backup og meta

Adakah Kanser Kolorektal Bahaya?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    Adakah Kanser Kolorektal Bahaya?

    Kita mungkin kerap mendengar tentang kanser payudara dan kanser paru-paru. Namun, kanser kolorektal mungkin agak kurang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia sedangkan ia adalah kanser nombor dua di Malaysia.

    Sebagai kanser utama di Malaysia, ia telah meragut banyak nyawa dan merupakan kanser ke-3 paling banyak menyebabkan kematian di Malaysia. Untuk lebih memahami ancaman yang dibawa oleh kanser kolorektal, sila baca artikel ini sehingga akhir.

    60 peratus daripada kanser kolorektal dikesan pada tahap 3 dan 4

    Seperti mana-mana kanser, semakin lambat diagnosis dibuat, semakin kurang jangka hayat pesakit. Kanser ini boleh dikatakan sebagai pembunuh senyap di negara ini kerana ia tidak memberikan simptom awal.

    Diagnosis awal adalah penting dalam kanser kolorektal

    Untuk mendapatkan diagnosis awal, ia perlu dibuat sebelum mengalami apa-apa simptom. Ini boleh dilakukan melalui ujian saringan seperti ujian darah (FOBT – Fecal Occult Blood Test), sigmoidoskopi dan kolonoskopi.

    Hanya 53 peratus pesakit di tahap 3 hidup melebihi 5 tahun selepas diagnosis. Pesakit tahap 4 pula, hanya 11 peratus daripadanya hidup melebihi 5 tahun selepas diagnosis.

    Jika 60 peratus daripadanya dikesan pada tahap 3 dan 4, bayangkan berapa banyak nyawa yang hilang disebabkan kanser ini.

    Usus anda mungkin perlu dibuang

    Penyakit yang melibatkan usus adalah antara keadaan yang paling menyeksakan dalam kalangan penyakit-penyakit yang ada di dunia ini.

    Contohnya penyakit radang usus seperti ulseratif kolitis dan Crohn. Pesakit yang menderita penyakit ini tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka perlu bersedia untuk ke tandas dan selalu mengalami sakit perut. Kehidupan sosial mereka akan sangat terkesan.

    Kanser kolon mungkin akan berakhir dengan membuang usus. Jika usus berbaki tidak boleh disambungkan, satu laluan najis yang digelar stoma akan dibuat pada perut. Pesakit perlu hidup seumur hidup dengan stoma tersebut!

    Beg stoma yang digunakan untuk mengumpulkan najis

    Namun, pembedahan buang usus mungkin juga merupakan satu berita baik. Kebiasaannya, pembedahan hanya akan dilakukan ke atas pesakit yang ada harapan untuk sembuh. Jika tiada harapan, prosedur invasif seperti ini tidak akan dijalankan. Jadi, walaupun usus dibuang, harapan untuk bebas kanser adalah cerah.

    Kemoterapi dan radioterapi

    Antara rawatan bagi kanser kolorektal selain pembedahan adalah kemoterapi dan radioterapi.

    Kemoterapi adalah rawatan menggunakan ubat-ubatan untuk menghapuskan sel-sel kanser di dalam badan. Ia diberikan sama ada untuk menghapuskan baki sel-sel kanser selepas pembedahan bagi mengelakkan pertumbuhan semula kanser, atau untuk kanser yang sudah merebak ke organ lain.

    plan-cancer-treatment-chemotherapy
    Kemoterapi merupakan antara rawatan kanser kolorektal

    Rawatan ini mungkin tidak menyakitkan, tetapi ia memberikan banyak kesan sampingan seperti loya, muntah, kurang selera makan, rambut gugur dan kulit menjadi gelap kerana kemoterapi bukan sahaja menyerang sel-sel kanser tetapi turut membunuh sel-sel normal di dalam badan.

    Ditambah pula dengan kekerapan perlu ke hospital, ia tentunya akan menjejaskan kualiti hidup seseorang.

    Sayangi diri anda dan keluarga

    Tiada orang yang ingin mendapat kanser kolorektal. Namun, perasaan tersebut tidak cukup sekadar di dalam hati, tetapi perlu diterjemahkan dengan tindakan.

    Kesihatan adalah aspek penting dalam kebahagiaan keluarga

    Anda boleh mengambil langkah proaktif untuk mencegah atau mengesan kanser kolorektal dengan awal:

    • Berhenti merokok.
    • Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran.
    • Kurangkan makanan berlemak dan bergula.
    • Jalani ujian saringan jika bersiko atau berumur antara 50 dan 75 tahun.
    • Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika mengalami simptom-simptom kanser kolorektal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan