backup og meta

1 daripada 4 Orang Dewasa Kurang Bersenam

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 01/12/2019

    1 daripada 4 Orang Dewasa Kurang Bersenam

    Aktiviti fizikal atau bersenam dengan kerap telah terbukti dapat membantu mencegah dan merawat penyakit-penyakit tidak berjangkit (noncommunicable diseases) seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan kanser payudara serta kanser usus. Ia juga membantu mencegah tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan dan obesiti serta boleh meningkatkan kesihatan mental dan kualiti hidup. Namun, sebahagian besar populasi dunia semakin kurang bersenam.

    Kajian aktiviti fizikal global

    Data baru yang diterbitkan dalam The Lancet Global Health mendapati bahawa satu daripada empat orang dewasa di seluruh dunia (28% atau 1.4 bilion orang) tidak aktif secara fizikal. Kajian yang ditulis oleh empat pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan analisis trend yang menunjukkan bahawa secara keseluruhan, tahap ketidakaktifan global pada orang dewasa masih tidak berubah sejak tahun 2001.

    Lebih daripada seperempat orang dewasa di dunia meletakkan diri mereka dalam risiko pelbagai penyakit kerana tidak bersenam secukupnya. Kajian ini mengenal pasti tahap aktiviti 1.9 juta orang di 168 negara di seluruh dunia pada tahun 2016.

    Kajian tersebut mendapati bahawa negara berpendapatan tinggi mempunyai masalah orang dewasa kurang bersenam yang lebih tinggi berbanding negara membangun. Negara berpendapatan tinggi lebih kurang bersenam (37%) berbanding dengan negara berpendapatan sederhana (26%) dan negara berpendapatan rendah (16%).

    Kadar kurang bersenam paling tinggi dilaporkan di Kuwait (67%), Arab Saudi (53%) dan Iraq (52%) sementara populasi dengan kadar kurang bersenam paling rendah ialah Uganda dan Mozambique (6%). Wanita didapati kurang aktif berbanding lelaki, dengan perbezaan lebih 8% pada peringkat global.

    Menariknya, satu-satunya rantau yang menunjukkan peningkatan kadar bersenam di peringkat global ialah Asia Tenggara. Wanita di rantau ini juga mempunyai kadar aktif yang sama dengan populasi lelaki.

    Urbanisasi dan kemerosotan aktiviti fizikal

    WHO mengesyorkan setiap orang dewasa melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman ‘intensiti sederhana’ setiap minggu seperti berjalan laju, berenang atau berbasikal, atau 75 minit senaman ‘intensiti tinggi’ seperti berlari atau sukan berpasukan.

    Salah satu halangan terbesar kepada gaya hidup yang aktif ialah persekitaran. Kemajuan teknologi telah menjadikan kehidupan kita lebih mudah, tetapi juga kurang aktif.  Gaya hidup di negara-negara kaya yang lebih banyak waktu dihabiskan di dalam rumah, waktu pejabat yang lebih lama, akses kepada makanan berkalori tinggi lebih mudah dan kurang bersenam adalah sebahagian daripada kesan buruk urbanisasi.

    Oleh itu, kepentingan senaman atau aktiviti fizikal perlu ditekankan dalam aktiviti mingguan setiap orang dewasa. Kesedaran tentang kepentingan senaman atau gaya hidup aktif dapat mencegah pelbagai penyakit berbahaya yang akan menjejaskan kehidupan anda.

    video ihsan WHO

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 01/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan