Datuk Dan Nenek Lebih Positif Jika Bersama Cucu Mereka, Kajian

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Pada musim cuti sekolah, pasti ramai ibu bapa yang menggunakan peluang ini dengan membawa anak-anak mereka pulang ke kampung halaman masing-masing. Mungkin ada yang datang menziarahi ibu bapa mereka di kampung selama beberapa hari dan mungkin juga ada yang meninggalkan anak-anak mereka di kampung sepanjang cuti sekolah bagi menemani datuk dan nenek mereka yang kesunyian. Apatah lagi jika datuk dan nenek di kampung itu tinggal bersendirian dan hanya mengharapkan kepulangan anak dan cucu mereka bagi mengembirakan hati mereka. 

Adakah anda tahu, hubungan yang wujud antara datuk atau nenek bersama-sama cucu mereka ini sebenarnya memberikan kesan yang amat positif bagi golongan datuk dan nenek ini. Anda ingin tahu apakah rangsangan positif tersebut? Teruskan pembacaan anda ke bahagian yang selanjutnya.

Kembangkan lingkungan sosial datuk dan nenek

Berdasarkan kajian terbaharu yang dijalankan oleh para saintis, datuk dan nenek yang turut terlibat dalam penjagaan cucu mereka adalah kurang mengalami kesepian kerana ia memperluaskan lingkungan sosial mereka. Ini adalah berdasarkan kajian yang telah dijalankan terhadap seramai lebih kurang 4,000 orang datuk dan nenek dengan bertanyakan kepada mereka beberapa soalan termasuklah soalan ‘berapa ramaikah jumlah individu yang rapat dengan anda?’.

Berdasarkan hasil kajian tersebut, kajian mendapati bahawa datuk dan nenek yang mengambil berat atau menjaga cucu mereka adalah lebih cenderung untuk kurang merasa kesepian selain mempunyai lebih ramai rakan. Para penyelidik juga mendapati, dengan menjaga cucu akan membantu meningkatkan keyakinan dan harga diri seseorang individu tersebut selain membantu mereka agar berasa muda kembali.

Kaedah kajian yang dijalankan

Kajian ini telah dijalankan oleh penyelidik di Universitatsklinikum Hamburg-Eppendorf, Hamburg, Jerman dengan menggunakan data daripada tinjauan terhadap 3,849 orang datuk dan nenek. Kesemua responden kajian ini telah mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut pada tahun 2014 yang lalu dan mereka mempunyai purata umur 66 tahun. Dalam kalangan datuk dan nenek ini, kurang daripada ⅓ daripada mereka, iaitu hanya seramai 1,125 individu menjaga cucu mereka secara aktif. Daripada jumlah 1,125 individu tersebut, lebih separuh daripadanya adalah wanita dan 80% daripada mereka adalah pasangan yang telah berkahwin dan tinggal bersama dengan pasangan mereka. 

Kaedah tinjauan yang terlibat

Responden atau peserta kajian yang terdiri daripada datuk dan nenek ini telah diminta untuk memberikan rate atau penarafan berkenaan seberapa banyak mereka bersetuju dengan pernyataan-pernyataan yang diberikan kepada mereka. Mereka diberikan dengan empat skala, dengan skala keempat adalah skala dengan nilai sangat tidak bersetuju. 

Antara pernyataan yang diberikan termasuklah, ‘Saya rindu untuk orang-orang berada di sekitar saya yang membuatkan saya berasa selesa’, ‘Saya sering berasa ditolak’, dan ‘Saya berasa seperti saya disisihkan’.

Skor keseluruhan yang semakin tinggi menunjukkan tahap kesepian dan pengasingan sosial yang lebih tinggi. Bagi datuk dan nenek yang menjaga cucu mereka, purata bagi skor kesepian adalah sebanyak 1.7, dan purata skor pengasingan sosial pula adalah sebanyak 1.6. Manakala bagi mereka yang tidak mempunyai peranan dalam menjaga cucu mereka secara aktif, mereka mempunyai purata skor kesepian yang lebih tinggi iaitu 1.8, manakala skor pengasingan sosial pula adalah sebanyak 1.6. Datuk dan nenek yang mempunyai peranan penjagaan cucu juga mempunyai hubungan dengan lebih seorang individu berbanding daripada mereka yang tidak menjaga cucu mereka. Margin antara kedua-dua hasil kajian ini adalah tipis. Walau bagaimanapun, pakar menyatakan terdapat petunjuk yang menunjukkan bahawa mereka yang menjaga cucu mempunyai kesan positif terhadap diri mereka. 

Penjagaan cucu banyak manfaat

Ketua penyelidik, Profesor Eleanor Quirke menyatakan bahawa, membantu keluarga mereka untuk menyeimbangkan pekerjaan dan keluarga dengan menyediakan penjagaan cucu tambahan boleh meningkatkan harga diri datuk dan nenek. Selain itu, ia juga dapat memudahkan hubungan positif yang berterusan dengan anak-anak dan cucu mereka. Profesor Eleanor turut menambah, menjaga cucu juga dapat mengembangkan lingkaran sosial datuk dan nenek selain membolehkan peluang yang lebih lanjut untuk menjalin hubungan dengan ibu bapa atau datuk dan nenek yang lain.

Mengapa penjagaan cucu ini benar-benar bermanfaat untuk datuk dan nenek?

Sememangnya, kajian di atas telah membuktikan bahawa penjagaan cucu oleh datuk dan nenek boleh mengurangkan risiko untuk mengalami kesepian. Selain itu, terdapat juga kajian-kajian lain sebelum ini yang menyokong hasil kajian tersebut dengan menyatakan bahawa ia juga boleh melindungi datuk dan nenek daripada risiko untuk mengalami kemurungan

Teori ‘role enhancement’ atau peningkatan peranan telah digunakan untuk menerangkan kesan atau implikasi kesihatan dan juga psikologi penjagaan oleh datuk dan nenek ini. Teori ‘role enhancement’ ini mencadangkan bahawa mempunyai pelbagai tugas atau peranan adalah bermanfaat dan menyumbang kepada harga diri seseorang individu yang positif

Membantu keluarga untuk menyeimbangkan antara pekerjaan dan keluarga dengan menyediakan penjagaan kepada cucu, boleh membantu datuk dan nenek untuk berasa yakin dengan peranan mereka dalam keluarga serta menggalakkan hubungan yang lebih positif. Ia juga boleh mengembangkan lingkaran sosial datuk dan nenek kerana mereka bergaul dengan orang lain yang turut memiliki situasi atau keadaan yang sama dengan mereka.

Walau bagaimanapun, jika datuk dan nenek diwajibkan untuk menyediakan penjagaan cucu yang lebih intensif, mereka mungkin merasa terlalu terbeban dengan tanggungjawab tersebut dan kurang berkemampuan untuk terlibat sama dalam aspek lain dalam kehidupan mereka. Cara ini hanya akan menjadikan tanggungjawab tersebut sebagai satu perkara atau rangsangan yang negatif.

Kesimpulan

Bagi ibu dan bapa yang mempunyai anak, gunakanlah waktu lapang seperti cuti sekolah atau cuti umum untuk membawa pulang anak-anak anda ke kampung bagi bertemu dengan datuk dan nenek mereka. Ia bukan sahaja memberikan kebaikan secara fizikal dan mental kepada datuk dan nenek di kampung, malah ia turut memberikan rangsangan positif kepada anak-anak anda. 

Tetapi, perlu diingatkan juga bahawa penjagaan cucu oleh datuk dan nenek di kampung bukanlah kaedah untuk anda melepaskan tangan daripada menjaga anak-anak anda sendiri. Jangan sesekali menjadikan ibu bapa anda di kampung sebagai hamba atau bibik bagi menjaga anak-anak anda. Berbincang terlebih dahulu bersama mereka, adakah mereka akan berasa seronok jika anak-anak anda tumpang di rumah mereka selama beberapa hari untuk menemani mereka agar ia tidak menjadi beban kepada mereka yang sudah tua. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 19, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 19, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut