5 Makanan Anti-Kanser Yang Perlu Anda Amalkan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Cara terbaik untuk merawat kanser adalah dengan mencegahnya dari berlaku. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai sejarah kanser dalam keluarga, pencegahan perlu dititikberatkan. Selain ujian saringan kanser, pemakanan juga membantu mencegah kanser, khususnya dengan pengambilan makanan anti-kanser.

Jom lihat apa makanan anti-kanser yang boleh anda amalkan.

1. Buah-buahan dan sayur-sayuran

Boleh dikatakan bahawa semua buah-buahan dan sayur-sayuran adalah baik sebagai diet anti-kanser. Banyakkan pengambilannya. Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan pengambilan makanan lain yang kurang berkhasiat terutamanya yang tinggi gula dan minyak.

Sebaiknya, jadikan sayur-sayuran sebagai ulam kerana memasak sayur boleh mengurangkan beberapa nutrisinya.

2. Teh hijau

Kandungan antioksidan yang tinggi di dalam teh hijau menjadikannya salah satu makanan anti-kanser yang efektif. Ia mungkin membantu dalam mencegah kanser pankreas, hati dan payudara. Nikmati hari anda dengan sihat bersama teh hijau.

3. Minyak zaitun

Minyak zaitun adalah minyak yang paling sihat di dunia. Sebab itulah tidak pelik jika harga lebih mahal berbanding minyak bunga matahari atau minyak kelapa sawit. Kandungan lemaknya adalah jenis monotepu yang lebih sihat berbanding lemak di dalam minyak lain. Kes kanser payudara di negara Mediterranean yang banyak mengamalkan minyak zaitun dilaporkan lebih sedikit berbanding di Amerika Syarikat, menjadikan minyak zaitun makanan anti-kanser yang popular.

4. Halia dan bawang

Kajian menunjukkan bahawa halia dan bawang mampu mencegah pembentukan nitrosamin, sejenis bahan kimia penyebab kanser di beberapa bahagian badan termasuk usus besar, hati dan payudara. Di sebalik aromanya yang menambah rasa makanan, ia juga merupakan pilihan makanan anti-kanser yang baik.

5. Ikan

Ikan berlemak seperti salmon dan tuna kaya dengan asid lemak omega-3 yang membantu mengurangkan risiko kanser prostat. Jika anda jarang makan ikan, anda boleh cuba masukkanya ke dalam diet anda.

Untuk mengetahui risiko kanser anda, anda boleh berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat serta ujian saringan yang relevan. Sekiranya anda mempunyai sejarah kanser dalam keluarga, anda sangat digalakkan untuk mendapatkan ujian saringan berkala bagi mengenalpasti status anda. Sementara itu, bolehlah anda praktikan diet pemakanan anti-kanser seperti dalam artikel ini.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut