home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Memori Otak Anda Akan Lebih ‘Power’ Kalau Kurang Ambil 5 Jenis Makanan Ini!

Memori Otak Anda Akan Lebih ‘Power’ Kalau Kurang Ambil 5 Jenis Makanan Ini!

Kita biasa dengar jenis makanan yang baik untuk perkembangan otak. Apa kata, kali ini kita ambil tahu pula jenis makanan tidak berkhasiat yang boleh memberikan kesan negatif kepada otak, khususnya memori otak.

Apakah makanan tersebut?

#1. Minuman bergula

Minuman bergula seperti minuman bergas, minuman sukan, minuman tenaga dan juga jus buah.

Pengambilan minuman bergula yang tinggi bukan sahaja menambahkan berat badan dan meningkatkan risiko penyakit jantung, malah ia juga boleh memberi kesan negatif pada otak anda.

Pengambilan minuman bergula yang berlebihan juga meningkatkan kemungkinan seseorang untuk menghidap diabetes jenis 2, sekali gus meninggikan risiko penyakit Alzheimer.

Selain itu, kadar gula dalam darah yang lebih tinggi dapat meningkatkan risiko demensia, walaupun dalam kalangan mereka yang tidak menghidap diabetes.

Anda mungkin perlu mula menggantikan minuman bergula dengan minuman yang lebih sihat seperti air kosong, teh ais tanpa gula, jus sayuran dan produk tenusu tanpa gula.

#2. Makanan tidak berkhasiat: Karbohidrat halus

Karbohidrat halus termasuklah makanan seperti gula dan biji-bijian yang diproses, seperti tepung putih. Karbohidrat jenis ini umumnya mempunyai indeks glisemik (GI) yang tinggi.

Ini bermaksud tubuh anda mencernanya dengan cepat, menyebabkan peningkatan kadar gula darah dan insulin anda secara mendadak.

Selain itu, apabila dimakan dalam jumlah yang lebih banyak, makanan tidak berkhasiat ini sering kali mempunyai beban glisemik (GL) yang tinggi.

GL merujuk kepada seberapa banyak makanan yang meningkatkan kadar gula darah anda, berdasarkan saiz hidangan.

Makanan yang tinggi GI dan GL didapati boleh merosakkan fungsi otak.

Kajian telah menunjukkan bahawa hanya dengan satu hidangan yang mempunyai beban glisemik yang tinggi, ia boleh merosakkan ingatan pada kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Satu lagi kajian yang dijalankan dalam kalangan pelajar universiti yang sihat mendapati, mereka yang mempunyai pengambilan lemak dan gula halus yang lebih tinggi juga mempunyai memori otak yang kurang baik.

#3. Ikan yang tinggi dengan kandungan merkuri

memori otak

Merkuri adalah bahan cemar logam berat dan racun neurologi yang dapat disimpan dalam masa yang lama dalam tisu haiwan.

Ikan pemangsa yang berumur panjang sangat terdedah dalam pengumpulan merkuri dan dapat membawa lebih daripada satu juta kali kepekatan merkuri berbanding air di sekitarnya.

Sumber pengambilan utama merkuri pada manusia adalah daripada makanan laut, terutama jenis hidupan laut liar.

Setelah seseorang itu mencerna merkuri, ia akan menyebar ke seluruh badan mereka, tertumpu pada bahagian otak, hati dan juga buah pinggang.

Kesan ketoksikan merkuri termasuklah gangguan pada sistem saraf pusat dan neurotransmitter selain rangsangan neurotoksin, yang mengakibatkan kerosakan pada otak.

Bagi janin dalam kandungan dan juga kanak-kanak kecil, merkuri dapat mengganggu perkembangan otak dan menyebabkan pemusnahan komponen sel.

Ini boleh menyebabkan kelumpuhan serebrum (cerebral palsy) dan gangguan perkembangan lain.

Namun, kebanyakan ikan tidak mengandungi kandungan merkuri yang terlalu tinggi. Malah, ikan adalah sumber protein berkualiti tinggi dan mengandungi banyak nutrien penting, seperti omega-3, vitamin B12, zink, zat besi dan magnesium.

Oleh itu, penting untuk anda memasukkan ikan sebagai sebahagian daripada diet yang sihat.

Wanita hamil dan juga kanak-kanak perlu mengelakkan pengambilan ikan dengan kadar merkuri tinggi, seperti ikan yu, ikan todak dan ikan tuna.

#4. Makanan tidak berkhasiat: Makanan yang diproses

Makanan yang diproses tinggi dengan kandungan gula, lemak dan garam tambahan.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 243 individu mendapati, peningkatan lemak di sekitar organ, atau lemak viseral, dikaitkan dengan kerosakan tisu otak.

Kajian lain yang merangkumi 18,080 individu pula mendapati bahawa diet yang tinggi dengan makanan bergoreng dan daging yang diproses dikaitkan dengan skor pembelajaran dan ingatan yang lebih rendah.

Hasil yang sama juga didapati dalam kajian berskala besar lain terhadap 5,038 individu.

Diet yang tinggi dengan pengambilan daging merah, daging diproses, kacang panggang dan makanan bergoreng dikaitkan dengan keradangan dan penurunan kemahiran penaakulan yang lebih cepat dalam tempoh 10 tahun.

Anda boleh mengelakkan makanan yang diproses dengan mengambil makanan segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kacang-kacangan, biji-bijian, daging dan juga ikan.

Selain itu, diet Mediterranean terbukti melindungi otak anda daripada penurunan fungsi kognitif dan memori otak.

#5. Makanan tinggi lemak trans

makanan tidak berkhasiat

Kajian mendapati, apabila seseorang individu mengambil lemak trans dalam jumlah yang lebih tinggi, mereka cenderung untuk mempunyai risiko peningkatan penyakit Alzheimer.

Selain itu, mereka juga cenderung mengalami ingatan yang lebih buruk, jumlah otak yang lebih rendah dan penurunan kognitif.

Walau bagaimanapun, beberapa kajian tidak menemui kaitan antara pengambilan lemak trans dan kesihatan otak.

Namun, lemak trans harus dielakkan. Ia mempunyai kesan negatif pada banyak aspek kesihatan lain, termasuk kesihatan jantung dan penyebab keradangan.

Satu kajian terhadap 38 wanita mendapati bahawa mereka yang mengambil lebih banyak lemak tepu berbanding lemak tidak tepu menunjukkan prestasi yang lebih buruk berkenaan memori otak mereka.

Oleh itu, nisbah lemak relatif dalam makanan adalah faktor yang penting, bukan hanya jenis lemak itu sahaja.

Sebagai contoh, diet yang tinggi asid lemak omega-3 didapati membantu melindungi otak daripada penurunan fungsi kognitif.

Omega-3 meningkatkan rembesan sebatian antiradang di otak dan boleh memberi kesan perlindungan, terutama terhadap individu yang lebih tua.

Anda boleh meningkatkan jumlah lemak omega-3 dengan makan ikan, biji chia, dan kacang walnut.

Kesimpulan

Sebolehnya, elakkan daripada mengambil makanan-makanan seperti yang dinyatakan di atas ini untuk menguatkan kembali fungsi otak anda.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

https://www.alzheimers.net/foods-that-induce-memory-loss

Rippe, J. M., & Angelopoulos, T. J. (2013). Sucrose, high-fructose corn syrup, and fructose, their metabolism and potential health effects: what do we really know?. Advances in nutrition (Bethesda, Md.), 4(2), 236–245. https://doi.org/10.3945/an.112.002824

Bowman, G. L., Silbert, L. C., Howieson, D., Dodge, H. H., Traber, M. G., Frei, B., Kaye, J. A., Shannon, J., & Quinn, J. F. (2012). Nutrient biomarker patterns, cognitive function, and MRI measures of brain aging. Neurology, 78(4), 241–249. https://doi.org/10.1212/WNL.0b013e3182436598

https://www.clinicalnutritionjournal.com/article/S0261-5614(16)00035-2/fulltext

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4555146/pdf/nutrients-07-05307.pdf

https://www.hindawi.com/journals/jeph/2012/460508/

Gambar penulis
Maklumat perubatan disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Disemak pada [date}
x