Adakah Telefon Pintar Beri Kesan kepada Kesihatan Mental?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kita selalu beranggapan bahawa penggunaan gajet, seperti telefon pintar akan mendatangkan kesan negatif kepada aspek kesihatan mental penggunanya terutama remaja dan kanak-kanak. Tetapi, benarkah telefon pintar membuatkan seseorang itu mengalami gangguan mental? 

Sebelum kita pergi dengan lebih jauh untuk melihat adakah wujudnya hubung kait antara kesihatan mental dengan penggunaan telefon pintar mahupun gajet, apa kata kita fahami dahulu apa yang dikatakan tentang masalah kesihatan mental.

Apa itu masalah kesihatan mental?

Sejujurnya masalah kesihatan mental adalah sukar untuk dikenal pasti. Ini kerana ia lebih melibatkan kepada emosi, cara berfikir dan apa yang anda rasakan. Seorang individu kanak-kanak atau remaja boleh mengalami masalah kesihatan mental sama seperti individu dewasa. 

Tetapi, simptom yang dihadapi mungkin sukar untuk dilihat atau dikesan. Sebagai ibu bapa, anda perlu tahu tanda anak anda menderita kesihatan mental untuk membantu mereka mengatasi masalah tersebut.

Ekspresi bagi kanak-kanak mahupun remaja yang mengalami masalah kesihatan mental mungkin berbeza dengan individu dewasa dengan masalah kesihatan yang sama. Contohnya, kanak-kanak atau remaja dengan kemurungan akan bertingkah laku lebih terganggu berbanding individu dewasa kemurungan yang kebanyakannya akan berasa sedih.

Antara simptomnya

  • Kegelisahan – akan bertindak balas terhadap situasi tertentu seperti ketakutan, kebimbangan dan juga gementar.
  • Gangguan tingkah laku – cenderung untuk melanggar peraturan dan mempunyai tingkah laku antisosial dalam persekitaran berstruktur seperti sekolah.
  • Gangguan perkembangan – keliru dalam pemikiran dan secara umumnya sukar memahami dunia di sekelilingnya.
  • Gangguan pemakanan – mungkin mempunyai tingkah laku luar biasa seperti emosi yang tertekan apabila dipaksa untuk makan.
  • Gangguan emosi – akan berasa sedih setiap masa, dan perubahan emosi kerap berlaku.
  • Skizofrenia – satu gangguan serius berkaitan dengan persepsi dan pemikiran yang terganggu. Gangguan ini merupakan masalah kesihatan yang serius apabila kanak-kanak melakukan pergerakan berulang, secara tiba-tiba dan pergerakan yang tidak mempunyai sebarang makna.

Wujudkah kaitan kesihatan mental dan telefon pintar?

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Clinical Psychological Science mencadangkan bahawa penggunaan telefon pintar atau gajet dan melayari internet bukanlah sesuatu yang mendatangkan kesan negatif kepada individu remaja. 

Kajian yang dilakukan ini adalah untuk mengesan sama ada penggunaan telefon pintar yang dikaitkan sebagai teknologi digital untuk tempoh yang lama oleh remaja mempunyai kaitan dengan tahap kesihatan mental yang tidak sihat.

Menurut penyelidik yang terlibat; Profesor Sains Psikologi di University of California, Irvine, Candice Odgers; Penolong Profesor Psikologi di University of North Carolina di Greensboro, Michaeline Jensen; Penyelidik Pasca Doktoral di Purdue University, Madeleine George dan Penolong Profesor Kesihatan Tingkah Laku di Pennsylvania State University, Michael Russell, mendapati terdapat sedikit sahaja bukti yang mengaitkan mengenai hubungan langsung  penggunaan teknologi digital harian dengan tahap kesihatan mental remaja.

Bantu kurangkan tekanan

Jelas Odgers, “Mungkin sudah tiba masanya untuk individu dewasa berhenti berdebat mengenai keburukan penggunaan teknologi digital seperti telefon pintar mahupun media sosial terhadap kesihatan mental remaja”.

“Adalah lebih baik untuk mula untuk mencari jalan atau kaedah bagi menyokong kehidupan individu remaja ke arah yang lebih baik, sama ada di atas talian mahupun dalam kehidupan realiti”, ujar Odgers lagi. 

Ini kerana ia berbeza dengan kepercayaan umum yang mengatakan telefon pintar mahupun platform media sosial menyebabkan masalah dan kerosakan kepada kesihatan mental remaja. Para penyelidik mendapati tidak banyak kesan yang menyokong kepada kepercayaan umum yang mengaitkan telefon pintar dan platform atas talian dengan peningkatan risiko kepada masalah kesihatan mental. 

Penyelidikan yang dilaksanakan ini melibatkan kajian tinjauan kepada lebih 2,000 remaja dan seterusnya kajian secara intensif kepada subkumpulan yang melibatkan 400 remaja dengan penggunaan telefon pintar untuk beberapa kali sehari selama dua minggu. Remaja yang terlibat dalam kajian tersebut adalah dalam usia 10 hingga 15 tahun dan mewakili penduduk daripada pelbagai segi ekonomi dan kaum yang menghadiri sekolah awam di Carolina Utara.

Daripada kajian yang dilakukan, penyelidik mengumpulkan laporan mengenai simptom kesihatan mental dari remaja sebanyak tiga kali sehari, malah remaja yang terlibat dalam uji kaji ini juga turut melaporkan penggunaan teknologi harian pada setiap malam. 

Hasil keputusan laporan mendapati, golongan remaja yang cenderung kepada penggunaan teknologi digital tidak menunjukkan sebarang perkaitan dengan tahap kesihatan mental yang tidak sihat. Sebaliknya, remaja yang lebih kerap menggunakan teknologi seperti telefon pintar untuk menghantar mesej teks dilaporkan mempunyai emosi yang lebih baik, iaitu kurang tertekan, berbanding dengan remaja yang tidak. 

Terhadkan penggunaan

Jadi, kita sebenarnya tidak boleh menafikan kebaikan penggunaan telefon pintar mahupun teknologi digital dalam kehidupan seseorang individu. Walau bagaimanapun, mungkin masih perlu ada batasan dalam kebebasan untuk menggunakan telefon pintar dan sebarang teknologi digital terutama bagi kanak-kanak dan remaja. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut