Kanser Usus: Punca dan Pencegahan Yang Perlu Anda Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apa itu kanser usus?

Kanser usus atau turut dikenali sebagai kanser kolon (usus besar), merujuk kepada pertumbuhan sel-sel barah yang berasal daripada lapisan dinding mukosa usus besar dan/atau lapisan dinding mukosa rektum. Oleh yang demikian, terma yang lebih tepat yang digunakan dalam dunia perubatan untuk memperincikan sifat dan asal usul penyakit ini adalah colorectal cancer (kanser kolorektal). Kanser ini berlaku apabila sel-sel yang membentuk lapisan dinding mukosa di kawasan usus besar dan/atau rektum berubah menjadi sel kanser dan mula membahagi secara tidak terkawal. Kanser usus juga boleh terbentuk daripada tumor atau ketumbuhan seperti polip. Ini menyebabkan mereka yang mempunyai penyakit keturunan yang menyebabkan pembentukan polip dalam usus mereka, berada pada risiko yang lebih tinggi. 

Beban penyakit

Di peringkat global, kanser usus merupakan salah satu daripada kanser yang paling lazim di dunia. Dengan anggaran satu hingga dua juta kes baru didiagnos setiap tahun, kanser usus merupakan kanser yang ketiga paling lazim di dunia, mewakili 9.7% daripada keseluruhan kanser (tidak termasuk kanser kulit bukan melanoma). Terdapat variasi dalam taburan geografi untuk penyakit ini. Lebih separuh daripada kes yang dicatat, berlaku di negara-negara yang lebih membangun. Sebagai contoh, negara-negara barat mencatatkan jumlah kes keseluruhan yang tertinggi (55%). Negara-negara seperti Australia dan New Zealand mencatatkan insiden tertinggi iaitu di antara 32.2 hingga 44.8 kes untuk setiap 100,000 populasi. Di rantau Afrika Barat pula, insiden kes yang dicatatkan adalah yang paling rendah iaitu pada 3.8 kes sahaja untuk setiap 100,000 populasi.

Dari sudut perbandingan jantina, kanser ini merupakan kanser kedua yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (9.2% daripada keseluruhan kes kanser baru). Dalam kalangan kaum lelaki pula, ia merupakan kanser ketiga yang paling kerap berlaku (10% daripada keseluruhan kes kanser baru). Dari sudut kadar kematian pula, kanser usus mengungguli tangga ke-4 dalam senarai kematian akibat kanser, dengan anggaran 700,000 kematian dicatatkan setiap tahun. Hanya kanser paru-paru, kanser hati dan juga kanser perut sahaja yang berjaya mengatasinya dalam mengakibatkan kematian. 

Di Malaysia pula, ia merupakan kanser yang paling lazim berlaku dalam kalangan lelaki dan kedua paling lazim dalam kalangan wanita. Kaum lelaki juga mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi berbanding kaum wanita iaitu sebanyak 1.42 kali ganda. Statistik juga menunjukkan bahawa kaum Cina mempunyai insiden yang paling tinggi, diikuti oleh kaum Melayu dan seterusnya kaum India. Menurut laporan Pendaftar Kanser Kebangsaan Malaysia, kadar prevalens kanser usus berada pada 13.2 %. Antara penyumbang kepada angka kematian ini adalah kelewatan dalam mendapatkan rawatan sehinggakan pesakit hanya mendapat perhatian doktor apabila sudah berada pada tahap 3 dan ke atas. Dianggarkan sekitar 54.36 % daripada pesakit berada pada tahap 3 dan tahap 4 manakala hanya 8.4 % sahaja yang berada pada tahap 1 di saat mereka mendapatkan bantuan perubatan. 

Punca-punca dan faktor risiko 

Secara asasnya, kanser usus berlaku akibat daripada gabungan dua faktor penting. Faktor pertama adalah berlakunya mutasi genetik dalam sel-sel lapisan mukosa usus besar dan/atau rektum. Mutasi yang berlaku ini mendorong kepada berlakunya pembahagian sel pada kadar yang banyak dan tidak terkawal. Dalam keadaan biasa, pembahagian sel adalah satu proses yang terkawal di mana pembahagiannya berlaku dan berhenti tanpa menghasilkan lebihan sel atau kekurangan sel. Faktor kedua adalah gangguan dalam keupayaan gen-gen tertentu untuk menghalang pembentukan sel kanser dan juga pembahagian sel yang tidak terkawal. Dalam keadaan biasa, gen-gen ini akan mencetuskan tindak balas yang akan menyebabkan penghapusan sel-sel kanser atau sel-sel lebihan yang terhasil. Apabila berlakunya gangguan dalam keupayaan gen-gen ini untuk berfungsi, mekanisma pelindung daripada pembentukan kanser akan terencat, membolehkan kanser terus wujud dan membesar. 

Berikut merupakan antara punca dan faktor risiko yang telah dikenal pasti menyumbang kepada keterjadian kanser kolorektal:

Penyakit keradangan usus (IBDs) 

Penyakit keradangan usus sedia ada seperti Ulcerative colitis dan Crohn’s disease meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap kanser usus, khususnya Ulcerative colitis yang membabitkan keradangan lapisan epitelium yang meluas. Keradangan kronik akibat daripada IBDs menghasilkan sel abnormal yang disebut sebagai dysplastic cell. Walaupun sel-sel ini belum menjadi kanser, ia mempunyai potensi dan keupayaan untuk berubah menjadi sel kanser. Lebih lama seseorang itu menghidap keadaan ini dan lebih teruk keradangan yang mereka alami, risiko perubahan untuk menjadi kanser meningkat. 

Sejarah keluarga 

Mereka yang mempunyai sejarah membabitkan dua atau lebih ahli keluarga terdekat mereka (ibu bapa atau adik-beradik) yang menghidap keadaan ini, mempunyai peningkatan risiko sebanyak dua hingga tiga kali ganda. Kumpulan ini juga mewakili 20% daripada keseluruhan kes kanser kolorektal. Sejarah keluarga yang kuat dapat dikaitkan dengan peranan mutasi genetik. Mutasi genetik tertentu bukan sahaja mengakibatkan sel-sel badan menjadi sel kanser, ia juga dapat mengubah gen yang sepatutnya melindungi badan kita daripada pembentukannya. Sebagai contoh, gen APC memainkan peranan perlindungan daripada apabila ia berfungsi dengan baik namun apabila terdapat gangguan dalam fungsi gen APC ini, ia bertindak menyokong pembentukan kanser usus. Faktor genetik juga bukan sahaja mempengaruhi insiden penyakit ini, ia juga memainkan peranan dalam mempengaruhi kadar kematiannya. Gen seperti gen SMAD7 dikaitkan dengan jangka hayat penghidap yang lebih pendek. 

Penyakit keturunan tertentu 

Sekitar 5 daripada 100 orang yang menghidap kanser ini adalah mereka yang mempunyai penyakit-penyakit keturunan tertentu yang menyebabkan mereka cenderung untuk menghidap kanser usus. Contoh penyakit yang dimaksudkan adalah Familial Adenomatous Polyposis (FAP) dan juga Hereditary Nonpolyposis Colorectal Cancer (HNPCC, atau sindrom Lynch). Kedua-dua penyakit keturunan ini menyebabkan berlakunya kanser kolorektal pada usia yang lebih muda. 

Diet yang tinggi lemak

Terdapat banyak kajian yang mengaitkan peningkatan dalam risiko untuk menghidap kanser kolorektal dengan ‘gaya hidup barat’. Terma ‘gaya hidup barat’ ini merujuk kepada perkara seperti berat badan berlebihan dan obesiti, gaya hidup sedentar, diet yang tinggi dengan lemak, daging haiwan, kalori dan rendah dalam kandungan serat. Kajian yang mula mengaitkan risiko pola pemakanan dan pembentukan kanser kolorektal ini berlaku pada tahun 1969 dan dipelopori oleh Ernst Wynder dan pasukannya. Mereka mendapati warga Jepun yang berada pada status sosioekonomi yang lebih tinggi, lebih cenderung untuk menghidap kanser usus akibat daripada diet barat mereka, berbanding mereka yang berada pada status sosioekonomi yang lebih rendah. 

Bermula daripada sini, lahirnya beberapa hipotesis seperti pengaruh lemak dalam makanan terhadap flora bakteria dalam usus dalam membawa kepada keterjadian kanser. Kajian yang dilakukan oleh para pengkaji selepas itu merumuskan bahawa lemak diet yang tinggi dalam lemak mendorong kepada pembentukan kanser dengan mencetuskan penghasilan kompaun seperti asid deoksokolik dan juga asid litokolik. Diet yang tinggi dalam kandungan lemak akan merangsang penghasilan asid hempedu dalam hati. Asid hempedu ini kemudiannya bertemu dengan bakteria anerobik dalam usus besar dan akan mengalami proses dehidrogenasi sehingga membentuk kompaun-kompaun yang disebut tadi. 

Alkohol

Kajian mendapati berbanding dengan mereka yang tidak minum atau mereka yang minum sekali sekala (ocassional drinkers), golongan yang mengambil minuman beralkohol sekurang-kurangnya 4 kali sehari mempunyai peningkatan risiko sebanyak 52% untuk menghidap kanser ini. Alkohol dikatakan menghasilkan kesan terhadap sintesis asid folik. Di dalam usus besar, alkohol dipecahkan oleh bakteria dan menghasilkan kompaun asetaldehid yang berupaya untuk menguraikan asid folik. Asid folik merupakan kompaun penting dalam menyokong pembentukan dan juga pemulihan DNA sel. 

Kaedah masakan 

Terdapat kaedah memasak tertentu yang dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk menghidap penyakit ini. Berdasarkan beberapa kajian, kaedah memasak seperti menggoreng, charcoal broiling dan kaedah lain di mana daging haiwan di masak pada suhu yang sangat tinggi, mendorong kepada penghasilan kompaun amine dan juga kompaun hidrokarbon aromatik polisiklik yang bersifat mutagenik. Kompau-kompaun ini boleh membawa pula kepada penghasilan N-nitroso, kompaun yang dikenali sebagai karsinogen kepada usus besar. 

Umur 

Umur dikatakan salah satu faktor risiko yang penting dalam keterjadian penyakit ini. Selepas mencapai usia 50 tahun, risiko untuk menghidap kanser ini meningkat dengan banyak sekali. Apabila dikecualikan faktor keturunan, keterjadian kanser usus pada usia bawah 50 tahun adalah sangat jarang.

Faktor-faktor risiko yang lain: 

  1. Lelaki – Insiden lebih tinggi berbanding wanita
  2. Keadaan yang menyebabkan insulin tinggi dalam darah – Merangsang pembahagian sel-sel usus besar 
  3. Merokok – Dalam kadar yang signifikan, merokok meningkatkan risiko anda untuk menghidap penyakit ini dan juga kadar kematian akibat daripadanya. 
  4. Obesiti dan kurang aktiviti fizikal – Sekitar 10% daripada keseluruhan kes dikaitkan dengan kurang aktiviti fizikal

Tanda dan simptom

Dalam kebanyakan kes, tidak ada sebarang tanda atau simptom yang khusus untuk kanser usus khususnya pada peringkat awal penyakit. Tambahan lagi, tanda dan simptom yang boleh berlaku akibat daripada penyakit ini bergantung kepada beberapa faktor seperti organ-organ yang terjejas akibat daripada penyebaran sel kanser dan juga saiz tisu kanser tersebut. Seperti yang disebut dalam bab sebelum ini, pembahagian sel kanser yang tidak terkawal akan membentuk gumpalan tisu kanser yang membesar (mass) yang berupaya untuk menolak atau menghalang aliran dalam organ dan struktur berdekatan (obstruction) dan juga mencerobohi struktur badan berhampiran yang lain. Apabila sel-sel kanser ini berjaya untuk masuk ke dalam salur darah, ia berupaya untuk merebak ke bahagian badan yang lain (metastasis) dan terus tumbuh sebagai kanser sekunder. Selain simptom tidak khusus seperti susut berat badan dan juga demam berpanjangan, antara simptom-simptom klasik untuk penyakit ini adalah:

 

  • Perubahan dalam aspek pencernaan (altered bowel habit) – Perubahan dalam aspek pencernaan yang dimaksudkan lazimnya bermula dengan masalah sembelit yang semakin bertambah teruk, diikuti oleh masalah cirit-birit yang tidak terkawal (overflow/spurious diarrhoea). Simptom sembelit dan cirit-birit ini boleh berselang-seli antara satu sama lain.  
  • Darah dalam najis – Anda mungkin akan menyedari darah dalam najis anda ketika membuang air besar melalui beberapa cara. Ia boleh keluar sekali dengan najis, mengakibatkan air takungan dalam jamban bertukar warna. Ia juga boleh keluar selepas membuang air besar, ketika anda mengelap dubur anda menggunakan tisu dan perasa kewujudan darah padanya. Pendarahan jelas (frank blood) tidak semestinya berlaku. Jika sumber pendarahan itu adalah pada bahagian usus yang lebih awal, darah boleh bercampur sebati dengan tinja dan mengalami proses oksidasi, menjadikan najis anda berwarna hitam gelap persis tar jalan (melena) (seperti tar jalan). Pendarahan kronik pula boleh mengakibatkan simptom-simptom anemia seperti pening kepala, jantung berdegup laju dan juga rasa ingin pitam.
  • Perut kembung dan sakit perut – Kedua-dua simptom ini adalah disebabkan oleh saiz tisu kanser (mass) yang besar sehingga menyebabkan halangan pada aliran makanan yang telah dihadam dalam usus. 

 

Bergantung kepada organ mana yang terjejas akibat daripada penyebaran sel kanser tersebut, seseorang boleh mengalami simptom kekuningan (jaundice) jika ia membabitkan organ hati atau  simptom respiratori seperti sesak nafas, sakit dada dan batuk berdarah jika ia sudah tersebar ke paru-paru.

Langkah pencegahan

Dianggarkan sekitar separuh daripada kesemua kes kanser usus adalah disebabkan oleh faktor gaya hidup. Oleh yang demikian, langkah pencegahan yang digariskan tertumpu kepada aspek gaya hidup yang boleh diubahsuai. Jelas sekali, langkah pencegahan yang utama adalah untuk anda elakkan faktor-faktor risiko yang berkaitan dengan gaya hidup seperti merokok, kerap mengambil minuman keras, kurang aktiviti fizikal dan juga berat badan yang berlebihan. Elakkan juga pengambilan makanan yang berasaskan daging merah dengan terlalu kerap dan pilih kaedah masakan yang lebih sihat. 

Terdapat beberapa faktor pelindung yang dapat mengurangkan risiko anda daripada menghidap penyakit ini. Salah satu daripada faktor pelindung yang dimaksudkan adalah pengambilan ikan dan kandungan minyak ikan. Kajian mendapati diet yang tinggi dalam kandungan ikan dikaitkan dengan keterencatan tumbesaran tumor dalam usus besar dan juga pengurangan insidennya. Terdapat juga  kajian yang menunjukkan bahawa walaupun dalam populasi rantau Eropah yang mengambil protein daripada daging haiwan yang lain dalam jumlah yang secara relatifnya tinggi, apabila disertakan dengan pengambilan ikan yang kerap, ia dapat menghasilkan kesan perlindungan daripada kanser usus.  

Kajian mendapati pengambilan vitamin D pada dos 1,000 IU/sehari berupaya untuk mengurangkan risiko kanser kolorektal sebanyak 50%. Pada dos 1250mg/sehari, kalsium juga dapat mengurangkan risiko penyakit ini pada kadar yang signifikan. Kalsium bertindak dengan memperlahankan pembahagian lapisan epitelium usus besar dan juga meneutralkan asid hempedu. 

Faktor pelindung yang lain adalah pengambilan serat pemakanan yang banyak dalam diet anda. Peranan pelindung serat ini mula dikaitkan oleh pengkaji bernama Denis Burkitt pada tahun 1971. Berdasarkan pemerhatian beliau, Dennis mendapati kanser usus dan juga penyakit usus tidak berjangkit yang lain adalah sangat jarang berlaku dalam kalangan komuniti yang hidup dengan diet yang tinggi serat. Namun yang demikian, kanser tersebut adalah agak lazim dalam negara-negara ekonomi maju di mana diet mereka kebanyakannya rendah dalam kandungan serat. Pemerhatian awal ini kini disokong oleh pelbagai kajian moden yang menunjukkan kaitan yang kuat antara diet tinggi serat dengan pengurangan risiko kanser usus.

Aktiviti fizikal dikaitkan dengan penurunan dalam risiko kanser usus sebanyak 21 hingga 25%. Kajian juga mendapati senaman dan aktiviti fizikal yang dilakukan selepas diagnosis mengurangkan kadar kematian keseluruhan. Dalam kumpulan yang berisiko tinggi (penghidap IBD, FAP, , ujian saringan seperti kolonoskopi adalah disarankan bagi membolehkan diagnosis dan rawatan awal.

Kesimpulannya, kanser usus merupakan sejenis penyakit yang cukup berbahaya dan mempunyai insiden yang tinggi. Memandangkan pesakit hanya berjaya untuk mendapatkan perhatian doktor apabila penyakit tersebut telahpun menjadi teruk, langkah pencegahan dan juga saringan berkala adalah penting. Anda boleh bermula dengan menilai semula faktor risiko yang berkait rapat dengan gaya hidup anda seperti tabiat pemakanan, senaman dan aktiviti fizikal, merokok dan juga pengambilan minuman keras. Mengetahui risiko berdasarkan sejarah keluarga yang kuat dapat mendorong anda untuk bersungguh dalam mengamalkan langkah pencegahan dan untuk mendapatkan ujian saringan. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau inginkan konsultasi berkaitan dengan risiko anda, berjumpalah dengan doktor. 

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan ataupun rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut