Dua Antibiotik Baru Berkesan Menentang Superbug, Tiada Kerintangan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kerintangan Antibiotik

Penemuan antibiotik telah merevolusikan dunia perubatan – jangkitan yang dahulunya boleh membawa maut menjadi sesuatu yang boleh dirawat dengan efektif menggunakan pengambilan antibiotik beberapa hari berdasarkan dos-dos tertentu. Pada pertengahan abad ke-20, penemuan dan penambahan kelas-kelas dan jenis-jenis antibiotik baru bertambah dengan rancak apabila sebanyak 12 kelas antibiotik baru diperkenalkan antara tahun 1935 sehingga tahun 1968. Kerancakan penemuan ini bagaimanapun merudum dengan banyak dalam tahun-tahun seterusnya apabila hanya 2 kelas baru ditemui antara tahun 1969 sehingga tahun 2003. Lebih membimbangkan lagi, penggunaan antibiotik tanpa penyeliaan dan kawalan yang baik telah membawa kepada masalah baru kepada kesihatan awam – kerintangan antibiotik

Organisma yang rintang ini disebut sebagai superbug. Akibat kerintangan ini, rawatan yang terpaksa digunakan memerlukan sama ada dos yang lebih tinggi atau ubat alternatif yang lain. Pendekatan sebegini bukan sahaja boleh menjadi sesuatu yang lebih mahal dan lebih menyusahkan, ia juga boleh menjadi lebih toksik kepada pesakit yang menerima rawatan tersebut. Mekanisma kerintangan ini boleh berlaku dalam tiga cara; kerintangan semula jadi dalam sesetengah bakteria, mutasi genetik dan juga penerimaan keupayaan kerintangan daripada spesies bakteria yang lain.

Sebelum ini, antibiotik daripada kumpulan polipeptida adalah antara kumpulan antibiotik yang paling kuat dan ia terdiri daripada antibiotik seperti polymyxin B dan juga Colistin. Colistin khususnya, digunakan sebagai ‘usaha terakhir’ (last-resort antibiotik) untuk menghapuskan superbug seperti Pseudomonas aeruginosa, Klebsiella pneumoniae dan juga bakteria jenis Acinetobacter. Ia tidak digunakan secara rutin kerana kesan sampingannya iaitu kerosakan buah pinggang. Lebih membimbangkan adalah sekitar tahun 2011, gen rintang colistin yang pertama telah dikenal pasti dalam plasmid yang boleh disebarkan antara strain bakteria. Pada Disember 2015, penemuan gen ini telah disahkan di rantau Asia Tenggara dan juga di beberapa negara Eropah.

Penemuan terbaru diinspirasikan peptida semula jadi bakteria

Para pengkaji dan saintis dari negara Perancis telah mengeksploitasi penemuan toksin bakteria baru untuk dijadikan sebagai bahan aktif dalam antibiotik bagi melawan jangkitan patogen bakteria yang rintang pelbagai ubat, daripada jenis gram-positif dan juga gram-negatif. Mereka telah menghasilkan keluarga peptidomimetik baru iaitu cyclic heptapseudopeptides yang diinspirasikan oleh peptida semula jadi bakteria. 

Daripada 4 peptida yang dikaji, mereka menemui bahawa dua daripadanya adalah efektif untuk sepsis sederhana dan juga sepsis teruk dalam tikus kajian akibat daripada jangkitan superbug jenis gram positif, Staphylococcus aureus rintang methicillin (MRSA). Apa yang lebih menakjubkan adalah berbeza dengan kesan sampingan yang kerap dikaitkan dengan antibiotik berasaskan polipeptida ini, kedua-dua bahan aktif tadi tidak menunjukkan sebarang kesan toksik kepada sel darah merah dan sel buah pinggang. Kompaun baru ini didapati selamat pada dos aktif mereka tanpa kesan nefrotoksik. 

Keberkesanan juga turut diperhatikan dalam rawatan jangkitan kulit pada tikus kajian, daripada MRSA dan juga superbug dari kumpulan gram-negatif iaitu Pseudomonas aeruginosa. Apa yang lebih penting adalah dari sudut kerintangan, kompaun ini tidak menunjukkan sebarang kerintangan walaupun setelah penggunaan untuk 2 minggu dan 4 atau 6 hari pendedahan dalam tikus-tikus kajian.

Aktiviti heptapseudopeptides diterangkan melalui keupayaan asid amino tidak semula jadi dalam menguatkan kaitan dinamik dengan lapisan lipid bakteria untuk mencetuskan ketelapan yang akhirnya, membawa kepada penghapusan bakteria tersebut. 

Disebabkan 2 analog peptida ini, Pep 16 dan juga Pep 19, berkesan dalam menentang jangkitan oleh MRSA dan juga P. aeruginosa, para pengkaji percaya bahawa kedua-dua peptidomimetik ini mempunyai potensi yang menjanjikan sebagai calon pendahulu (lead candidates) untuk dibangunkan secara komersial dan juga untuk fasa 1 percubaan klinikal. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut