukkan Dina subur.

    Hanya selepas itu baru Nizam diperiksa dan dua bulan kemudian, ujian makmal menunjukkan dia mempunyai bilangan sperma yang sangat sedikit di dalam air maninya. 

    Mereka berasa kecewa memandangkan kos yang dikenakan untuk memeriksa tahap kesuburan Dina agak tinggi dan akhirnya si suami yang menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan tersebut.

    Sebenarnya, ini merupakan salah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita. Adakah setiap suami perlu menunggu keputusan kesuburan isteri sebelum mereka boleh didiagnosis dengan masalah tidak subur?

    Lelaki pun boleh mengalami masalah mandul.

    Diagnosis masalah ketidaksuburan wanita memakan kos yang tinggi

    ivf

    Bekerja dalam industri kesihatan, doktor tidak boleh membuat anggapan tidak berasas. Kedua-dua pasangan suami isteri mempunyai risiko untuk mengalami masalah ketidaksuburan.

    Jika tidak pada bilangan, kualiti sperma itu sendiri boleh menyukarkan mereka untuk mendapat anak. Sperma yang mempunyai kecacatan struktur tidak akan boleh menembusi lapisan perlindungan ovum untuk melalui proses persenyawaan.

    Satu kaedah pemeriksaan makmal yang digelar sebagai ujian sperma komet boleh mendiagnosis sperma yang mempunyai kecacatan fizikal. Ujian ini lebih tepat berbanding dengan kaedah kiraan sperma yang tidak mengambil kira kualiti sperma tersebut.

    Jika dibandingkan dengan lelaki, ujian kesuburan wanita kebiasaannya lebih invasif dan mahal. Bukan sahaja pemeriksaan hormon akan dijalankan, malah pewarna juga akan disuntik masuk ke dalam ovari bagi mewarnai ovum yang terhasil.

    Prosedur tersebut melibatkan penggunaan ubat bius yang boleh menyebabkan komplikasi kesihatan terhadap wanita. Teknologi yang lebih canggih dalam mendiagnosis masalah kesuburan wanita juga terdapat di fasiliti kesihatan tertentu namun ia memakan kos yang agak tinggi.

    Jika usaha mendiagnosis masalah ketidaksuburan turut dilakukan ke atas lelaki, langkah seterusnya dapat dilakukan dalam masa yang singkat. Secara teorinya, ia mudah namun jika dilihat pada situasi klinikal, agak sukar.

    Bergantung kepada tahap pendidikan seseorang itu, mereka akan mempunyai penerimaan yang berbeza. Lelaki yang sering digembar-gemburkan dengan ciri-ciri kelelakian terhadap kebolehan untuk mendapatkan anak akan bertindak lebih agresif jika cadangan untuk lelaki diperiksa terlebih dahulu diusulkan oleh pegawai perubatan.

    Perihal masalah tidak subur dalam kalangan lelaki

    masalah ketidaksuburan

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah ketidaksuburan boleh didiagnosis pada pasangan suami isteri yang aktif melakukan hubungan seks tanpa penggunaan apa-apa alat kontrasepsi namun tidak berjaya hamil dalam tempoh 1 tahun.

    Walaupun kebanyakan lelaki mengalami masalah berkaitan dengan sperma secara langsung (struktur dan bilangan), namun ada segelintir yang mempunyai masalah struktur dalam testis yang menyebabkan sperma tidak boleh keluar ketika proses ejakulasi.

    Ia boleh disebabkan oleh faktor berikut:

    • Jangkitan testis
    • Pembedahan testis
    • Fenomena varikosel (vena varikos pada kantung testis)
    • Masalah kekurangan hormon testosteron
    • Kesan sampingan terapi radio
    • Masalah cystic fibrosis
    • Penggunaan ubat-ubatan seperti steroid

    Punca kepada masalah ketidaksuburan lelaki tidak terhad kepada faktor yang tersenarai sahaja. Terdapat juga situasi di mana kedua-dua pasangan suami isteri subur, namun mereka sukar untuk mendapatkan cahaya mata.

    Cara hadapi masalah ketidaksuburan buat para suami

    • Dapatkan pemeriksaan kesihatan seksual daripada pakar bertauliah. Jika anda masih tidak mendapat anak walaupun sudah mencuba dalam tempoh setahun, dapatkan pemeriksaan kesihatan seksual. Kaji dan fahami bahawa masalah ketidaksuburan ini tidak akan mengurangi ciri-ciri kelelakian anda
    • Buat perancangan sebaiknya. Tiada siapa tahu berapa lama anda akan mengalami masalah ini. Oleh sebab itu, penting untuk anda membuat perancangan. Pelan seperti kaedah rawatan kesuburan, pengambilan anak angkat dan menggunakan penderma sperma (di negara tertentu) seharusnya dimasukkan sekali dalam pelan jangka masa panjang anda
    • Amalkan gaya hidup sihat. Banyak kajian menunjukkan bahawa pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat yang lain dapat meningkatkan kualiti sperma. Perkara ini akan meningkatkan kebarangkalian untuk anda mendapat cahaya mata. Jika anda merokok, ini masanya untuk anda berhenti. Dapatkan bantuan pakar jika perlu
    • Amalkan kaedah penyesuaian diri yang sihat. Tidak dinafikan bahawa masalah ketidaksuburan boleh meninggalkan kesan buruk kepada kesihatan mental seseorang. Inilah masanya untuk anda mula mencari alternatif penyesuaian yang dapat memberikan kebaikan kepada anda. Luahkan perasaan kepada pasangan, dapatkan bantuan kaunselor atau tuliskan apa yang terbuku di hati di dalam diari atau blog

    Konklusi

    Jika anda mengalami masalah ketidaksuburan, jangan malu untuk mendapatkan bantuan daripada pakar. Ingat, matlamat utama anda adalah untuk mendapatkan cahaya mata.

    Jika tiada bantuan dari sudut perubatan yang diberikan kepada anda, kebarangkalian untuk anda mendapatkan cahaya mata sangat rendah. Sampai bila kita nak salahkan wanita tatkala mengalami situasi sukar untuk dapatkan anak?

    Baca juga:

    Kualiti Sperma Dan Masalah Ketidaksuburan

  • Berita Baik Buat Mereka Yang Mengalami Masalah Ketidaksuburan!

  • Penyebab Ketidaksuburan yang Tidak dijangka

  • Tab Mandian Panas Punca Ketidaksuburan Lelaki: Mitos atau Fakta?

  • Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 10/04/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan